23 Disember, 2009

Alhamdulillah & Terima Kasih

Salam.


Petang Ahad lepas, adik kami Noor Haafizah Mohamed Ali telah selesai mengikuti KEM HIJRI di Nur Lembah Pangsun Eco Resort, Hulu Langat.

Kami tak dapat jemput Adik, kerana menghadiri walimah Oly di SP. Mak dan Ayah yang ke sana, dan terus balik ke Ipoh, lewat petang tu.

"Nabil dan Suzana bersama pengantin - Oly dan Wani - dan Pojan dan Eda"

Alhamdulillah, bila kami tanya respon Adik tentang program yang baru disertainya, semuanya dikisahkan dengan penuh semangat dan motivasi. Sedangkan awal-awal dulu, Adik dah berura-ura nak tarik diri.

“Tak ada kawan lah, kak.”

Alhamdulillah, Adik dapat kawan baru. Dari serata Semenanjung Malaysia. Sedangkan sebelum menyertai KEM HIJRI tu, kawan-kawan Adik dalam lingkungan sedaerah Ipoh sahaja.

Tahniah, Adik!

“Lagi, dapat apa masa KEM HIJRI?” “Kami dapat tahu matlamat hidup. Kenapa kita hidup. Untuk siapa. Untuk apa.”

Sekali lagi, Alhamdulillah.

Kami sekeluarga sangat berterima kasih kepada Saifulislam Training & Consultancy yang dipimpin oleh Ustaz Hasrizal untuk KEM HIJRI ini.

Kami tak dapat sertai, tapi kami masih dapat banyak peluang berkongsi.

“Kak, fasi-fasi program tu tak marah-marah pun pada kami, walaupun ada juga budak-budak yang buat nakal.”

Padahal, masa kami dalam perjalanan menghantar puteri bongsu ni ke Pangsun, macam-macam yang disakat dek abang-abangnya.

Nanti kena buli lah. Fasi garang lah. Kena paksa menangis lah. Macam-macam idea menyakat keluar.

Kami berdua hanya senyum sahaja, kerana memang yakin itu semua bukan silibus dalam KEM HIJRI. Dan Alhamdulillah, itu juga yang Adik dan lebih 70 orang teman barunya lalui sepanjang 3 hari 2 malam berkampung di sana.

Sekali lagi, terima kasih STC.

Alhamdulillah, ya Allah.

Tiada ulasan: