10 September, 2008

Tertinggal ...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Dah 10 hari Ramadan meninggalkan kita. Semalam, di majlis berbuka puasa Astro Oasis, hati kami tertegun dek lontaran kalam Dato' Dr Fadzilah Khamsah - "Ramadan bertemu kita atau kita yang bertemu Ramadan?"

Ya. Kalau kita menganggap Ramadan yang bertemu kita, pasti sambutan kita biasa-biasa aje. Macam kita jumpa orang yang biasa kita jumpa. Tiada yang istimewa.

Hakikatnya, kita yang berpeluang bertemu Ramadan. Kerana Ramadan ini sungguh istimewa dan bermakna. Patutnya kita rasa bertuah dan menghargainya dengan sepenuh hati. Bukan dengan separuh-separuh ...

Kalam Cinta Ramadan

Oleh Nurhumaira Mukhtar

Ini aku datang dan

datang lagi

selagi nafiri kiamat belum digendang

pasti aku hadir, tepat

tak pernah lewat

tak mungkin lewat.


Aku pasti datang

walau ada yang lepas pandang dan

aku ini ada daulatnya.

Kalimah Tuhan dalam

diari lampau, akulah julang

di kala perintah-Nya, gunung-ganang

enggan tatang, mentelah langit

takut bukan kepalang.


Akulah saksi

kalimah-Nya itu diperturunkan.


Aku pernah dulu datang

dalam kisah ribuan tahun silam

tatkala tiga ribu malaikat diutus datang

cempera lari petualang di wadi Badar

yang simpan kisah gemilang.


Aku Ramadan.

Akulah yang Dia seru, bulan-Nya

bulan penuh cinta-Nya, kalau hati

lapang damba cinta sejati

maka biar aku sampaikan

cinta itu, sebelum aku berlalu

kerana aku pasti tetap datang

sedang kau tak tahu bilakan pulang.


~~~***~~~

Ini puisi saya yang alhamdulillah telah berjaya mendapat tempat ke-3 dalam pertandingan Puisi Ramadhan anjuran Nisa Shah Alam 1428 H yang lepas. Terima kasih kepada yang mengundi saya masa itu di nisashahalam.blogspot.com

Tiada ulasan: