12 Disember, 2011

Kembara Cinta 1


HATI kami sedang digayut rindu. Rindu pada sebuah kenangan detik pertemuan pertama di lembah sahara. Insya Allah, rindu itu akan kami jejaki kembali. Rindu pada sebuah Kembara Cinta ...



Di suatu hari dalam tahun 2002, cerita pun bermula.

“Ustazah, kalau keluarga Ana tak setuju, kita kenal setakat ini sahajalah.”

Ayat itulah yang dilafazkannya, pada sesi taaruf pertama kami, 9 tahun lepas, setelah diaturkan oleh Bait Muslim Perak. Ayat yang tak menggantung apa-apa harapan.

Kami bukan pernah kenal sebelum ini untuk masing-masing rasa terluka jika ditolak. Kami bermula dengan sifar.

Bukanlah apa-apa jika keluarganya tak setuju. Saya juga akur, peranan keluarga sangat penting dalam hal sebesar ini. Pasti keluarga saya juga tidak berdukacita kerana itu.

Ayat yang bukan janji itu berlalu buat sekian waktu. Kami meneruskan hidup seperti biasa.

Selang beberapa bulan kemudian, saya dimaklumkan bahawa keluarganya bersetuju saya menjadi sebahagian keluarga mereka. Saya dan keluarga terima berita ini dengan penuh takzim dan syukur.

Dan bermulalah episod panjang kami.

Kisah kami biasa-biasa sahaja. Kami diperkenalkan melalui orang tengah. Perkara ini dalam makluman keluarga dua-dua pihak.

Dari awal saya ditanya oleh orang tengah, kemudian saya ‘diugut’ kalau keluarganya tak setuju, tak jadi, hinggalah semuanya ke gerbang 9 Mac 2008, semuanya dalam makluman dua-dua keluarga.

Tapi kembara itu panjang.

Bertahun-tahun.

Berkenalan dari sebelum dia dikenali ramai. Saya melihat dia jatuh dan bangun membina namanya. Saya bersyukur saya sudah ada di situ.

Walaupun ramai yang menyangka saya menerimanya kerana namanya, semasa naiknya dia. Tidak! Kerana saya menerimanya sebelum saya tahu namanya pun, lewat istikharah dan istisyarah.

Saya bersyukur juga kerana bukan saya yang terkejar-kejar. Saya bersyukur kerana tak perlu memurahkan diri untuk jadi pendampingnya.

“Abang yang cari Honey. Honey tak perlu rasa tergugat dengan yang datang selepas Honey, sebab mereka yang cari Abang. Pada Abang, Honey istimewa sebab itu.”

Dia cinta pertama saya. Saya jadi lagi-lagi bersyukur kerana tak ada istilah membanding-banding antara dia dengan orang lain kerana tiada sesiapa sebelum dia dalam hati saya. Moga-moga tiada juga selepas dia.

Cerita kami ini cerita biasa. Tak ada yang istimewa.

Kami tak sempat berdating. Sebab setiap kali dia mahu berjumpa saya, sama ada ditemani pihak Bait Muslim, ataupun keluarga saya.

Kerana itu, setelah nikah, kami baru memulakan cinta. Selepas jemari kami bertaut kali pertama, kami tak mahu lepaskannya lagi. Barulah bermula episod kami berdating dan balik lewat malam. Makan bersuap dan berkongsi sepinggan. Jalan berdua-duaan. Melirik senyum, bertentang mata. Bercuit pipi. Posing lentok, rapat-rapat. Ber-abang-sayang-honey.





Semua itu berlaku selepas 9 Mac 2008.

Dari situlah cinta kami bermula.

Dari situlah kami kembali berkenalan. Sebagai suami dan isteri. Watak jadi berbeza kerana bersamanya ada amanah dan tanggungjawab. Bukan suka-suka, ada teman tidur sahaja.

Kami menempuh perjalanan yang getir untuk merasai cinta. Dan tatkala cinta itu dinikmati, terasa betapa indah dan manisnya.

Rugilah kalau semuanya sudah terbiasa sebelum nikah.

Tiada yang istimewa untuk membezakan hubungan sebelum nikah dengan ikatan selepas akad berwali, ijab bersaksi.

Sudah tiadalah debar yang mahu memecahkan dada, yang sepatutnya kita rasa selepas nikah. Debaran indah yang setiap kali diingati, cinta yang lesu kembali segar. Tak adalah itu kalau sudah semuanya kita dapati di luar nikah.


Hawa, tak rugi kalian membataskan diri. Mahu layanan eksklusif dari lelaki, eksklusifkanlah dirimu dari lelaki sebarangan.

Adam, jika tak mahu esok dirimu dibanding-banding, usahlah semua hawa mahu ditoleh berkali-kali.

Moga sabar dan setianya kalian menunggu cinta, jadi mahar terindah dalam cinta pertama.



.

07 Disember, 2011

Semua Buat Salah


Semua kita buat salah dan dosa.

Sama ada dosa dengan Allah.

Buat salah dengan mak abah, keluarga.

Buat silap dengan kawan-kawan.

Atau bersalah pada diri sendiri.

Mungkin kita buat dosa tu semalam. Atau sekarang. Atau esok-esok.

Sebanyak manapun dosa dan salah kita tu, takkan terpadam macam tu je.

Ya, manusia mungkin lama-lama terlupa dia pernah buat salah. Tapi Allah tak pernah.

Yang penting, bukan banyak mana dosa dan salah yang kita dah buat. Tapi adakah kita dah minta ampun, minta maaf dari dosa dan salah semua tu?

Baiknya Allah ni, sekali kita dah minta ampun pada Dia, Dia tak ungkit dah nanti bila di Padang Mahsyar.

Allah dah padamkan semua tu dari buku amalan kita.

Tapi syaratnya kena minta ampunlah. Dan syarat nak minta ampun, kena sungguh-sungguh menyesal dan tak buat dah perkara yang sama.

Kalau main2 je minta ampun, bukan Allah tak tahu ...

Jangan tangguh2 minta ampun, sebab seminit lepas ni pun kita tak tahu apa akan jadi pada kita.

Selagi ada masa, buatlah sekarang. Macamana kita nak orang yang buat salah pada kita tu cepat-cepat minta maaf pada kita dan akui kesilapannya, macam tu lah juga Allah, bila kita buat dosa.

"Semua manusia buat salah. Sebaik-baik orang buat salah ialah yang bertaubat"

22 November, 2011

Wanita & Eksklusif

^~^

WANITA sangat suka benda atau perkara yang eksklusif. Suka lain dari yang lain. Berbeza buat wanita rasa istimewa. Ada privilege!

Hakikatnya dalam kehidupan seharian seorang wanita, jarang sebenarnya dia memilih dan menjadikan dirinya benar-benar eksklusif. Kebanyakannya lebih suka jadi biasa-biasa sahaja, sama macam orang lain. Tastenya mungkin eksklusif, tapi stylenya biasa-biasa saja.

Kita tahu untuk jadi wanita yang eksklusif, kita kena bersikap eksklusif. Kena berhati-hati dalam menentukan sikap. Tak semberono hingga diri kita nampak macam murah sangat.

Simple je sebenarnya. Baik dalam pergaulan melalui perkataan mahupun tindakan dan sehingga gerak bahasa tubuh dan lirik mata pun kita perhatikan yang mana yang sesuai dengan standard eksklusif yang kita tetapkan.

Berkawan adalah perkara biasa-biasa. Eksklusifnya bersahabat baik.

Bercinta monyet itu low class. Bernikah itu eksklusif.

Mudah saja nak jadi eksklusif. Tak perlu keluar modal ribu-ribu pun.

Contoh lain, panggilan 'abang' kepada lelaki & 'sayang' untuk perempuan atau yang sewaktu dengannya eksklusif sebagai panggilan mesra suami-isteri. Tetapi ramai yang memilih untuk mengasah lidah menyebutnya di luar pernikahan.

Berhias manis dengan pakaian yang menjolok mata dan rasa itu hanya eksklusif semasa di dalam rumah bersama suami, tetapi ramai kita yang selesa mempamerkan keindahan dirinya di luar rumah.

Suara merdu sang ibu sangat eksklusif untuk menidurkan anak. Tetapi ramai yang tampil melunakkan suaranya di khalayak ajnabi.

Lentok-lentok manja, jalan sambil berpegang tangan, cuit-cuit hidung, makan bersuap, berkongsi segelas sirap, semua tu eksklusif. Bukan untuk pasangan bercinta di luar nikah. Privilege bagi sang lelaki yang telah dengan lafaz yang nyata berakad menyatakan kesanggupan memikul amanah mendidik wanita yang seminit sebelumnya adalah dalam tanggungjawab sang ayah. Privilege bagi si wanita yang telah menerima mahar dirinya dari nikah yang terijab kabul tadi.


