22 Mac, 2009

Beleklah Lembaran Itu

Bismillahirrahmanirrahim wa bihi nasta'in.

Wa ba'du,

Setelah sekian lama tinta terhenti dek urusan dan kerenah, alhamdulillah hari ini kami dilapangkan Allah menjengah kembali Sanggar Cinta kami yang nyata sudah bersawang.

Sepanjang tempoh itu, banyak sudah ayat dari hati yang tak terempang ... Dan ini antaranya ..


Beleklah Lembaran Itu


Berulang-ulang kali saya belek lembaran Fiqh al-Sirah al-Nabawiah tulisan Prof Dr Muhammad Sa’id Ramadhan al-Butti. Episod-episod sirah dan perjuangan Baginda Nabi SAW saya teliti berkali-kali.

Memanglah di hujung segala kepayahan, Allah akan berikan kesenangan. Bersama kegetiran akan ada kelapangan.

Dan setiap kali pembacaan saya tiba di saat Fathu Makkah, rasa gembira dan terharu merebak dalam jiwa saya. Airmata saya tumpah, tak terempang lagi.

Subhanallah! Alangkah bahagianya detik itu.

Hadiah terbaik setelah berpuluh tahun Baginda Nabi SAW dan para sahabat berjuang mendaulatkan Islam sebagai al-Din, bagai tidak terasa segala jerih keringat dan darah yang mengalir.

Alangkah manisnya apabila Allah kurniakan kemenangan selepas berhempas pulas mendapatkannya!

Mungkin perasaan gembira saya tak setanding bahagianya umat terdahulu – al-Sabiqun al-Awwalun, tetapi saya membandingkan dengan sedikit pengalaman benar yang saya sendiri tempuh Januari lalu.

Tatkala Allah datangkan nikmat di waktu kita sudah putus harapan menghadapi konspirasi musuh. Dan tatkala hujung segala harapan dari usaha yang bermatian hanya digantung pada tawakal dan doa. Ketika itulah kemenangan datang dengan nikmat yang seakan mengapung jiwa ke langit ketujuh.

Sungguh!

Hanya insan yang pernah merasainya yang akan mengerti.

Langsung keyakinan pada Dia Yang Maha Ada itu bertambah-tambah. Lantas dengan sehabis segera memulangkan seluruh rasa indah itu pada Dia Yang Maha Memberi. Alhamdulillah!
Kerana kemenangan dan usaha mendapatkannya bukan dari kita. Semuanya dengan izin Dia Yang Maha Berkuasa. Maka pada Dia jugalah segala-galanya diserahkan kembali.

Dari kisah bahagia di musim Fathu Makkah, helaian berikutnya menyucuk atma. Khutbah Terakhir Rasulullah di Haji Perpisahan.

Di Padang Arafah, airmata sahabat paling setia - Saidina Abu Bakr al-Siddiq membasahi pipi. Dalam ghairah meraikan kemenangan agung itu, pastilah airmata sahabat paling karib Rasulullah SAW yang luruh itu menunaskan rasa hairan yang tidak sedikit di hati sekalian yang hadir.

Maka saksikanlah! Betapa beriman dan kenalnya Saidina Abu Bakr akan Allah dan Rasul-Nya. Hatta tatkala ayat

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا
dilafazkan, ia sudah cukup menggempur hati sahabat setia ini untuk bersedia menghadapi perpisahan panjang dengan kekasihnya, Muhammad SAW yang juga menantu beliau, insan paling dicintai seluruh isi langit dan bumi.

Subhanallah! Maha Suci Engkau Wahai Tuhan kami ...

Dan apakah pemergian Baginda al-Amin nanti akan mengubah episod bahagia ini?

Ternyata nikmat kemenangan dan ketuanan yang Allah kurniakan bukan pergi bersama jasad dan rohani Baginda. Kemenangan itu diteruskan. Dipertahankan.

Hinggalah tangan jahil kita sendiri yang merosakkan.

Alangkah malunya saya dengan Rasulullah! Malunya dengan Rasulullah! Malunya dengan Rasulullah!

Baginda dan para sahabat menyemai benih iman dan Islam dengan darah dan keringat sebagai baja. Sedang kita, mudah-mudah sahaja merobek semaian itu. Membuangnya. Membunuhnya. Malah lebih dahsyat, kita semai pula benih lain!

Allahu Akbar! Semakin saya membaca, saya semakin bersalah. Sebab saya mungkin termasuk dalam ‘kita’ itu tanpa sedar.

Signifikan kisah ini dengan abad kita sekarang sangat hampir.

Islam dilihat sedang mara menuju kemenangan. Maka, percayalah pada sunnatullah yang tak akan berubah.

Buka, belek dan telitilah lembar sirah dan perjuangan Baginda yang agung. Di situ ada jawapan kenapa begini jadinya hari ini. Dan nilailah, kita berada babak mana dalam episod perjuangan.

Mengetahui, mengenali, memahami dan menghayati sejarah pasti akan mencelikkan mata yang buta. Hingga si bisu bisa berbicara, di tuli bisa mengumpul cerita dan yang capek tidak lagi berpapah.