10 Julai, 2009

Santai 11: Mengutip Hikmah di Laman Hidup

Bismillahirrahmanirrahim


(1)
Dengan nama Allah, sang Penguasa kerajaan bagi segala kerajaan, Tuhan bagi setiap hamba yang mengaku tuan.

Berat memikul amanah, berat lagi hati menghisab apakah nanti diri kami akan terlepas atau terjerat digalang amanah yang Engkau kurniakan.

Amanah sebagai hamba-Mu sahaja sudah menjerut rasa ingin hidup kami. Ini pula disandangkan amanah memelihara Kau dan Islam-Mu.

Allahu akbar!

Menjaga agama-Mu dari mana-mana posisi yang telah kaki kami pijak adalah hitung kira yang culaannya sudah bermula.

Maha Adil Engkau ya Allah, yang tidak mempersoalkan jaya atau gagalnya usaha. Tetapi rahmat-Mu mahu kami bersungguh-sungguh melaksanakannya.

Allahu akbar!

Janganlah Kau jadikan kami celaka di dunia tempat tinggal kami. Dan janganlah jua kiranya Kau singkirkan kami dari reda dan keampunan-Mu yang Maha Bernilai di saat kami berpijak di Mahsyar milik-Mu.

Wahai Rasulullah,
Tuan tidak pernah mencela sesiapa yang bertongkat berpapah membela al-Din ini. Tuanlah juga yang berbudi menghalang kami dari menumpahkan darah sesama kami. Apatah lagi meratah-ratahnya.

Selawat ke atasmu, wahai Kekasih Allah.

Kami mahu katakan yang kami rindukan Tuan. Tetapi kami malu, kalau dalam rindu yang kami lafazkan, Tuan tersinggung dengan kelancangan tingkah kami yang memalukan syariat yang Tuan sampaikan.

La ilaha illallah.
Subhanaka inni kuntu min al-dzolimin.
La haula wa la quwwata illa billah.



(2)

Ya Allah, dengan reda-Mu,

jadikanlah kami sebagai suami isteri

yang saling mencintai di kala dekat.

Saling menjaga kehormatan di kala jauh.


Saling menghibur di kala duka.

Saling mengingatkan di kala bahagia.

Saling mendoakan di dalam kebaikan dan ketaqwaan.

Serta saling menyempurnakan dalam urusan dunia dan akhirat.

Hingga genggaman erat tangan kami kembali bertaut
menuju jannah-Mu yang Maha Kekal.




(3)

Andai setiap duri yang melekat di kaki, ralit kita cabut satu persatu di kembara cinta mencari Ilahi ini, bilakah kaki akan melangkah lagi? Sampaikah kita? Atau terlewat juga tibanya?

Sedang waktu tak pernah menanti. Dan kemuncup bak kiambang bertaut.


(4)
Alhamdulillah kerana Dia melapangkan lagi nikmat kami. Dan di sinilah bermulanya ujian buat diri.

Juga terima kasih dan terima sayang buat ayahanda bonda di Beseri dan Tambun yang doa kalian tak pernah tiada untuk kami.

15062009, bersama 37 sahabat baru, kami melapor diri sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S41 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Maka bermulalah satu persahabatan baru kami di Pusat Pemantapan Akidah (PPA) JAKIM, Jelebu.

Berkampung 10 hari di sana sempena Kursus Asas Perkhidmatan Hal Ehwal Islam mengenalkan kami pada dimensi baru dunia kerjaya.

Bagi kami di trek ini, ujian kami menggalas amanah yang sejuta.

Bagi mereka yang memandang, tanggungjawab lebih banyak daripada masa yang diperuntukkan.

Untuk semua yang mengaku hidup dan mati hanya untuk Dia, majukan usaha.

Kerana kemenangan semakin hampir. Apalah guna ia hampir andai kita terngadah cuma.


Salam dari kami,
Nabil Ahmad & Suzana Mohamed Ali.
JAKIM, PUTRAJAYA

19 Mei, 2009

Buat Silap Anda

Bismillahirrahmanirrahim wa bihi nasta’in. Wa ba’du,
Align Center

Buatlah Silap Anda

Memang dah lama rasanya minda tidak mentaakul, mencerna maklumat menjadi ilmu dan benih idea baru.

Yang acapkali akal tidak lelah melaksanakan ialah membaca dan mencuplik maklumat – terutama sekali untuk dipindahkan ke sanggar ini.

Naluri kita secara fitrahnya mencari sandaran untuk menampan getir jerih hidup. Apa yang mata, hati dan telinga kita mahu tatkala diduga ialah kompromi tanpa belah bahagi supaya mata, hati dan telinga kita nyaman dari deru gundah.

Telah demikian lama tersurat citra manusia – mahu dengar apa yang mahu didengar. Sakit sekali mendengar apa yang telinga enggan.

Subhanallah! Ini bukan satu kesilapan. Inilah variasi dari penciptaan kita dan pelantikan kita sebagai khalifah sekali gus hamba kepada Allah.

Bukan mudah mendidik hati. Mendidik hati semolek hati milik Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda.

Namun kita sebenarnya sangat beruntung kerana ditemankan dengan al-Quran, al-Sunnah dan kisah-kisah para sahabat serta pengalaman hidup mereka sepanjang kita meniti alam milik Dia ini.

Segala teladan dan sempadan telah ditunjukkan. Mana salah mana betul, telah diterangkan segala kesan, segala akibat.

Hiduplah. Kerana dalam kehidupan ada susah ada senang. Ada betul ada silap.

Hidup bukan sentiasa kita di laluan yang lurus. Adakalanya kita tersalah juga. Dan dari situ kita belajar lagi untuk meneruskan esok dalam kehidupan diri.




Mencuplik kata nenek Puteri Mia dalam Princess Diaries : Royal Engagement, “awak mungkin tersalah dalam keputusan hidup. Nenek juga pernah melakukan kesilapan. Cuma jangan ulang kesalahan nenek. Buatlah kesalahan kamu sendiri”.

Ia. Kita belajar dari kesilapan lalu meskipun bukan silap sendiri.

Kalau kami pernah tersilap di situ, jangan anda juga melakukan kesilapan di tempat yang sama. Beriktibarlah dari titik gelincir itu. Jalan ke depan lagi. Kalau pun mahu tersilap, silaplah bukan di tempat kami silap. Bukan di simpang yang sama.

Itu silap kami dan anda tahu itu silap kami. Usah jadikan ia pula silap anda. Kerana ia bukan tersilap lagi, kalau begitu.

Ia disengajakan dan anda merugikan detik hidup anda dengan mengulang kesilapan kami yang anda tahu itu silap.

Kerana hidup ini penuh erti, maka marilah sama-sama dimengerti dan diertikan.


<<<*('_')*>>>
catatan cinta ini kami persembahkan dari lembah damai:
Suria Service Apartment, Bukit Merah Laketown.

11 Mei, 2009

Masih Tentang Pemberitahuan

Assalamualaikum WBT.

Sehari dua ini kami telah memperbaharui nombor telefon bimbit kami. Boleh semak di ruang kiri catatan ini.


Salam singgah,
Nabil Ahmad & Suzana Mohamed Ali

01 Mei, 2009

Ada Cerita

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum WBT.




Post entri terakhir kami di Sanggar Cinta ini 28 Mac. Masa tu kami di Sumatera Utara, Medan atas undangan mahasiswa dan sahabat di sana.

Terima kasih pada Akhi Mohd Ridzuan Yahya dan sahabat-sahabat beliau yang mengundang, menyambut dan meraikan kami bagai 'orang besar-besar' layaknya, walaupun entah siapalah kami berdua ini di sisi Allah, Sang Penguasa Alam serta seluruh isinya.

Kami sangat terharu dan saat-saat bersama kalian adalah antara momen terbaik kami. Moga-moga apa yang kalian beri pada kami, kalian akan terima kembali imbuhannya dari DIA yang Maha Menghitung, insya Allah.



Hari ini sudah 1 Mei.

Ertinya, tiada langsung catatan kami sepanjang April lepas. Sedangkan begitu banyak hikmah dan pengalaman hidup yang telah kami temui sepanjang satu bulan itu.

Mengutip satu persatu hikmah dan pengalaman di ladang kehidupan yang entah sampai bila Allah izinkan kami kecapi ini mencipta rasa ingin menulis cerita hidup yang benar-benar hidup sebagai perkongsian esok-esok.

Sayangnya, aspirasi itu bagai terlalu tinggi untuk kami sampai. Keterbatasan waktu bukan halangan utama. Kerana menjadi pencuri masa yang bijak bukan perkara susah.

Tetapi ada sebab lain yang mengikat kaki dan tangan kami - si Streamyx yang belum jumpa jalan ke sanggar cinta kami sejak kami pindah, Februari lalu!

Bila segala yang hadir tidak diikat dengan catatan, memanglah hikmah setiap satunya tak terlihat. Sirna. Kerana itu untuk menulis amat perlu sekali membaca, menelek dan berfikir.



Dan perkara sepenting ini awal-awal lagi sudah Allah syariatkan pada Baginda Rasulullah SAW dan seterusnya untuk kita semua laksanakan - iqra'!

Alhamdulillah dalam kesempatan ruang, waktu dan sihat yang Allah kurniakan, merasalah kami buat kali kedua menjengah ke Pesta Buku di PWTC.

Buku pertama yang kami beli hari itu ATN 2: Bercinta Sampai ke Syurga. Berebut-rebut juga kami membacanya. Di hujungnya kami temui jawapan pada beberapa persoalan yang belum tuntas saat mengulit Aku Terima Nikahnya sebelum ini.

Nampaknya koleksi kitab cinta kami makin bertambah selepas ATN dan Kisah Cinta dalam al-Quran yang dibeli khas sebelum ke Medan, Mac lepas; dengan Bidadari dari Timur - Memoir Isteri Seorang Pejuang.

Membaca cerita cinta manusia, dalam hati kami berputik rasa syukur tanpa hujung pada nikmat yang Allah kurniakan pada sekalian makhluk - sekalipun kita ingkar pada-Nya, kerana sayangnya DIA pada seluruh ciptaan-Nya.

Sedangkan dalam diri kita asyik berkira-kira mahu menyebut, mensyukuri dengan lidah, hati dan anggota segala pemberian-Nya. Malah acapkali pula kita jatuh kufur. Nastaghfirullah ...



Hari ini 1 Mei, hari pekerja dirayakan. Pekerja bercuti dari tugasnya.

Tetapi sebagai hamba Allah, tugas kita belum selesai. Belum boleh bercuti. Kerana cuti kita di syurga nanti.

Ya Allah, sampaikanlah kami ke syurga-Mu. Amin.

22 Mac, 2009

Beleklah Lembaran Itu

Bismillahirrahmanirrahim wa bihi nasta'in.

Wa ba'du,

Setelah sekian lama tinta terhenti dek urusan dan kerenah, alhamdulillah hari ini kami dilapangkan Allah menjengah kembali Sanggar Cinta kami yang nyata sudah bersawang.

Sepanjang tempoh itu, banyak sudah ayat dari hati yang tak terempang ... Dan ini antaranya ..


Beleklah Lembaran Itu


Berulang-ulang kali saya belek lembaran Fiqh al-Sirah al-Nabawiah tulisan Prof Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Butti. Episod-episod sirah dan perjuangan Baginda Nabi SAW saya teliti berkali-kali.

Memanglah di hujung segala kepayahan, Allah akan berikan kesenangan. Bersama kegetiran akan ada kelapangan.

Dan setiap kali pembacaan saya tiba di saat Fathu Makkah, rasa gembira dan terharu merebak dalam jiwa saya. Airmata saya tumpah, tak terempang lagi.

Subhanallah! Alangkah bahagianya detik itu.

Hadiah terbaik setelah berpuluh tahun Baginda Nabi SAW dan para sahabat berjuang mendaulatkan Islam sebagai al-Din, bagai tidak terasa segala jerih keringat dan darah yang mengalir.

Alangkah manisnya apabila Allah kurniakan kemenangan selepas berhempas pulas mendapatkannya!

Mungkin perasaan gembira saya tak setanding bahagianya umat terdahulu – al-Sabiqun al-Awwalun, tetapi saya membandingkan dengan sedikit pengalaman benar yang saya sendiri tempuh Januari lalu.

Tatkala Allah datangkan nikmat di waktu kita sudah putus harapan menghadapi konspirasi musuh. Dan tatkala hujung segala harapan dari usaha yang bermatian hanya digantung pada tawakal dan doa. Ketika itulah kemenangan datang dengan nikmat yang seakan mengapung jiwa ke langit ketujuh.

Sungguh!

Hanya insan yang pernah merasainya yang akan mengerti.

Langsung keyakinan pada Dia Yang Maha Ada itu bertambah-tambah. Lantas dengan sehabis segera memulangkan seluruh rasa indah itu pada Dia Yang Maha Memberi. Alhamdulillah!
Kerana kemenangan dan usaha mendapatkannya bukan dari kita. Semuanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Maka pada Dia jugalah segala-galanya diserahkan kembali.

Dari kisah bahagia di musim Fathu Makkah, helaian berikutnya menyucuk atma. Khutbah Terakhir Rasulullah di Haji Perpisahan.

Di Padang Arafah, airmata sahabat paling setia - Saidina Abu Bakr al-Siddiq membasahi pipi. Dalam ghairah meraikan kemenangan agung itu, pastilah airmata sahabat paling karib Rasulullah SAW yang luruh itu menunaskan rasa hairan yang tidak sedikit di hati sekalian yang hadir.

Maka saksikanlah! Betapa beriman dan kenalnya Saidina Abu Bakr akan Allah dan Rasul-Nya. Hatta tatkala ayat

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
dilafazkan, ia sudah cukup menggempur hati sahabat setia ini untuk bersedia menghadapi perpisahan panjang dengan kekasihnya, Muhammad SAW yang juga menantu beliau, insan paling dicintai seluruh isi langit dan bumi.

Subhanallah! Maha Suci Engkau Wahai Tuhan kami ...

Dan apakah pemergian Baginda al-Amin nanti akan mengubah episod bahagia ini?

Ternyata nikmat kemenangan dan ketuanan yang Allah kurniakan bukan pergi bersama jasad dan rohani Baginda. Kemenangan itu diteruskan. Dipertahankan.

Hinggalah tangan jahil kita sendiri yang merosakkan.

Alangkah malunya saya dengan Rasulullah! Malunya dengan Rasulullah! Malunya dengan Rasulullah!

Baginda dan para sahabat menyemai benih iman dan Islam dengan darah dan keringat sebagai baja. Sedang kita, mudah-mudah sahaja merobek semaian itu. Membuangnya. Membunuhnya. Malah lebih dahsyat, kita semai pula benih lain!

Allahu Akbar! Semakin saya membaca, saya semakin bersalah. Sebab saya mungkin termasuk dalam ‘kita’ itu tanpa sedar.

Signifikan kisah ini dengan abad kita sekarang sangat hampir.

Islam dilihat sedang mara menuju kemenangan. Maka, percayalah pada sunnatullah yang tak akan berubah.

Buka, belek dan telitilah lembar sirah dan perjuangan Baginda yang agung. Di situ ada jawapan kenapa begini jadinya hari ini. Dan nilailah, kita berada babak mana dalam episod perjuangan.

Mengetahui, mengenali, memahami dan menghayati sejarah pasti akan mencelikkan mata yang buta. Hingga si bisu bisa berbicara, di tuli bisa mengumpul cerita dan yang capek tidak lagi berpapah.