Semua itu eksklusif!

Mahu jadi eksklusif? Anda tentukan!


______________________________

Tulisan ini telah ditampal di dinding mukabuka saya pada 18/11/2011. Atas nasihat suami, saya tampal semula di sanggar ini, buat pedoman ramai. Moga bermanfaat untuk diri dan anda semua.




^~^

18 Oktober, 2011

Sampai Masa, Tibalah Waktu

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum WBT.

**************



MEMBACA kisah dan mendengar cerita cinta muda-mudi hari ini bikin hati rawan dan gerhana.

Lewat FB, mudah dapat kita baca nota cinta, irama rindu, pujuk rayu dan dendam asmara sang laila yang majnun atau si teruna yang tak kenal mimpi atau realiti.

Pada umur kalian yang masih hijau pucuk ini, kami kira antara terang dengan gelap pun masih belum kenal beza. Apatah lagi membezakan mana emas, mana sepuhan.

Kenal-kenallah dahulu dengan diri sendiri. Kenal-kenallah dulu dengan hatimu.

Bercinta bukan untuk sehari semalam. Bercinta hingga sampai kembali bersatu di syurga Tuhanmu.

Kalau cinta pada takrif kita sekadar nikah dan beranak, sesudah langsai semua itu, cinta akan jadi puing-puing sejarah saja. Tinggal untuk dikenang. Hangatnya kasih sudah tak berbahang. Redupnya rindu sudah tak mendamaikan.

Ketika itu cinta sudah jadi menyakitkan. Menyesakkan rasa dan jiwa. Membunuh diri yang sudah kematian hati.

Semailah cinta dari hari ini di batasnya betul-betul. Jangan disemai sebarang-sebarang. Esok-esok takut musim berbuah, menuai lalang.

Kalau untuk mencangkul dan menggembur tanah ilmu pun ada lagi malas-malas, nanti dulu! Jangan cuba-cuba berkebun cinta. Biar dulu.

Sampai masa tibalah waktu, dah jodoh, takkan lari gunung dihambat.









.

Pesan dari kami, yang juga pernah di usia kalian, suatu masa lalu.



15 Oktober, 2011

Maha Suci Allah yang Menciptakan ..

Bismillah
A001
A002
A003
A004
A005



Lilypie Pregnancy tickers

Alhamdulillah, Ramadan 1432H lalu, kami berdua dikhabarkan dengan berita gembira yang sangat dinanti - kami bakal ayah dan ibu!

Subhanallah! Sungguh Dialah Maha Pencipta. Maha Pengatur.

Doa, penantian dan usaha kami sejak hampir 3 tahun setengah, Allah perkenankan. Tiada kalimah lain kecuali alhamdulillah, segala puji bagi-Mu, ya Allah.

Semoga anak yang bakal lahir ini berupaya kami didik mencintai Tuhan dan Rasulnya. Mohon doakan semuanya terbaik dan lancar.

Terima kasih buat ayahbonda kami yang tak putus mendoakan kami dengan doa dan restu yang tak kenal jemu. Terima kasih buat adik-beradik, saudara mara kami, teman-teman dan kenalan yang turut mendoakan.

Mudah-mudahan kerana doa kalian yang baik-baik itu, Allah gandakan kebaikan untuk kalian lebih-lebih lagi.








Siruu 'ala barakatillah ...



.

11 Ogos, 2011

MEMBETULKAN YANG BIASA



ALHAMDULILLAH kita sudah melangkah ke pusingan kedua Ramadan yang Allah janjikan keampunan-Nya yang Maha Luas. Insya Allah kita belum mengalah.

Syukur juga kerana terasa imarahnya masjid dan surau seluruh dunia dengan kehadiran bulan al-Mubarak ini. Waktu antara maghrib hingga usai Tarawih lah yang paling meriah di rumah-rumah Allah.

Baik lelaki atau wanita. Muda atau tua. Bujang atau berkeluarga. Masing-masing tak mahu melepaskan peluang ini.


Beberapa Kebiasaan Jemaah Solat Tarawih (Muslimat terutamanya)
Yang Boleh / Perlu Dibetulkan

Tetapi, ada beberapa perkara biasa kita lihat tetapi perlu diperbetulkan dalam keghairahan kita menghidupkan malam di bulan mulia ini.

Berdasarkan pemerhatian saya di surau dan masjid sepanjang Ramadan kebelakangan ini, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian. Berikut saya senaraikan, setakat mana yang teringat:

1) Kebiasaan yang bagusnya apabila muslimat kita rajin membawa anak yang belum baligh bertarawih sekali. Satu pujian untuk itu. Tetapi, yang biasanya kita lihat, mereka bersolat di tengah saf dengan anaknya berada di samping - yakni dalam saf yang sama. Kadang-kadang anaknya berlari meninggalkan saf, jadi berlaku lompong di tengah-tengah saf. Ini menyebabkan saf muslimat terputus.

Yang betulnya, bawalah anak-anak kita tadi bersolat di hujung saf, sama ada kiri atau kanan. Insya Allah di samping lebih selesa bagi si anak, baik juga bagi jemaah lain menjaga khusyuk.


2) Bukan semua kita dapat datang solat Isyak bersama imam di takbiratul ihram. Ada yang terlewat, masbuqlah dia. Ada yang lagi lewat, tiba masa orang sedang solat tarawih. Biasanya, yang tiba selewat ini, kita pasti akan mendahulukan solat Isyak, kan? Dan biasanya jugalah, kita memilih penjuru mana-mana dan bersolat Isyak sendirian. Usai solat Isyak sendirian, baru mengabungkan diri dalam saf tarawih.

Yang betulnya, kita berjemaah juga. Masuk dalam saf, niat mahu solat Isyak dan berjemaah bersama-sama jemaah yang sedang bertarawih. Seusai imam memberi salam, sambunglah baki solat bagi menggenapkan 4 rakaat solat Isyak kita.


3) Ini kebiasaan yang berlaku di kebanyakan masjid dan surau yang melaksanakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Kita memilih untuk solat 8 rakaat sahaja. Usai 8 rakaat, kita bercadang mengerjakan solat witir 1 rakaat sahaja. Biasa dilihat, ada yang masih kekal dalam saf sedangkan dia niat solat witir bersendirian. Selepas selesai 1 rakaat witirnya, dia bergegas keluar saf. Lagi satu lompong ...

Yang betulnya, jika mahu solat witir sendirian kerana memilih solat tarawih 8 rakaat sahaja, kita keluar dahulu dari saf dan solatlah. Itu lebih bagus supaya saf masih tersusun.


4) Biasanya, jemaah muslimat gemar membawa sejadah kecil sendiri. Sebaik masuk saf, sejadah atau alas itu kita bentang di depan kita. Biasanya, jika saf berganjak kerana mengisi lompong yang kosong, kita tak berganjak sama. Mungkin kerana kalau berganjak, sejadah atau alas itu mungkin akan jauh dari kita dan digunakan pula oleh orang lain.

Yang betulnya, anjaklah. Rapatkan saf itu lebih utama. Dan sebaiknya, di masjid atau surau yang sudah terhampar sejadah atau karpet, tak perlulah lagi kita beralas lain. Seragam lebih nampak cantik, kan?

Wallahua'lam.


Itulah serba sedikit pemerhatian saya sepanjang beberapa tahun Ramadan ini. Mana yang biasa itu, boleh kita betulkan. Dan mesti kita betulkan.


Semoga bermanfaat.








.

29 Julai, 2011

RAMADAN TIBA

RAMADAN TIBA
By OPICK

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Ramadan tiba
Marhaban Ya Ramadan

Ramadan tiba semua bahagia
Tua dan muda bersukacita
Bulan ampunan bulan yang berkah
Bulan terbebas api neraka.

Andaikan saja Ramadan semua
Bulan yang tiba bulan yang ada
Karena besarnya setiap pahala
yang dijanjikan kepada kita.

Dalam bersahur ada pahala
Dalam berbuka alangkah indah
Menahan diri menahan lidah
Menjaga hati menjaga mata.

Banyakkan amal hari-harinya pahala
Datang berlipat ganda
Berlumba-lumba untuk ibadah
Dunia bahagia surga nantinya.

Dan semoga setiap jiwa
Diberikan ampunan-Nya
Dan semoga hapus semua
Kesalahan setiap jiwa.

Marhaban Ya Ramadan!




~~~~~~~~~~~~~~~~~

.