07 November, 2010

Mengutip Kembali Semangat : Si Kecil Itu

SUDAH TIGA tahun meninggalkan dunia mahasiswa. Adakalanya kerinduan pada musim-musim indah dipanggil mahasiswa menjenguk atma. Rindu pada Bumi Kinanah juga kembali mercup. Ada rasa yang sangat halus, setiap kali kenangan itu hadir di mandala minda.

Ada rasa yang bergetar.

Barangkali kerana hiruk-pikuk kota dan kerjaya, menyendiri di dunia kenangan bagaikan terapi yang mendamaikan.

Sudahnya, catatan lama ini ditemui tatkala jiwa rasa rapuh. Bagai memujuk hati yang rusuh.

Catatan yang Allah ilhamkan untuk ditulis mengisi ruang kata sang Timbalan Ketua Editor Suara Kampus Edisi Perak (ATOM), enam tahun yang lalu. Sebuah nota Si Kecil Itu ..

_________________________________
SI KECIL ITU


Assalamualaikum WBT.

SEMALAM, saya ralit memerhatikan keletah seorang anak kecil bermain bersama ibunya. Dia baru bertatih. Masih teragak-agak untuk melangkah. Dia terjatuh lalu terbit tangisan. Namun, tidak lama. Sejenak dipujuk oleh si ibu, dia diam dan mencuba untuk melangkah sekali lagi. Dua kali. Dan seterusnya.


Senario biasa seperti itu seakan momentum yang mengasak untuk saya mencantum idea dan langsung membentuk satu tamsilan.

Bagaimana ya? Anak kecil yang masih belum memiliki kewarasan akal yang sempurna tetapi mempunyai swadaya. Dia belum mampu memanipulasi mindanya, tetapi sudah kenal erti cekal dan sabar.


Mengapa anak sekecil itu tidak diajar untuk mengalah dan berputus asa? Adakah kerana dia masih kecil, masih belum benar-benar mengenal dunia atau kerana dia …?

Soal saya, mengapa si kecil itu putus asanya sifar? Bagaimana dia boleh berusaha dengan kadar yang infiniti untuk bertatih walau entah berapa kali jatuh dan tersembam?

sumber foto: Google


Saya membandingkan si kecil itu dengan diri saya. Aneh! Saya juga telah melalui zaman itu dan ini bermakna satu ketika dahulu saya juga pernah berswadaya sepertinya. Tetapi kenapa tidak sekarang?

Mengapa sifat seperti si kecil itu sudah lekang dari diri saya? Adakah semakin saya mengenal dunia, semakin saya jahil rasa? Atau saya semasa kecil memang tidak pernah memiliki sifat itu?

Saya pernah dan sering bergelut dengan rasa kontang semangat. Saya berdepan dengan inferiority complex. Sedangkan saya secara normalnya sudah cukup dewasa untuk melantik akal menggantikan perasaan. Sedangkan saya tahu bahawa istilah-istilah sebegitu tidak selayaknya saya biarkan berjejeran menyekat kembara ilmu dan perjuangan ini.

Mandala minda saya terus betah ditujah tamsilan. Anak kecil itu terus mengatur usaha walaupun langkahnya tersekat dan teragak-agak. Impiannya Cuma satu. Mahu berlari seperti rakan sepermainan yang lain.

Sesekali tertanya, bagaimana si kecil itu tidak luntur azamnya? Tidak pudar tekadnya? Dan sesekali juga saya bagai dibisikkan jawapan bahawa si kecil itu kental kerana punya ibu yang mewah dengan stimulus.

Lalu, saya toleh sekeliling saya. Barangkali buat masa ini, itu antara hujah yang paling mapan. Saya tidak punya inspirasi. Walaupun saya juga punyai aspirasi. Justeru, saya merangka peta hidup saya.

Sekalipun tanpa idola di sisi, saya mesti terus berlari demi hasrat melihat impian saya menjelma di mayapada. Meskipun saya akan kerap tersadung duri jalanan dek kelelahan, terkapar dek jemu apatah lagi ditimpa dahan ujian; janji saya pada diri, untuk terus mengungguli harapan ini.

Saya yang mencatur hari muka saya. Benar kata orang, kita tak mati dek sumpah, tak hidup dek doa.

Saya yakin, sebenarnya roh anak kecil itu turut masih mengalir dalam jasad saya. Cuma alirannya barangkali tersumbat di selirat nafsu. Saya mesti membedah siasat nurani saya supaya semangat itu kembali mengitari diri saya. Kerana saya yakin bahawa saya punya potensi dan upaya untuk menjadi lebih hebat.

Keyakinan ini jugalah yang saya mahu kalian rasai. Kerana kita juga telah melalui alam itu dan kita wajar mengekalkannya.

Kita semua dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan sebagai anugerah untuk kita garap menjadi atom izzah. Bukan untuk kedaulatan peribadi, tetapi demi keunggulan Islam, ad-Din yang hakiki.

Sememangnya ia sulit untuk kita lestarikan, tetapi kita letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang. Tetapi kebaikan itu akan terus kekal. Sebaliknya, kita tenang menggomol mungkar, ketenangan akan pergi. Yang kekal dosa dan sesal.

Terakhir, terima kasih atas pengorbanan, sumbangan dan sokongan semua. Buat kalian yang mempunyai jiwa dan nurani, salam juang. Teruskan stimulus ini …

Wassalam.

SUZANA BINTI MOHAMED ALI
Timbalan Ketua Editor
Suara Kampus Edisi Perak (ATOM)
Jumaat, Mac 04 | 02.34 am
_______________________________


Telah diterbitkan dalam Suara Kampus Edisi Perak, 2004.
Dan diulangsiar dari serisahmura, sebagai prasasti sebuah kenangan.

23 Oktober, 2010

Labbaika


لبيك اللهم لبيك
لبيك لا شريك لك لبيك
إن الحمد و النعمة لك و الملك
لا شريك لك

Setelah 3 kali menerima undangan ke Tanah Suci menyempurnakan haji, alhamdulillah tahun 1431H ini hajat itu makbul.

Suami saya, Ustaz Nabil bin Ahmad, telah pun selamat tiba di Jeddah sekitar jam 7 pagi ini (waktu Malaysia) bersama petugas media dari TV al-Hijrah dan Astro Oasis dengan jemaah haji KT46.

Sama-sama kita tekad dalam hati, untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Haram. Semoga dengan tekad, usaha dan doa kita, akan sampai juga kita ke sana. Cepat atau lambat, itu kerja Allah. Kita buat bahagian kita sahaja.

Mohon iringkan doa, semoga semua urusan ibadat mereka di sana dipermudahkan dan dapat disempurnakan seperti yang Allah mahukan. Mohon titipkan juga doa, semoga semua bakal haji kita selamat sejahtera, selama dalam perjalanan pergi dan pulang, lebih-lebih lagi waktu antara kedua-duanya.

Menyampaikan salam suami saya di kejauhan, dengan ucapan siiru 'ala barakatillah.

______________________________________

23 Oktober 2010,
Sanggar Cinta.
Suzana Mohamed Ali.

13 Oktober, 2010

Penghargaan Dari Seorang Sahabat


Saya tiada kata membaca tulisan beliau.

Menerima sebuah penghargaan dari seorang sahabat, saya hilang kata. Saya tiada kata ajaib selain kalimah terima kasih buat beliau.

Ya. Entah siapalah saya, di sisi Allah di saat-saat manusia memuja memuji. Itulah azimat dari isteri yang turut berkongsi cinta dalam hati saya. Buat mengingatkan diri yang adakalanya terleka terbang tinggi.

Terima kasih, sahabatku - al-Akh Syafiq Zulakifli atas penghargaan itu. Semoga dirimu juga jadi permata ummah.

____________________________________________

Sahabat Saya : Ustaz Nabil Ahmad

JIKALAU tuan-tuan sempat membuka RTM1 atau Astro Oasis, tentu tidak lupa pada nama Ustaz Nabil Ahmad. Beliau pernah mengacarakan majlis pernikahan Mawi satu masa dahulu. Beliau kini berkhidmat di JAKIM sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam bahagian penyiaran.

Beliau juga berkhidmat di SALAM fm , radio rasmi JAKIM.

.....

(Baca selanjutnya ...)


___________________________________

06 Oktober, 2010

Apa Nak Hairan

APA NAK HAIRAN
Oleh Suzana binti Mohamed Ali
suzana.mohamedali@yahoo.com


Masyhur!
Ada yang kata,
Nabi bangga umatnya ramai.
Sengih-sengih, habis ditanya keliling
“Anak berapa dah?”
“Bila lagi nak tambah?”
Apa nak hairan?

Dek kerana itulah,
Maka sibuk yang tak bernikah
meramaikan umat Nabi
mengikut sunnah.
Apa nak hairan?
Nak ramaikan kuota.

Bersepah umat,
Nabi banggakah?
Yang ramai itu
umat lahir tanpa ayah.
Tanpa nikah.
Tak ada wali yang sah.

“Nabi Isa begitu.”
Tak ada ayah.
Kamu itu suci macam Mariamkah?
Mariam berzinakah?
Memang hairan sungguh!

Anak itu anugerah, kata dia.
Ada anak, dilempang
Ada anak, kena terajang
Ada anak, asyik dijerkah.
Nabi banggakah?
Apa nak hairan?

Kera dapat bunga
Apa nak hairan?
Dapat anugerah pun macam tak kisah.

Nabi banggakah,
umat ramai, tapi tak ingat dia pun?
Ramai-ramai itu terdidikkah?
Yang berzina itu umat Nabikan?
Yang berbunuh-bunuh itu umat jugakan?
Yang makan ganja itupun umat Nabikan?
Yang rasuah.
Yang makan harta rakyat.
Yang suka berjudi.
Semua itu umat Muhammadkan?

Apa nak hairan?!

Betullah Nabi kata,
Ramai-ramai itu buih sahaja.
Ada yang tiada.
Apa nak hairan?

____________________________________

Semoga Allah kurniakan kita zuriat yang menyejukkan mata dan hati.

Paling utama, anak soleh dan solehah yang didambakan bukan terhasil dari doa semata-mata. Ia adalah usaha sang ibubapa. Anak-anak adalah biasan peribadi ibu ayahnya.

Didiklah diri menjadi ibu ayah yang soleh dan solehah. Sambil mendidik anak mengikut acuan Allah. Semoga beroleh sakinah.



Salam 27 Syawwal 1431H.

08 September, 2010

Minal 'Aideen wal Faizeen


Taqabbalallahu minna wa minkum.

Syawal yang diraikan bukan bermakna Ramadhan sudah dilupakan. Semoga dengan 'Aidilfitri ini, jernihlah kembali jiwa kita seperti fitrahnya.

Kami mohon kemaafan setulusnya untuk segala khilaf semalam, zahir dan batin.

Salam 'Aidilfitri 1431H dari kami;
Ustaz Nabil Ahmad & Ustazah Suzana Mohamed Ali
serta seisi keluarga di Beseri, Perlis & Ipoh, Perak.

*Minal 'Aideen wal Faizeen
Siruu 'ala barakatillah.

>>___________________________________<<
*klik untuk baca artikel

06 September, 2010

Tak Segan Lagi



Tak Segan Lagi
Oleh Suzana Mohamed Ali


Berbaju atau tidak,
Bercelana, berbikini
Berbogel sekalipun
Tak segan lagi.



Ketagih, mabuk sudah betah
Dadah, syabu atau wiski
Malah makan tidur
di meja judi
Tak segan lagi.



Bercinta dan bermesra
Jalan berdakapan, duduk bercumbuan
Makan bersuapan, bibir berkucupan
Depan ibu, depan ayah
Dekat surau, dekat kubur
Tak segan lagi.



Shahadah sudah mati
Solat, tunggulah nanti
Puasa, tak lebih sehari
Zakat, aku pun tak cukup lagi!
Haji, jauh sekali.



Ya!
Itulah diri
Kalau tiada segan lagi.



Tak silap amaran
Rasulullah:
إِذَا لَمْ تَسْتَحْ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
“Kalau kamu tak segan lagi, buatlah semahu-mahu”



Bila tak segan lagi
Hilanglah maruah
Tergadailah akidah
Telanjanglah iman



Dan
Terlukalah lagi Rasulullah …

*_________________*
klik gambar untuk sumber

04 September, 2010

Masih Ada Waktu. Masih Ada Sayang


Kita sudah di hari-hari terakhir Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan Allah. Begitu pantas masa berlalu, hingga kita sudah pun menjejak 25 Ramadan 1431H.

Terasa bagai semalam baru disinggahi bulan barakah ini. Rupanya hanya berbaki 4 hari sahaja lagi sebelum kita berpisah dari tamu agung ini. Bagi yang benar-benar mendampinginya sepenuh hati, mudah-mudahan bakal dititipkan taqwa sebagai hadiah perpisahan.

Namun jika datangnya kita sambut endah tak endah, pasti Syawal lebih hangat dinanti tanpa sedih ditinggalkan Ramadan ini.

Datang dan perginya Ramadan semacam tak ada erti bagi sesetengah kita. Bahkan ada yang menganggap Ramadan ini hanya pelengkap syarat meraikan lebaran di pagi 1 Syawal saban tahun. Sekadar itu.

Yang dihitung bukan bekalan sepanjang Ramadan. Yang dihitung adalah dekatnya Syawal untuk dirayakan.

Sudah layakkah nanti di hujung Ramadan kita bergelar graduan dengan kepujian taqwa? Atau Ramadan kita hanya ada lapar dan dahaga sedangkan nafsu kenyang meratah dosa?

Sememangnya Ramadan ini mendedahkan kejahatan total manusia tanpa campur tangan sang syaitan. Bagi yang masih ada malu, aib itu diusahakan untuk tidak terlihat dengan taubat.

Namun bagi yang merasakan dosanya itu tidak apa-apa, maka tiadalah diri berusaha membaguskan mana yang perlu diperbaiki apalagi membetulkan apa yang salah.

Dan dalam Ramadan ini juga, kami menyaksikan ragam manusia yang pelbagai. Ada yang istiqamah menambah amal dan bekal. Ada yang leka menambah dosa dan sebal.

Diri yang sama bila dilaungkan azan Maghrib lalu berbuka. Tetapi diri itu jugalah yang bila dilaungkan iqamah Maghrib masih bersantai lewa.

Lidah itulah yang fasih membaca doa makan dan ayat-ayat al-Quran, lidah itu jugalah yang berbual kosong tanpa tujuan.

Letih mata kami menyaksikan anak-anak muda dan warga tua yang berjiwa muda membiarkan Maghrib dihabiskan di meja makan. Letih bila malam-malam indah sepanjang Ramadan ini hanya dihabiskan dengan makan dan makan.

Dara-daranya sudah tak endah harga tudung di kepala. Aurat padanya hanya helaian rambut. Lalu dia bertudung dengan mengurangkan inci kain di badannya pula.

Sangat menyakitkan mata.


Itu belum dijenguk dara-dara yang berjaga auratnya tapi bebas lepas lakunya. Ketawanya sahaja didengari di pelusuk tempat. Mengekek dan mengilai. Bangga bila khalayak yang datang dan pergi hanya berkerut dahi memerhati.

Ada juga yang dengan pakaian yang cukup syarat itu, ke hulu ke hilir dengan lelaki entah siapa. Senyum menyengih bangga jadi dara bertemankan teruna idaman. Mulanya bergambar jauh-jauh. Esok-esok sudah hampir lagi seinci. Lusa pula, sudah berani membiarkan dia menyentuh diri.

Namun yang lebih menyakitkan mata, bila anak-anak gadis kita sudah tidak segan silu menjadi ‘isteri’ sebelum waktunya. Memang bukan di tempat tidur, kerana kalian sedar zina itu haram dan berdosa besar.

Makan bersuap. Keluar bersama-sama untuk bertarawih. Bergandingan ke pasar-pasar mencari juadah atau persiapan Syawal. Menyediakan juadah untuk si dia. Mengejutkan dia bersahur. Mengingatkan dia untuk bangun malam berqiamullail.

Ya bunyinya sangat manis. Apalah salahnya. Di manakah salahnya.

Kami bukan bertepuk tampar!”

“Kami makan je. Kesian dia, makan sorang-sorang. Lagipun kami bukan makan berdua.”

“Tak sampai hati dia terlepas sahur, sebab tu saya SMS dia pukul 5 pagi tadi.”

Bagilah 150 juta alasan dan sebab pun, kamu belum berhak!

Wahai sekalian dara,
Kalau sahaja sebelum nikah kamu sudah menjalankan tanggungjawab kamu sebagai isteri, sudahnya apa yang tinggal selepas lafaz ijab dan kabul bertukar?

Apa yang membezakan kamu si dara dengan peranan mulia sebagai isteri?

Dan apakah lelaki yang kamu damping tanpa nikah itu akan merasakan kamu ini benar-benar istimewa untuknya kalau semuanya sudah biasa kamu lakukan sebelum nikah?

Jika semuanya sudah biasa benar dilakukan sebelum nikah, apakah indahnya nikah?

Dara-dara sekalian,
Bersabarlah! Adakah akan hina maruah kalian kalau bertabirkan malu?

Luakkah harga diri kalian jika semua ‘tanggungjawab isteri’ itu kau laksanakan selepas mahar diri diterima?

Tinggikanlah nilai dirimu dengan malu. Malu untuk berbuat sesuka rasa. Malu untuk lepas laku tak kenal masa dan siapa.

Pada anak muda yang disandarkan harapan agama, luka ummah ini sudah makin parah. Usahlah lagi mencurah cuka ke tempat luka. Parutnya nanti tak hilang. Tegaslah menolak yang haram. Tekunlah melaksanakana yang halal dan sunnah.

Kalian lelaki, perlukah hidup bergantung budi?

Usah disoal besar atau kecilnya dosa. Manusia boleh sahaja mati dek gigitan nyamuk yang kecil lagi kerdil.

Masih ada berbaki beberapa hari di hujung Ramadan ini. Moga kita benar-benar kembali kepada fitrah diri yang tunduk sujud mengabdi diri pada Ilahi.

Hanya dari Allahlah kami mohon diberikan hidayah dan taufik.

Untuk kami sendiri.

Untuk anda.

Untuk kalian.

Percayalah, masih ada waktu dan masih ada sayang Allah kalau hatimu kini tersentuh.