30 Mei, 2010

Kami & Mereka Mahu Bercinta Sampai ke Syurga


LUSA, akan masuk bulan Jun. Dan hujung minggu depan adalah minggu-minggu yang penuh dengan undangan Raja Sehari.

Bagi kami suami isteri, sangat senangnya hati kami menerima undangan sebegini. Senang hati kerana mereka memilih pernikahan, bukan perzinaan.

Hari ini isunya ramai yang memilih untuk tidak terikat dengan komitmen dalam rumahtangga. Lalu memilih jalan singkat untuk melempiaskan nafsu yang digebu-gebukan saban waktu.

Tetapi perkahwinan bukanlah tujuannya hanya hubungan intim ke situ. Bukan untuk seronok-seronok tanpa tujuan. Bukan permainan yang ada game over dan boleh cuba-cuba.

Ia adalah amanah. Amanah besar, beralihnya tanggungjawab dari seorang ayah ke bahu seorang suami.

Dan bagi si lelaki yang bergelar suami pula, syurga atau neraka isteri dan isi rumahnya terletak di tangannya. Membimbing pasangan menuju ke syurga seperti yang diimpi, bukan termetri dengan kata-kata dan harapan. Ia memerlukan usaha dan pengorbanan. Jalannya sukar dan berliku.

Atmosfera dalam rumahtangga ada panas dan sejuknya. Bersedialah untuk musim-musim itu. Kerana hidup untuk dihargai.

Tetapi bahagia ada di mana-mana. Pilihlah untuk bahagia. Anda mampu mengubahnya.

~***~

Senarai Jemputan ke Majlis Raja Sehari untuk Jun 2010 yang kami terima:
  • 5 Jun 2010
  1. Nor Saffinas binti Zahari & Mohd Khairi bin Mohd Yusoff - Ulu Kinta, Perak.
  2. Muhd Firdaus bin Ibrahim & Nurul Akma binti Zulkfay – Slim River, Perak.
  3. Mohammad Firdaus bin Ramlee & Aminah binti Mansor – Segamat, Johor
  4. Jamilah binti Abdul Wahab & Khairul Anuar bin Ahmad Hisham – Kuala Kangsar, Perak

  • 6 Jun 2010
  1. Nor Rafidah binti Hassan & Mohd Aizam bin Ab. Manaf - Ayer Tawar, Perak.
  2. Fatimah binti Ahmad & Shazry Munir bin Sahidan – Batu Kurau, Perak.

  • 8 Jun 2010
  1. Abdul Halim & Sarifah - Baling, Kedah

  • 10 Jun 2010
  1. Mohd. Nazrul Akmal bin Mohd. Zamri & Siti Hajar binti Mohamad Ahid – Baling, Kedah
  2. Nik Mohd Nasrun & Aemy Elyani - Pasir Puteh, Kelantan

  • 12 Jun 2010
  1. Noriza binti Shaimi & Mamat – Teluk Intan, Perak.
  2. Hazlin binti Hj. Kadir @ Shahar & Amin Fadilah bin Hj. Ahmad – Batu Pahat, Johor.
  3. Rashidah binti Mohamad Yusof & Mohd Shahrol Fadzli bin Yaacof – Segamat, Johor.
  4. Ikhmal Husin bin Dato' Abd. Rahman & Rubiah binti Hj. Mohd. Yunus - Cyberjaya, Selangor.

  • 13 Jun 2010
  1. Nursyamsul bin Abdul Roni & Na'iimah binti Abd Hapis @ Romli – Kangar, Perlis.

  • 19 Jun 2010
  1. Sulhi bin Abidin & Siti Tasnim binti Mior Pi – Kangar, Perlis.
  2. Mohd. Hasraffiz bin Mohd. Noor & Wan Nor Dalila binti Haji Wan Yunus - Bandar Baru Bangi, Selangor.
  3. (Majlis pertunangan) Siti Syahidah Ramli di Kg. Gajah, Perak.

Seawalnya, tahniah dari kami berdua. Selamat Penganti Baru. Kami mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi semua undangan. Terima kasih kerana menjemput kami di hari besar kalian.

Apapun, kami titipkan doa pada semua yang bakal menempuh alam perkahwinan, -


dan marilah bercinta hingga ke syurga.



Mohon doakan kami juga,
~Nabil bin Ahmad & Suzana binti Mohamed Ali~

09 Mei, 2010

08.05. dan Cerita Tentang Ayah

Selamat Ulang Tahun Hari Kelahiran
buat
Ayahanda kami yang disanjungi:

Haji Mohamed Ali bin Yang

Anakanda panjatkan doa,
moga Ayahanda sentiasa dicintai Allah lebih dari kami
menyayangimu.

Kami sayang Ayah sentiasa.
~ Nabil bin Ahmad ~
~ Suzana binti Mohamed Ali ~

~***~

CERITA TENTANG AYAH

Ayah saya dilahirkan 58 tahun yang lalu, dari rahim Bondanya yang kami cuma kenal namanya sahaja, Nenda Sabariah binti Mahadi.

Anak ketiga dari sembilan beradik yang merantau mencari rezeki, sebelum akhirnya memilih Ipoh sebagai destinasi.

Ayah membesarkan kami dengan usahanya sebagai pengusaha kedai makan. Lama dulu, Ayah miliki sebuah kedai makan di depan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh. Kedai yang DBI sewakan, sebenarnya.

Di situlah kami adik-beradik dibesarkan. Dan dengan hasil titik peluh ayahlah kami disuapkan.

((Setiap kali mengingati memori-memori di zaman kecil di kedai Ayah itu, hati saya sayu sekali. Hujan di hati. Setiap kali.))

Ayah tak pernah mengalah berusaha mencari rezeki, walau meniaga ini ada jatuh bangunnya. Meniaga sudah sebati dengan Ayah. Sampai sekarang, walaupun kedai itu sudah tiada, Ayah masih meniaga.

Masa kecil-kecil dulu, setiap malam Ayah uli tepung untuk bikin roti canai, kami adik-beradik duduk keliling Ayah, mengadap besen rotinya.

Pantang lepa sikit, roti itu akan kami cuit curi-curi. Kadang-kadang Ayah uli roti sambil mengadap gusti di TV. Sambil bulat-bulatkan doh roti tu, Ayah suruh kami lumurkan minyak sapi pada roti yang dah bulat.

Saya dan Ngah yang selalu buat. Amin tak tahan bau minyak sapi tu. Dia dapat pengecualian. Tapi roti canai yang dah siap bakar, dia makanlah.

Ingat lagi, masa dulu rumah kami belum ada bekal elektrik sepenuhnya. Menjelang maghrib, kami akan tengok Ayah nyalakan lampu gasolin. Suka tengok! Macam Ayah buat magik.


Saya ingat juga, masa tu Ayah garang sangat. Kami tiga beradik yang atas-atas ni selalu kena rotan. Sebab malas solat la. Sebab gaduh la. Sebab tak tolong Ayah la. Sebab itu, sebab ini.

Paling tak boleh lupa, Ayah pernah rendam Ngah dalam kolah sebab dia buat-buat tidur sebelum solat Isyak. Sian kamu, Ngah. :)

Amin kecil lagi masa tu. Hafiz pun baby lagi. Adik memang belum ada lagi.

Ayah garang. Tegas sangat dengan anak-anak. Rotan tu entah dah berapa kali Ayah beli, sebab ada yang hancur merotan kami dan ada yang kami sorok. Hehe ..

Masa berlalu, Ayah dah tak garang macam dulu. Ayah sekarang dah macam 'kawan' pada kami. Dah boleh melawak dengan Ayah, kalau kena gayanya. Untung Hafiz dengan Adik, sebab tak lalui 'Zaman Rotan' tu.

Satu lagi yang saya ingat, masa duduk asrama, duit belanja Ayah bagi ialah 5 ringgit je. Kalau minta nak lebih, Ayah bagi 50 sen. Masa tu, rasa sedih sangat. Sebab sebenarnya teringin nak berbelanja macam kawan-kawan lain. Nak keluar pekan Ipoh pun tak boleh beli apa, sebab duit tu 5 ringgit je. Haha ..

Tapi rupanya, saya jadi pandai berjimat dan 'tahu' guna duit. Bukan senang nak senang, kan?

Hmm, dah banyak cerita tentang Ayah saya.

Ayah yang saya sayang.

Ayah yang besarkan saya.

Ayah yang pernah rotan saya.

Ayah jugalah yang rindukan saya masa merantau jauh di Lembah Nil dulu.

Dan Ayahlah yang menikahkan saya dengan lelaki yang mencintai saya.

Ayah, Kak ni degil, kan? Kak keras hati macam Ayah juga, kan?

Tapi Kak sayang Ayah.

Sayang sangat.

Dan Kak rindukan Ayah.

Selamat Hari Ulang Tahun, Ayah.

Ya Allah, peliharalah Ayahku, sebagaimana dia memeliharaku sejak aku di dalam rahim ibuku. Panjangkan usianya dengan amal dan murahkan rezekinya yang halal dan baik. Amin ..

01 Mei, 2010

Mengutip Kenangan 2 Tahun 1 Bulan 3 Minggu yang Lalu




Dah lama bikin, tapi ni baru tergerak hati nak muat naik ke sanggar cinta.

Mengenang detik terindah saat lafaz sakinah, "aku terima nikahnya".

Dengan doa dan amal, semoga pernikahan ini diredai
dan kekal bercinta sampai ke syurga.

Amin.

* ________________ *

Selamat Ulang Tahun Hari Perkahwinan
buat


*

*

*

Bonda Rosiah Zakaria
& Ayahanda Mohamed Ali Yang
yang ke-34
hari ini ~ 1 Mei.


Anakanda berdua mendoakan, semoga terus bahagia hingga ke syurga.
Sembah maaf dari anakanda kerana tidak dapat pulang meraikannya.
Hanya doa mengiringi.

Terima kasih untuk kasih sayang kalian
yang menyuburkan cinta kami.

Mak, Ayah,
kami sayang kalian berdua.