17 Jun, 2013

Macam Kerja Halimah Si Pengasuh Nabi

Pengasuh Anak|


Menjadi pengasuh kepada anak-anak kecil yang masih hijau bukan kerja pinggiran.

Itu tugas mulia. Tugas yang pernah disandang oleh Halimah dan kaum ibu lainnya dari Bani Saad.

Tugas yang bukan hanya menyuapkan makan minum, memandi, membedak tubuh si anak atau hanya mencuci kencing berak si kecil lagi yatim bernama Muhammad.

Halimah mengasuh anakanda kepada Puan Aminah binti Abdul Wahab.

Diasuhnya anak itu berbahasa dengan baik.

Diasuhnya anak itu dengan pekerti yang tinggi.

Bukan asal Muhammad itu perutnya kenyang!

Pengasuh menggendong kepercayaan si ibu bapa sang anak.

Maka, kendonglah amanah ini seperti Halimah al-Saadiah.

14 Jun, 2013

Jalan-jalan Waktu Jumaat

Jumaat mubarakah!
<3 div="">

Ada satu pesan Ayah yang saya sentiasa ingat tentang berjalan-jalan di hari Jumaat.

Kata Ayah, "waktu Jumaat, duduk diam-diam saja di tempat sendiri. Usah keluar-keluar merayau. Masa ni orang yang baik-baik dah ada di masjid. Kalau jumpa juga di luar tu, belum tentu orang baiklah."

Itu pesan Ayah masa saya baru 14 tahun. Sampai sekarangpun, apabila mahu suka-suka keluar masa rehat hari Jumaat, saya masih fikir-fikir.



10 Jun, 2013

Dukunglah Dia

DUKUNGLAH DIA|

-------------------------------------

Tuan suami selalu nasihatkan saya supaya sabar, apabila lenguh tangan, bergilir-gilir mendukung anakanda Amsyar.

Katanya, "abang yakin Allah akan bukakan hati anak kita pula untuk dukung kita nanti, apabila kita dah tua tak lalu berjalan."

Simple, tapi sangat betul ~ what you give, you get back!

07 Jun, 2013

Senyum dan Salam Kerja Gila?

Pada zaman dahulu kala...|

Saya pernah 'percaya' perbuatan selalu senyum dan beri salam (assalamualaikum) tidak kira kepada siapapun adalah kerja gila.

Jadi, saya hanya senyum pada orang yang saya nak senyum sahaja dan jarang beri salam.

Entah bila mulanya, saya ubah - sentiasa senyum dan beri salam kepada sesama manusia.

Kepada yang muslim, saya beri senyuman dan salam. Kepada yang bukan Islam, saya beri senyuman dan ucap 'hai!'.

Senyum dapat pahala sedekah. Beri salam dapat jalinkan persaudaraan.

Syukur, dengan amalkan dua perkara ini saya tidak gila.


::Sekadar Hiasan::



Salam Jumaat yang barakah!

26 Mac, 2013

Nikah dan Walimah

.



Cerita kenduri-kendara.

Musim cuti sekolah adalah musim meriah dengan walimah.

Walimah itu sunnah.
Ia boleh dibuat, jika berkemampuan.
Jika ditinggalkan tidaklah berdosa.

Meriahkan majlis nikah.
Hebahkan.
Doakan mempelai.

Walimah itu, kecil-kecilpun sudah berpada.
Tak perlu segala adat, bersanding,
merenjis, bersuap,
berbalas dulang.

Walimah itu sudah cukup dengan
jamu makan, paluan kompang
tanda ada keraian.

Cukup.
Cukup sudah.

Jimat begini, sesiapapun mampu.
Sesiapapun tidak perlu berhutang, bergadai.

Selesai kenduri, selesailah.




Siapa mahu pilih selain pilihan ke-4?



16 Mac, 2013

Itu Nabi. Bolehlah!




Sekilas tentang kita, yang mengaku ikut Nabi ...


Apakah reaksi biasa apabila bercakap tentang kebaikan akhlak dan sikap Nabi Muhammad SAW?
"Alah, itu Nabi. Bolehlah! Kita ni bukan Nabi."

Apakah tujuan Allah melantik Nabi dari kalangan manusia?
Supaya kita boleh ikut. Boleh ikut sebiji-sebiji.


Osem! ♥

12 Mac, 2013

Rojak Bahasa?


.

Saya pernah menulis ini pada 10.10.12:
Nabi Muhammad SAW berbangsa Arab.
Nabi Muhammad SAW berbicara dengan bahasa Arab tinggi.
Kita orang Malaysia. Bahasa utama kita bahasa Melayu. Apabila bercakap atau menulis dalam bahasa Melayu tinggi, kita dikira patuh sunnah.
Dapat pahala!
(",)




Bahasa rojak dan analisisnya
Oleh Prof. Abdullah Hassan

Klik untuk link asal tulisan di bawah


Dialog 1

Seorang artis wanita mencuba menarik minat penonton supaya menikmati rancangannya. Walau bagaimanapun, artis yang juga menjadi pengacara majlis di televisyen itu tidak mengiktiraf taraf formal sesuatu majlis yang ditayangkan di televisyen itu. Artis wanita tersebut menjadi pengacara sebuah rancangan kelab remaja di televisyen mengeluarkan ungkapan seperti berikut.

Pengacara: Masa cuti lalu I ... berserta kru televisyen ... we all buat syuting di ... Harap you all akan menonton apa yang we all sediakan untuk you all ... You all tak payah susah-susah, you all boleh enjoy saja di rumah. We all sudah sediakan ikut selera, you all. You all memang suka-suka enjoy. Janganlah ego sangat. 



Dialog 2

Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton. Bahasa artis tersebut adalah seperti berikut:

Artis: I sudah rakamkan empat buah album untuk you all. You all mesti dengar lagu-lagu I. I akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk you ... Penerbit I dan member kru telivisyen ... they all telah menyediakan rancangan spesyel untuk you all. We all telah bekerja keras untuk you all.


Dialog 3

Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri (Kampung Baru, Ogos 1997)

Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat. 
Pelayan: You tak suka tak pa ...we all tak pernah dengar orang komplen pun ....


Dialog 4

Dalam sebuah pasaraya, pembawa majlisnya sangat aktif. Namun bahasa yang digunakannya adalah bahasa budaya rendah.

Pembawa acara: Mari pak long pak long, mak long mak long, mari .....
Pelanggan: Apa yang Encik promosikan?
Pembawa acara: Macam-macam ada, semua ada, jom pak long pak long, tengok product baru we all, murah saja. 

Sebenarnya pembawa acara membuat siaran dalam sebuah bangunan pasaraya. Dia menggunakan bahasa pasar dan bukan bahasa tinggi.



Analisis

Bahasa pasar adalah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara adalah bahasa pasar tu menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.


Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar adalah:

1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam konteks rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.

2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.

3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.

4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.

5. Tidak menggunakan ragam bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.

6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I dalam wacana rasmi dan hormat.

Apabila kita mahu menggunakan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjaman. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.