TEBU DI BIBIR, REBUNG BERDURI DI HATI?
Puan Ainon Mohd. menulis:
Kita selalu diberi peringatan supaya menaruh curiga terhadap orang yang memuji kita atas alasan puji-pujian dapat menjerumuskan kita ke dalam keburukan, sebagai contoh puji-pujian menjadikan kita riak, ujub, sombong, tidak sedar diri dan tinggi diri.Namun, banyak hadith menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memberikan pujian dengan mudah sekali kepada sesiapa sahaja yang kebetulan melakukan perkara-perkara yang baik. Mereka yang dipuji oleh Nabi Muhammad itu tidak pula menjadi perasan, riak, ujub, sombong, tidak sedar diri, dan tinggi diri.Ini bermakna, ada teknik memuji yang betul, dan ada teknik memuji yang salah.Teknik Nabi memuji itu tentu betul, sebab sebagai orang yang maksum beliau tidak mungkin melakukan perkara yang salah!
....
Satu pernyataan yang benar.
Acapkali kita bertemu dengan mereka yang ringan mulut memuji kita itu ini. Hati pun kembang setaman. Esok lusa dipuja-pujinya lagi kita. Dan hati kita pun setaman lagi kembangnya.
Hingga satu masa, kita karam di laut rasa. Di balik indahnya puji sana-sini, kita terapung tak tahu membawa diri.
Rupa-rupanya, puji-pujian si pemilik bibir manis tadi sekadar memanis kata!
Itulah bezanya memuji cara Rasulullah dengan memuji cara kita - menanam tebu di pinggir bibir, rebung berduri di hati.
Nabi Muhammad kita gemar memuji.
Kata Puan Ainon Mohd. lagi;
Prinsip-prinsip yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad supaya dijadikan pegangan apabila memberi pujian adalah:1. Berikan pujian kepada hasil kerja yang dilakukan, bukan kepada diri orangnya. Pujian yang Nabi Muhammad berikan adalah ditujukan kepada daya usaha dan kerja yang baik. Beliau tidak memuji diri orang yang melakukan kerja baik itu.2. Berikan pujian serta-merta, yakni apabila sahaja kita ternampak orang itu melakukan perbuatan yang baik, segera berikan pujian.3. Bagi kerja-kerja baik yang dilakukan secara terbuka di hadapan orang-orang lain, pujian kita diucapkan secara terbuka.4. Jika orang itu melakukan kerja yang baik, tetapi pada waktu yang sama dia juga melakukan kesilapan, diamkan kesilapannya, dan berikan pujian sahaja.5. Apabila memuji, pujian itu diberikan dengan cara spesifik. Sebut dengan jelas dan tepat apa yang dipuji.6. Terangkan impak baik yang berlaku hasil kerja baik yang dipuji itu.
.....
Justeru, memujilah. Puji anak kita. Puji suami/isteri kita. Puji mak ayah kita. Puji pekerja kita. Puji kawan kita. Puji majikan kita. Cubalah memuji.
Tapi ikutlah skema yang Nabi SAW kita guna. Kita takkan mati dek manisnya pujian itu.
Usah lokek memuji orang lain hanya kerana kita tak pandai menggendali caranya. Dan usah pula terlalu memuji sampai tak menjejak realiti.
Sungguh benar apa yang Baginda Nabi Muhammad SAW tinggalkan.
Nampak mudah, impaknya tak terbanding!
Sollu 'ala al-Nabiy!
Sumber:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan