12 Disember, 2011

Kembara Cinta 1


HATI kami sedang digayut rindu. Rindu pada sebuah kenangan detik pertemuan pertama di lembah sahara. Insya Allah, rindu itu akan kami jejaki kembali. Rindu pada sebuah Kembara Cinta ...



Di suatu hari dalam tahun 2002, cerita pun bermula.

“Ustazah, kalau keluarga Ana tak setuju, kita kenal setakat ini sahajalah.”

Ayat itulah yang dilafazkannya, pada sesi taaruf pertama kami, 9 tahun lepas, setelah diaturkan oleh Bait Muslim Perak. Ayat yang tak menggantung apa-apa harapan.

Kami bukan pernah kenal sebelum ini untuk masing-masing rasa terluka jika ditolak. Kami bermula dengan sifar.

Bukanlah apa-apa jika keluarganya tak setuju. Saya juga akur, peranan keluarga sangat penting dalam hal sebesar ini. Pasti keluarga saya juga tidak berdukacita kerana itu.

Ayat yang bukan janji itu berlalu buat sekian waktu. Kami meneruskan hidup seperti biasa.

Selang beberapa bulan kemudian, saya dimaklumkan bahawa keluarganya bersetuju saya menjadi sebahagian keluarga mereka. Saya dan keluarga terima berita ini dengan penuh takzim dan syukur.

Dan bermulalah episod panjang kami.

Kisah kami biasa-biasa sahaja. Kami diperkenalkan melalui orang tengah. Perkara ini dalam makluman keluarga dua-dua pihak.

Dari awal saya ditanya oleh orang tengah, kemudian saya ‘diugut’ kalau keluarganya tak setuju, tak jadi, hinggalah semuanya ke gerbang 9 Mac 2008, semuanya dalam makluman dua-dua keluarga.

Tapi kembara itu panjang.

Bertahun-tahun.

Berkenalan dari sebelum dia dikenali ramai. Saya melihat dia jatuh dan bangun membina namanya. Saya bersyukur saya sudah ada di situ.

Walaupun ramai yang menyangka saya menerimanya kerana namanya, semasa naiknya dia. Tidak! Kerana saya menerimanya sebelum saya tahu namanya pun, lewat istikharah dan istisyarah.

Saya bersyukur juga kerana bukan saya yang terkejar-kejar. Saya bersyukur kerana tak perlu memurahkan diri untuk jadi pendampingnya.

“Abang yang cari Honey. Honey tak perlu rasa tergugat dengan yang datang selepas Honey, sebab mereka yang cari Abang. Pada Abang, Honey istimewa sebab itu.”

Dia cinta pertama saya. Saya jadi lagi-lagi bersyukur kerana tak ada istilah membanding-banding antara dia dengan orang lain kerana tiada sesiapa sebelum dia dalam hati saya. Moga-moga tiada juga selepas dia.

Cerita kami ini cerita biasa. Tak ada yang istimewa.

Kami tak sempat berdating. Sebab setiap kali dia mahu berjumpa saya, sama ada ditemani pihak Bait Muslim, ataupun keluarga saya.

Kerana itu, setelah nikah, kami baru memulakan cinta. Selepas jemari kami bertaut kali pertama, kami tak mahu lepaskannya lagi. Barulah bermula episod kami berdating dan balik lewat malam. Makan bersuap dan berkongsi sepinggan. Jalan berdua-duaan. Melirik senyum, bertentang mata. Bercuit pipi. Posing lentok, rapat-rapat. Ber-abang-sayang-honey.





Semua itu berlaku selepas 9 Mac 2008.

Dari situlah cinta kami bermula.

Dari situlah kami kembali berkenalan. Sebagai suami dan isteri. Watak jadi berbeza kerana bersamanya ada amanah dan tanggungjawab. Bukan suka-suka, ada teman tidur sahaja.

Kami menempuh perjalanan yang getir untuk merasai cinta. Dan tatkala cinta itu dinikmati, terasa betapa indah dan manisnya.

Rugilah kalau semuanya sudah terbiasa sebelum nikah.

Tiada yang istimewa untuk membezakan hubungan sebelum nikah dengan ikatan selepas akad berwali, ijab bersaksi.

Sudah tiadalah debar yang mahu memecahkan dada, yang sepatutnya kita rasa selepas nikah. Debaran indah yang setiap kali diingati, cinta yang lesu kembali segar. Tak adalah itu kalau sudah semuanya kita dapati di luar nikah.


Hawa, tak rugi kalian membataskan diri. Mahu layanan eksklusif dari lelaki, eksklusifkanlah dirimu dari lelaki sebarangan.

Adam, jika tak mahu esok dirimu dibanding-banding, usahlah semua hawa mahu ditoleh berkali-kali.

Moga sabar dan setianya kalian menunggu cinta, jadi mahar terindah dalam cinta pertama.



.

07 Disember, 2011

Semua Buat Salah


Semua kita buat salah dan dosa.

Sama ada dosa dengan Allah.

Buat salah dengan mak abah, keluarga.

Buat silap dengan kawan-kawan.

Atau bersalah pada diri sendiri.

Mungkin kita buat dosa tu semalam. Atau sekarang. Atau esok-esok.

Sebanyak manapun dosa dan salah kita tu, takkan terpadam macam tu je.

Ya, manusia mungkin lama-lama terlupa dia pernah buat salah. Tapi Allah tak pernah.

Yang penting, bukan banyak mana dosa dan salah yang kita dah buat. Tapi adakah kita dah minta ampun, minta maaf dari dosa dan salah semua tu?

Baiknya Allah ni, sekali kita dah minta ampun pada Dia, Dia tak ungkit dah nanti bila di Padang Mahsyar.

Allah dah padamkan semua tu dari buku amalan kita.

Tapi syaratnya kena minta ampunlah. Dan syarat nak minta ampun, kena sungguh-sungguh menyesal dan tak buat dah perkara yang sama.

Kalau main2 je minta ampun, bukan Allah tak tahu ...

Jangan tangguh2 minta ampun, sebab seminit lepas ni pun kita tak tahu apa akan jadi pada kita.

Selagi ada masa, buatlah sekarang. Macamana kita nak orang yang buat salah pada kita tu cepat-cepat minta maaf pada kita dan akui kesilapannya, macam tu lah juga Allah, bila kita buat dosa.

"Semua manusia buat salah. Sebaik-baik orang buat salah ialah yang bertaubat"