Dah berapa bulan ye, kami tak jengah sanggar cinta ni … Laptop yang uzur sehinggakan hendak menaip pun tak terbit huruf, ditokok pula streamyx yang dah ‘dipulangkan’ taliannya atas sebab teknikal – jadi sebab sanggar cinta kami tak dijengah, meskipun ramai yang singgah.
Sepanjang tempoh itu, terlalu banyak peristiwa dan kenangan terakam menjadi kenangan dan pengalaman hidup kami.
Percaturan Hidup
Rezeki masing-masing dah Allah tetapkan. Teringat satu lirik lagu lama-lama, bunyinya lebih kurang begini;
Terkurang, cari lagi.
Terlebih, memberilah.
Kalau cukup-cukup? Kalau cukup-cukup pun, alhamdulillah. Untung jadi mukmin ni. Bila susah bersyukur. Di kala senang pun bersyukur. Moga-moga kitalah mukmin tu.
Cakap tentang rezeki ni, kami ucapkan tahniah pada pasangan Yop Lizam & Yong Ima, Dikna & Mahfuz yang masing-masing dikurniakan cahaya mata baru-baru ini; Firzana binti Shahrullizam dan Ahmad Bazil Fathi bin Mohd Mahfuz.
Tahniah juga buat Abg Long Saiful & Kak Long Azni dan Cik Nor & Pak Ngku yang baru sahaja diisytiharkan bakal menjadi ibu dan ayah tidak lama lagi.
Kami? Alhamdulillah, akhir-akhir ini Allah limpahkan rezeki ibarat sejelapang padi. Dapat nikmat sihat selepas sakit. Dapat nikmat lapang dalam kesibukan. Banyak lagilah. Pendek kata, rezeki sentiasa ada. Alhamdulillah.
Memang kadang-kadang kita jadi tamak dan rasa tak cukup-cukup dengna rezeki yang ada. Tetapi, alhamdulillah kita masih saling mengingatkan antara satu sama lain tentang benarnya firman Allah – “kalau kamu bersyukur akan Aku tambahkan lagi untuk kamu. Dan (tetapi) kalau kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat pedih”.
Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang bersyukur dan bertaubat sentiasa kepada-Mu. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan