14 Februari, 2012

Catatan Kembara Cinta 1/2011



Dah habis rak buku dan kotak dokumen kena selongkar.

Tak jumpa!

"Abang, ada nampak tak passport Honey kat mana?"

Suami yang sedang membelek bahan untuk persediaan sebagai perantara Forum Perdana Ehwal Islam menoleh dengan dahi berkerut.

"Passport? Nak ke mana cadangnya?" Soalan saya dijawap dengan soalan juga.

"Tak ada lah nak ke mana. Teringat kat Mesir tadi. Sajalah cari passport, entah bila tarikh tamatnya. Kot lambat lagi, bolehlah... "

"Kalau nak ke sana, simpan duit sendiri. Boleh? Kita pegi hujung tahun depan." Ayat saya kena pancung.

Jeda sekejap.

"Betulkah?" Hati saya macam kembang sikit.

"Abang pernah tipu ke? Ya. Kita simpan duit sama-sama. Baru best!"




^2011^

Hampir dua tahun kami menyimpan sejak itu. Sikit-sikit. Setiap bulan.

Perancangannya, kami akan ke bercuti ke Mesir pada hujung 2011.

Bukan mudah. Dalam keadaan kewangan yang terbatas, kos sara hidup yang serba mahal dan menjerut, hasrat untuk terus menabung macam tenggelam timbul. Acapkali dah nak terpakai simpanan tu.

Hinggalah tarikh 25 Januari 2011 tiba. Revolusi di Mesir tercetus. Anak-anak Melayu di Bumi Kinanah dibawa pulang beramai-ramai. Mesir jadi tak aman masa itu.

"Macamana ni, bang?"

Suami saya membalas soalan saya dengan pandangan sepi.

"Kita tanya adik-adik kat sana hal sebenar. Lagipun kita nak ke sana tu hujung tahun. Ni awal lagi".

Atma saya kembali damai.

Tambah-tambah di pejabat, Bahagian saya terlibat secara langsung menyelia operasi evakuasi dan penghantaran semula pelajar ke Mesir itu.

Keadaan nampak positif. Lebih positif dari yang dilaporkan dalam akhbar dan berita.

Melihat itu, kami sudah mula mencongak-congak kos jika jadi melancong hujung 2011 itu. Cukup dah ke? Tambang, penginapan, makan minum, pengangkutan, kos perjalanan lain, beli belah. Semua kena ambil kira.

Semangat jadi berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki semula ke Mesir. Bumi yang sudah hampir 5 tahun kami tinggalkan. Bumi yang menyimpan banyak kenangan pahit manis kami.

Bumi yang jadi tempat pertemuan dan jatuh hati kami.

Rindunya!

"Apa kata kita ajak mak ayah kita sama, nak? Depa pun tak pernah sampai ke sana masa kita ada," sang suami mengusul.

Tentulah saya tiada bangkangan.

Alhamdulillah mak ayah dan mama baba kami setuju untuk turut serta. Ada masa lagi nak menabung sebelum ke hujung tahun, itu fikiran kami.


KHABAR DI PAGI JUMAAT ITU

Hinggalah ke satu hari di bulan Ramadan 1432H. Masih ingat tarikh itu - 12 Ramadan, hari Jumaat. Kami dikhabarkan berita paling indah. Kami bakal menimang cahaya mata pertama! Maha suci Allah yang menciptakan!

Mengenangkan penantian atas penantian, keluarga mencadangkan hajat kami menjejak cinta di bumi sahara ditangguhkan hingga si kecil ini lahir.

Hajat itu malap seketika. Dek melayan nuansa diri yang berbadan dua, tak berani menyebutnya di bibir. Takut nanti dikata mengidam pula. Walaupun dalam hati, harapan masih menyala.

"Tahun ni tak jadilah ye, nak ke sana?"

Tiba-tiba sebak pula waktu soalan ini dijawab ya.

Rasa itu bergayut di tangkai hati. Jenuh menahan hati, tangguh bukan bererti batalkan hajat. Balik-balik, hati sebak juga.

Syukurlah, hati saya pantas ditebak.


NIKMAT ATAS NIKMAT

Entah bila harinya tiket sudah dirisik. Tahu-tahu sang suami bertanyakan pilihan tarikh sahaja. Hati manalah yang tak kembang. Jiwa manalah yang tak terawang-awang. Serinya naik ke muka, kalau dipandang!

Sungguh, ini nikmat di atas nikmat. Syukur, Tuhan.

Kami sepakat mengosongkan diari 20 hingga 31 Disember 2011 untuk ke Mesir.
Namun, setelah tekad ini jadi nekad, bilah-bilah hari kami jadi sangat padat.

Alhamdulillah, akhirnya detik itu tiba juga.

Dengan penerbangan Egyptair, ibu pertiwi kami tinggalkan sepekan dua. Rindu ini menerbangkan kami, yang asalnya mahu berenam, sudahnya berlapan dan setengah – si kecil itu kan sudah ada bersama kami?

Syukur sangat-sangat, segalanya baik-baik sepanjang kembara cinta kami itu.

*


*


*


*


*



*bakal bersambung, Insya Allah …*