26 Mac, 2013

Nikah dan Walimah

.



Cerita kenduri-kendara.

Musim cuti sekolah adalah musim meriah dengan walimah.

Walimah itu sunnah.
Ia boleh dibuat, jika berkemampuan.
Jika ditinggalkan tidaklah berdosa.

Meriahkan majlis nikah.
Hebahkan.
Doakan mempelai.

Walimah itu, kecil-kecilpun sudah berpada.
Tak perlu segala adat, bersanding,
merenjis, bersuap,
berbalas dulang.

Walimah itu sudah cukup dengan
jamu makan, paluan kompang
tanda ada keraian.

Cukup.
Cukup sudah.

Jimat begini, sesiapapun mampu.
Sesiapapun tidak perlu berhutang, bergadai.

Selesai kenduri, selesailah.




Siapa mahu pilih selain pilihan ke-4?



16 Mac, 2013

Itu Nabi. Bolehlah!




Sekilas tentang kita, yang mengaku ikut Nabi ...


Apakah reaksi biasa apabila bercakap tentang kebaikan akhlak dan sikap Nabi Muhammad SAW?
"Alah, itu Nabi. Bolehlah! Kita ni bukan Nabi."

Apakah tujuan Allah melantik Nabi dari kalangan manusia?
Supaya kita boleh ikut. Boleh ikut sebiji-sebiji.


Osem!

12 Mac, 2013

Rojak Bahasa?


.

Saya pernah menulis ini pada 10.10.12:
Nabi Muhammad SAW berbangsa Arab.
Nabi Muhammad SAW berbicara dengan bahasa Arab tinggi.
Kita orang Malaysia. Bahasa utama kita bahasa Melayu. Apabila bercakap atau menulis dalam bahasa Melayu tinggi, kita dikira patuh sunnah.
Dapat pahala!
(",)




Bahasa rojak dan analisisnya
Oleh Prof. Abdullah Hassan

Klik untuk link asal tulisan di bawah


Dialog 1

Seorang artis wanita mencuba menarik minat penonton supaya menikmati rancangannya. Walau bagaimanapun, artis yang juga menjadi pengacara majlis di televisyen itu tidak mengiktiraf taraf formal sesuatu majlis yang ditayangkan di televisyen itu. Artis wanita tersebut menjadi pengacara sebuah rancangan kelab remaja di televisyen mengeluarkan ungkapan seperti berikut.

Pengacara: Masa cuti lalu I ... berserta kru televisyen ... we all buat syuting di ... Harap you all akan menonton apa yang we all sediakan untuk you all ... You all tak payah susah-susah, you all boleh enjoy saja di rumah. We all sudah sediakan ikut selera, you all. You all memang suka-suka enjoy. Janganlah ego sangat. 



Dialog 2

Seorang artis wanita mengiklankan segmen muziknya untuk penonton. Bahasa artis tersebut adalah seperti berikut:

Artis: I sudah rakamkan empat buah album untuk you all. You all mesti dengar lagu-lagu I. I akan pilih lagu-lagu yang menarik spesiali untuk you ... Penerbit I dan member kru telivisyen ... they all telah menyediakan rancangan spesyel untuk you all. We all telah bekerja keras untuk you all.


Dialog 3

Pengguna bahasa pasar mudah menyamatarafkan semua orang dengan tarafnya sendiri (Kampung Baru, Ogos 1997)

Pelayan: You nak makan apa? You seleklah makan dari meja tu, you ambiklah apa you nak. Kemudian you bawak kat I, I kira bagi kat you.
Pelanggan: Cik puan, panggillah pelanggan ‘cik’ ... ‘encik’ dan ‘puan.’ Itu panggilan hormat. 
Pelayan: You tak suka tak pa ...we all tak pernah dengar orang komplen pun ....


Dialog 4

Dalam sebuah pasaraya, pembawa majlisnya sangat aktif. Namun bahasa yang digunakannya adalah bahasa budaya rendah.

Pembawa acara: Mari pak long pak long, mak long mak long, mari .....
Pelanggan: Apa yang Encik promosikan?
Pembawa acara: Macam-macam ada, semua ada, jom pak long pak long, tengok product baru we all, murah saja. 

Sebenarnya pembawa acara membuat siaran dalam sebuah bangunan pasaraya. Dia menggunakan bahasa pasar dan bukan bahasa tinggi.



Analisis

Bahasa pasar adalah bahasa yang menggunakan struktur ayat Melayu tetapi perkataan campuran dengan perkataan bahasa pinjaman. Yang paling ketara adalah bahasa pasar tu menggunakan kata ganti nama asing, iaitu I, you, we all, you all, they all, gua, lu, gua semua, lu semua, dia orang, semua orang, lu orang, kita orang, aya, ane, bai, dll.


Bahasa pasar adalah bahasa orang tidak terpelajar. Atau, digunakan oleh orang terpelajar kepada orang tidak terpelajar. Ini bukan bahasa rapi dan bahasa rasmi. Ini bahasa rendah, layak digunakan dalam perhubungan dengan rakan-rakan di luar majlis rasmi, di pasar, di dapur, di perhentian bas, dll. Dalam rancangan rasmi melalui televisyen ke seluruh negara, bahasa pasar tidak wajar digunakan. Menggunakan bahasa pasar ini sangat merendahkan taraf orang yang dilawan bercakap. Tatabahasa sosial yang dilanggar adalah:

1. Budaya Melayu memerlukan bahasa yang rapi digunakan dalam konteks rasmi. Bahasa pasar ini tidak ada tempat dalam majlis rasmi.

2. Menggunakan ganti nama bahasa pasar kepada orang datang daripada budaya rendah. Budaya tinggi menuntut bahasa yang rapi.

3. Dengan mengeyou-youkan penonton, pengacara menurunkan semua orang ke taraf mat dan minah rock sahaja.

4. Televisyen adalah saluran rasmi. Bahasa pasar dan bahasa campur-aduk tidak ada tempat dalam saluran rasmi.

5. Tidak menggunakan ragam bahasa baku. Dalam suasana rasmi, perkataan dan sebutan pun mesti rasmi, iaitu bahasa baku.

6. Bahasa pasar tidak ada kehalusannya, peri laku penutur bahasa pasar juga akan menjadi kasar dan sumbang. Apabila kita menggunakan bahasa berbudaya tinggi, kita tidak tergamak berkelakuan kasar dengan pelanggan.

Apabila pelayan menggunakan ganti nama you kepada pelanggan, pelanggan merasa tidak dihormati. Malah dia merasakan dia disamakan dengan pelayan remaja yang menyebut dirinya I. Pada pihak pelayan pula, apabila dia menggunakan kata ganti nama you kepada semua pelanggan, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu dia telah berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting. Tanpa pelanggan perniagaan kita tidak ada. Oleh sebab itu pelanggan adalah bertaraf lebih tinggi daripada pelayan. Kita tidak boleh merendahkan mereka dengan mengeyou-youkan mereka. Elakkan perbalahan dengan pelanggan. Ini akan dapat kita buat dengan memanggil mereka Encik, Tuan, Puan, Cik dan Cik Puan. Gugurkan sama sekali ganti nama you dan I dalam wacana rasmi dan hormat.

Apabila kita mahu menggunakan bahasa tinggi buanglah ganti nama pinjaman. Gunakan ganti nama hormat, iaitu: Tuan, Puan, Encik, Cik, para penonton, para pendengar, para peminat, barulah perilaku penutur juga turut berubah.

06 Mac, 2013

Belajar dengan Mata, Hati & Telinga


.
.... bertatih ....


Belajarlah dengan membaca (dengan mata dan hati) dan mendengar. Derialah yang acapkali Allah sebut dalam al-Quran. Berulang-ulang. Mata, hati dan telinga.

Belajarlah mengenali hidup. Jangan main rempuh saja. Hidup ini ada jalan dan lorongnya. Bersimpang siur. Tetapi tetap akan bertemu di laluan yang sama - MATI.

Belajarlah tentang hidup. Supaya kita tak mati sebelum kematian tiba.

Belajarlah dari alam. Belajarlah dari pengalaman orang lain. Belajarlah dari pengalaman sendiri.

Kita tak rugi. Tak akan rugi.

Untuk adik-adik yang sedang mahu bercinta di usia hijau ini, belajarlah dahulu tentang cinta.

Untuk kita yang sudah di tengah-tengah orang dewasa, belajarlah dari masa lalu kita dan pengalaman mereka yang lebih tua.

Untuk yang telah diberikan nikmat ke usia emas, zaman ini zaman anak-anak. Belajarlah menerimanya. Belajarlah untuk mengajar kami yang baru merangkak-rangkak ini.



.

03 Mac, 2013

Takut Hantu?!



Mengimbau Kenangan |

Masa kecil dulu, kalau tengok cerita hantu cina yang melompat-lompat tu, selalunya kami adik-beradik tutup muka dengan selimut atau bantal. Kononnya menyorok dek takut. (^.^)

Ayah yang sedang uli roti canai biasanya akan sebut, "ooo tengok hantu, takut. Tak sembahyang, tak takut pulak."

Huhu ...
(~_~)

01 Mac, 2013

Bertimbang Rasa dalam Wuduk dan Solat



Apabila berada di surau kecil seperti di pasaraya, hentian R&R lebuhraya, stesen minyak dsb, ringkaskan aturcara wuduk dan solatnya supaya orang lain juga dapat solat.

Bagi yang melazimi solat rawatib atau berhajat menunggu masuknya waktu solat seterusnya, pertimbangkanlah orang yang beratur menanti ruang untuk solat fardu.

Orang yang bertimbang rasa akan dapat pahala seperti yang penerima kebaikan itu dapat.
 

foto: www.simout.com 

28 Februari, 2013

Gaza Memanggil...

Bismillahirrahmanirrahim.

Wa bihi nasta'in.


Hari ini, kami mahu mencatatkan selembar kenangan supaya ia dapat anakanda kami baca suatu hari nanti. Kenangan si ayah ke bumi Palestin. Bumi yang sarat dengan syuhada', bumi al-Quds.

Bersama rombongan MAPIM, tim KIAI berangkat ke Kaherah dengan penerbangan Egypt Air dari KLIA pada 15 Februari 2013. Permusafiran ini sehingga 25 Februari 2013.

..................................

15/2/2013 Di KLIA, Sepang.
Paklong Saiful melapangkan masa untuk menghantar Baba ke KLIA.
Allah berkati Paklong. Ameen.





17/2/2013 Al-Mathaf Hotel & Cultural House, Gaza

Ahli rombongan dari MAPIM seramai 28 orang menginap di sini ...

Pemandangan di hadapan hotel, waktu pagi

Catatan Baba:

Hari ini agak letih. Keluar hotel seawal jam 8 pagi dan kembali ke sini jam 8 malam.
Walaupun jadual dan tugasan yang padat, banyak perkara yang saya belajar dan perolehi dari orang Palestin.
Berjumpa dengan orang yang hebat semestinya pengalaman berharga berguna dan ingin dikongsi dengan sahabat fillah.
Esok masih banyak misi yang harus dilaksana, moga kekuatan diperolehi malam ini. Amanah harus dilaksanakan.




18/2/2013
Catatan Baba:
Hari ini kami berkesempatan melihat Universiti Isalam Gaza dan bersebelahan dgn Universiti Al Azhar Gaza.



19/2/2013
Catatan Baba:

Hari ini kami ke Khan Younis. Melawat sekolah rendah dan menengah yang terdiri di kalangan pelajarnya adalah anak yatim. Dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan Kebajikan dengan bantuan dari pelbagai agensi termasuk dari Malaysia. 
Antaranya pelajar yang hebat dalam pelajaran, mereka yang kehilangan ayah dan ahli keluarga dalam peperangan berjihad menegak kalimah suci. 



20/2/2013, Gaza
Catatan Baba:


Bersama isteri, anak dan cucu Asy-Syahid Syeikh Ahmad Ismail Yasin


Maqam Asy-Syahid Syeikh Ahmad Ismail Yasin

Hari ini kami berkesempatan menziarahi maqam para syuhadak di bumi Palestin antaranya Ash-shahid Sheikh Ahmad Yasin, Ash-shahid Dr Abd Aziz Ar-Rantisi, Ash-shahid Sheikh Solah Shuhadak dan ramai lagi.


Berkesempatan ke rumah Ash-shahid Sheikh Ahmad Yasin. Kami disambut dengan begitu mesra oleh isteri serta anak dan cucunya. Apa yang menarik dari penceritaan mereka, walaupun sheikh seorang yang cacat pada fizikal tapi otaknya amat bergeliga dan itulah yang menyebabkan pihak Israel Yahudi menginginkannya. Pada pagi hari kejadian ia di bom dengan 3 serangan. Otaknya bercahaya.. Allahu..


Selepas itu kami bersolat di sebuah masjid yang dikatakan antara yang tertua di Palestin. Masjid Umari Alkibari pada awal pembinaannya adalah tempat penyembahan matahari, kemudian dijadikan gereja oleh orang kristian dan setelah diambil oleh Saidina Umar alkhattab maka masjid ini dijadikan sebuah masjid.


Tanpa disangka kami bertemu dengan 2 orang imam yang muda, rupanya mereka telah diundang menjadi Imam terawikh di Selangor, Kuala Lumpur, Ipoh dan Melaka pada tahun lalu.
Akhir sekali kami dapat bersolat di masjid yang ada padanya maqam Moyang Nabi SAW, Hashim bin Abd Manaf.


21/2/2013, Gaza
Catatan Baba:
Jawatan Puan E'temad ini seperti Menteri Pembangunan Gaza.

Hari-hari kami di bumi Palestin begitu banyak memberikan inspirasi untuk kami belajar dan cuba mengambil segala kekuatan yang ada pada diri setiap penghuninya.


Hari ini, dipertemukan dengan seorang yang berjawatan tinggi sebagai "General Director of Sectoral Coordination & International Aids Palestine" - E'temad Abd Aziz Tarshawi. Walaupun seorang yang sarat dengan tugasan dia tetap kelihatan tenang bahkan gembira dengan kedatangan kami. Hebatnya jiwa muslimah yang mengenal erti perjuangan.

Di sebelah petangnya kami berkesempatan ke sempadan Palestin - Israel. Perhatikan dengan baik, tembok yang dibina lebih kurang setinggi 18 meter mengelilingi sempadan itu. Kami tidak dibenarkan hampir dengan tembok kerana kawasan larangan.

Perhatikan juga, kelihatan satu belon putih yang ada dalam gambar, digunakan oleh puak Israel untuk memantau pergerakan seluruh penduduk Gazza dengan kamera khas. Begitu takutnya orang yahudi dengan orang Islam yang menggunakan kecanggihan pada belon itu, terdapat kawalan kamera yang boleh melihat sejauh beberapa kilometer sekitarnya. Adakah mereka berjaya dengan hanya bergantung pada ciptaan manusia?



Ada belon putih di belakang kami.

22/2/2013, Gaza
Catatan Baba:

Hari ini kami meninggalkan bumi Palestin. Terasa berat untuk berpisah dengan bumi yang hebat dengan para pejuangnya. Namun perjuangan kita harus diteruskan.
Menjelang petang kami sampai di sempadan Palestin-Mesir. Berinjak sahaja ke bumi barakah, Mesir terasa begitu berbeza yabg teramat sangat. Inilah yang tidak ada pada orang Mesir, di mana masyarakat di Palestin amat berlemah lembut, berbudi bahasa bahkan mereka amat pemurah. Patutlah yahudi ingin melenyapkan masyarakat yang penuh dengan kehebatan ini.

Doa yang selalu dibacakan oleh orang Palestin, "Moga satu hari nanti, kita akan sama-sama masuk ke dalam Baitul Maqdis serta bersolat secara beramai-ramai di Masjidil Aqsa". Allahu..

Malam ini kami berehat di Attaba sementara menanti aktiviti keesokkan hari di bandar Kaherah.



Sempadan Rafah

Sahabat sepermusafiran, Hijjaz

25/2/2013, KLIA, Sepang.

Catatan Baba:
Kepulangan wira-wira Gaza dengan wajah yang penuh ceria. Namun jauh di sudut hati kami rasa berat dalam meninggalkan pelbagai rasa di bumi Palestin.


Moga satu hari nanti, kita semua akan bersama-sama masuk ke Baitul Maqdis serta bersolat di dalam Masjidil Aqsa secara beramai-ramai.


Ya Allah, berkatilah kerja amal kami kerana-Mu..

Kata mereka, "Ini tanah orang Islam bukan hanya pada nama (Palestin) yang menjadi milik kami. Bahkan kita semua (muslim) harus mempertahankannya"


Allah berkatilah Mak, Ayah, Mama dan Baba. Berkatilah abang dan adik kami seisi keluarga yang turut melapangkan masa, berusaha sedaya tenaga untuk hadir bersama-sama menyambut kepulangan wira dari Gaza ini. Ameen.


Gaza hanyalah berjarak 71km dari Tebing Barat. Dan itulah azam serta tekad penduduknya, untuk kembali membuka laluan ke Tebing Barat. Mereka mahukan Palestin yang merdeka. Gaza adalah satu negeri dari sebuah negara bernama Palestin!