09 Mac, 2011

DUA NOTA CINTA




SIAPA KATA dalam bahagia itu hanya kerana sering dilihat berkongsi ketawa? Bahagia itu adalah ketawa dan airmata. Begitu jugalah kami.

Dalam melengkapkan lukisan hidup, sendu dan ceria adalah warna asasnya. Kami pernah jatuh bersama. Terduduk menangisi rasa sakit. Adakalanya juga kami ketawa bersama, mencari makna dari gurauan dunia. Kami juga ada bergaduh bermasam muka. Ada juga rajuk cemburu menghias rasa.

Semuanya kerana cabaran yang datang tak terduga. Ada dugaan datang mengundang suka. Ada pula yang mahukan airmata.

Janganlah ada yang mengimpikan bahagia itu hadir begitu sahaja. Itu mimpi maknanya.

Di awal usia pernikahan kami dulu, kami memulakannya dari bawah. Memijak satu persatu tangga hidup dan masa. Memintal jerih yang tidak akan kami lupakan.

Hari ini, jika kami dilihat mewah dengan bahagia, gerun masih ada. Perjalanan mendaki cinta ini, ada cerun dan lembahnya. Semalam dan hari ini, syukur kerana masih bertemankan cinta. Esok, tak siapa dapat meneka.

Nun dalam benak sana, semoga cerahlah juga esok dan lusa. Dan selamanya.

Sekadar berkongsi nota cinta kami, sempena ulangtahun ketiga pernikahan kami, inilah kisah yang tersimpan. Untuk jadi kenangan. Untuk jadi panduan, mana yang padan.


NOTA CINTA DARI PENA SUAMI

8 MAC 2009
Perlis ke Perak.

Selama seminggu kebelakangan ini memang memenatkan kerana dikejarkan dengan tugasan dan amanah yang digalaskan. Bersama FAR EAST dengan undangan persembahan, merentasi negeri mencari tetamu terpilih dalam rancangan Jemputan Umrah (Astro Oasis) dan juga sebagai perantara untuk Forum Perdana Ehwal Islam secara langsung di RTM 1 pada 6 Mac di Teluk Intan bersama warga tempatan di sana dengan kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pasti memuaskan semua yang hadir dalam majlis ilmu yang dinantikan. Bersama sahabat saya dari Bandar Seri Iskandar – Us Mohd Naim Mohamad bersama isterinya Ustazah Mazyani dan anak kecilnya Muaz sudi menumpangkan diri ini untuk pulang ke tanah air tercinta negeri kelahiranku Perlis.

Tarikh 8 Mac pasti menjadi ingatan masyarakat Malaysia kerana PRU 12 sudah sampai kemuncaknya untuk memilih peneraju negara dan negeri.

Begitulah padatnya jadual saya dengan pelbagai karenah di serata tempat namun kewajipan perlu diutamakan sebelum menunaikan hak yang dijanjikan. Walaupun kekangan waktu yang menghambat namun tarikh 9 Mac pasti terpatri seperti yang dijanji.

Jam 5 petang kereta Wira milik Mama yang sungguh berjasa itulah membawa kami sekeluarga menuju ke Bandaraya Ipoh mengambil masa hampir 5 jam dek kerana hujan yang mengiringi dan suara sorakan semangat PRU sepanjang perjalanan ke sana.

Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan dengan lancar sehingga kami sampai dengan selamat di Pekan Tambun di sambut seorang bapa sedara tunangku (ketika itu) yang dikenali sebagai Paksu. Disapanya seawal menjemput ketibaan kami, “Awak udah lama nunggu di Pekan”

Terpinga-pinga kami semua yang berada di dalam kereta kerana siapa yang tunggu siapa? Sehingga akhirnya barulah kami tahu loghat oghang Peghok yang 'awak' ialah 'saya' :). Terima kasih Paksu Razak dan Maksu Ro kerana tumpangkan rumah buat kami.

Malam itu mata belum dapat dipejam, semua yang ada di rumah menanti maklumat terkini tentang keputusan PRU. Alhamdulillah, Allah Maha Kuasa, kita merancang Allah yang menentukan namun fikiran ini hanya berfikir-fikir untuk persediaan hari bahagia yang bakal tiba keesokan hari.

Akhirnya mata ini terpejam jua dalam zikir dan fikir.


9 MAC 2008
Perak.

Hari yang dinanti tiba, kami sambut dengan syukur. Bakal adik iparku Azrol dan adik-adik sepupunya datang membawa dan menghidangkan sarapan pagi buat kami. Memang istimewa, Alhamdulillah dan terima kasih bangat.

Mama tak jemu mengingatkan untuk membuat persiapan seawalnya kerana ini permulaan tanggungjawab yang besar yang akan kupikul.

Kerabatku dari jauh juga telah tiba, dan jam menganjak ke pukul 10 pagi menggesa kami ke Surau Hawariah – tugu ikrar janji setia.

Setibanya di sana ramai yang menunggu ketibaan kami, namun persiapan kami ala kadar sebagai memenuhi adat dan syariat.

Tentang pakaian juga saya sudah maklumkan kepada si Dia dari awal usah membazir dengan membuat berjenis-jenis baju untuk perkahwinan namun cukuplah sekadar penyeri hari bahagia. Alhamdulillah dia mengerti. Terima kasih sayang..

Menanti saksi tiba pelbagai kisah menjadi bicara kami semua terutamanya antara saya dengan Tok Qadhi – Tuan Haji Zainal.

Namun dalam hati, penuh debar dan gementar. Bak lirik lagu UNIC – “Hanya Tuhan Yang Tahu”.

Akhirnya dalam jam 11 pagi, 9 Mac 2008 menjadi saksi pengakuan diri ini untuk berjanji setia dengan amanah yang dilepaskan tanggungjawab ini sendiri oleh bakal Ayah mertuaku – Haji Mohamed Ali Yang dengan sekali lafaz. Itulah detik terindah tika 'Saat Lafaz Sakinah' meniti di bibir ini maka sahlah diriku memlliki si dia yang baru bergelar Puan Suzana binti Mohamed Ali.

DIA YANG KUPANGGIL ISTERI
Buat isteriku, bicara hatiku ini bagai telah ternukil dalam lirik ini. Untukmu…


PERMAISURI HATI

Di antara kekasih pilihan dihati
Punyai budi penghias diri
Wajahnya lembut biasan perkerti yang tinggi
Indahnya perhiasan dunia.

Diantara diriku juga dirimu
Hanya mengharapkan cinta yang Satu
Ku kan binakan mahligai impianmu
Sayang ikhlaskanlah hatimu.

Malumu bernilai
Katamu berhikmah
Hatimu tulus suci dan murni.
Hanya diri yang halal
Engkau serahkan segala
Untuk mencari redha Allah.

Benarlah cinta buta melalaikan
Tanpa memikirkan batas syariatnya.
Semuanya itu hanya ujian di dunia
Ia adalah mahar untuk kita ke syurga.

Kau permaisuri di hatiku
Di dunia ini engkau penghibur.
Menjunjung kasih amanah Ilahi
Ku pasti akan terus menyayangi.

Terima kasih ucapan kuberi
Kau hadiahkan ku cahaya hati.

Ku pimpin tanganmu kasih meniti hari.
Semoga kita dapat bersama
Sampai kepada-Nya di syurga sana.

Tuhan, kekalkanlah
Permaisuri hatiku
Untuk menemani dalam mengapai cinta-Mu.


Kasihmu amanahku,
Haji Nabil bin Ahmad
Sanggar Cinta.
_________________________________________


NOTA CINTA DARI PENA ISTERI


SEHARI SEBELUM TU HARI MENGUNDI
8 Mac tiga tahun sudah, dengan inai merah di jari, saya ditemani adik berkereta ke tempat mengundi. Teratak ayahbonda yang sejak dari malam sebelum itu lagi sudah meriah dengan sanak saudara dan tetangga, hening dalam sejam dua siang itu, kerana masing-masing menuju tempat membuang undi.

Agak-agak lepas zohor tu, barulah rumah kembali riuh. Sementelah semua urusan masak-memasak kami lakukan secara gotong-royong, kami yang muda-muda ni tak ke dapur la. Di depan rumah, khemah sudah dinaikkan. Hujan petang tu melambatkan sikit kerja-kerja memasang scallop pada khemah. Temanya kuning keemasan.

Mak-mak saudara ligat mengemas ruang tamu, membetulkan bunga telur di pahar, menghias bilik pengantin dan menyusun cenderahati untuk tetamu. Sepupu-sepupu pun turut serta sama. Diselangi usik-mengusik, gelak ketawa dan ada sahaja cerita nak dikongsi bersama-sama.

Menjelang maghrib, rumah kami sudah siap ditata untuk majlis kecil malam itu. Majlis khatam al-Quran. Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana turut disertai oleh guru al-Quran pertama saya di zaman kanak-kanak, Makcik Hajjah Salmiah. Terharu juga la rasanya.

Usai majlis malam tu, dah hampir jam 10. Baru saya perasan yang tudung untuk saya pakai selepas akad esok terlupa ambil di pekan. Pastinya kedai jahit tu dah tutup selewat ini. Cemas masa tu, nak bagitahu pada Mak, mesti kena leter sampai subuh esok – ‘macamana nak kawin, barang sendiri nak guna pun boleh lupa’. Rasanya itulah skrip yang akan keluar dari omelan Mak.

Alhamdulillah kawan-kawan yang juga jiran depan rumah ada, Yan dengan Lina. Terus Yan ajak ke Giant depan kawasan kampung kami tu untuk cari tudung. Rezekinya, Giant Tambun tu memang tutup jam 11 pada malam minggu. Akhirnya, selesailah satu masalah.

Dalam kepala masa tu dah macam-macam fikir. Esoknya entah macamanalah pulak.


SAAT LAFAZ SAKINAH
Debaran hampir buatkan dada saya pecah. Dari pagi lagi saya sudah tak betah duduk atau diam. Macam-macam rasa. Serba tak kena.

Mak yang biasanya bising-bising, sejak subuh tu banyak diam. Sedih kot. Iyalah. Anak sulungnya akan jadi isteri orang hari ini. Susah saya nak tebak hati Mak. Cuma boleh agak dalam samar.

Suria pagi dah mula naik. Kalau ikut janjinya, majlis akad akan berlangsung jam 10 pagi. Sebelum bersiap, kami bersarapan dulu. Makan jugalah sesuap dua, tanpa selera. Resahnya.

15 minit sebelum jam 10, kami dah berarak ke surau. Surau dengan rumah Mak Ayah tak jauh. Selang satu lorong je. Mulanya nak berjalan kaki sahaja, ramai-ramai. Tapi Mak Yang, adik Mak suruh naik kereta. Maka berkeretalah saya. Tapi dah tak ingat kereta apa dan kereta siapa.

Sampai di surau, rombongan keluarga sana dah sedia menunggu sambil membelek keputusan PRU 12 dalam akhbar. Rasa debar dah tak terkata. Tak terangkat wajah dah rasanya. Nak berjalan pun rasa tak betul.

Diapit oleh Mak dan Kak Yong, saya memanjat tangga ke ruang solat surau. Bersimpuh menahan debar, melalui saat lafaz sakinah. Ayah menikahkan kami. Antara dengar dengan tidak, bagai mimpi ketika lafaz aku terima nikahnya dilafazkan, jantung seakan berhenti berdegup dan bumi berhenti putarannya.


Heningnya
Sunyi suasana
Lafaz sakinah bermula

Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah tangis ibunda

Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepada
nya

Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya

Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanah
ku

Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu.



SEMUANYA KALI PERTAMA
Ahad, 9 Mac 2008 bersamaan 1 Rabiulawwal 1429H adalah hari pertama segala-galanya bagi kami berdua. Paling manis dan belum saya lupakan ialah saat pertama kami bersentuhan, seusai akad. Sejuk seluruh tubuh saya, saat jarinya menjamah jemari saya. Denyut jantung sudah hilang rentaknya.

Kali pertama kami bergambar berdua, saya sudah tak tahu bagaimana mahu senyum. Untuk memanggilnya suami pun saya malu lagi.

Dan pertama kali jugalah telinga saya dibisikkan, “mulai saat ini, Abang harap kita akan berpegangan tangan begini sampai bila-bila, insya Allah”.

Kalimahnya itu buat saya jatuh cinta. Jatuh cinta pada lelaki yang kini saya bangga menyebutnya suami. Syukur!

Sejak itu, rasa debar itu dan segala yang pertama kali itu sering menjadi sumbu rasa syukur dalam cinta kami.

Syukur kerana kami merasai saat terindah itu dalam detik terhalal!

Syukur kerana Allah meniupkan cinta di hati kami. Syukur kerana diiringi doa restu Ayah Mak dan Mama Baba. Syukur kerana dia memilih saya sebagai isteri.

Syukur ya Allah.


BARU TIGA TAHUN

Alhamdulillah.

Hari ini, baru 3 tahun cinta kami bersatu. Jauh dalam atma, semoga cinta ini bukan cinta dunia semata-mata. Semoga cinta ini menyampaikan kami ke syurga. Syurga di dunia, syurga di sana.

Selama 3 tahun ini, kami masih berkenalan. Masih belajar untuk saling memahami dan untuk saling memberi.

Baru 3 tahun bersama, jalan ini masih jauh. Harapnya biarlah jatuh bangun bersama dalam laman cinta ini.

Manisnya cinta ini. Tak puas meneguknya.

CINTA UNTUK SUAMIKU
Suamiku, benar katamu, cinta memang bukan mudah. Kalau cinta hanya kerana mahu bercinta, ia akan jadi berhala. Kerana cinta sebegitu kita jadi leka tak tahu hala. Semoga cinta kita berbenihkan cinta Ilahi. Yang cintanya seluas petala langit dan bumi.

Terima kasih, suamiku kerana sering menguatkan cinta kita. Terima kasih kerana sentiasa berusaha menyuburkannya. Sungguh isterimu ini mahu menyintaimu hingga ke syurga. Maka, untuk segala yang tidak sempurna, Honey mohon redza Abang jua.

Selamat hari ulangtahun ketiga pernikahan kita, Abang.




Salam kasih dari bekas tunangmu yang kini isterimu,
Suzana binti Haji Mohamed Ali.
Sanggar Cinta.