30 Oktober, 2009

Kisah di Gelap Malam


Salam.

Tarikh : 27 -29 Oktober 2009 (Selasa hingga Khamis)

Penginapan : Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur

Program : Outreach (lokasi panas)

Anjuran : AADK, JAKIM dan MAC (Malaysia AIDS Council), FM Production, JAWI

Konsep Program : Outreach dengan pelaku gejala sosial - Mak Nyah, Gay, Mat Rempit, Penagih Dadah, Gam dan Syabu, Pekerja Seks.

Lokasi : Jalan Chow Kit, Sekitar Cheras, Sentul, Bukit Bintang, Lorong Haji Taib

**====***====**

Apa yang kami saksikan, adalah realiti. Namun dari realiti itu, bukan semuanya ada kebenaran. Ada lagi cerita yang diselindungkan. Ada lagi yang dirahsiakan.

Walaupun setakat yang mereka cerita dan kongsi dengan kami sudah cukup mengejutkan, namun itu hanyalah cebisan kecil kisah terpinggir. Ada banyak lagi rahsia yang tak dikongsikan.

Dalam gelap malam memang menyimpan sejuta cerita ...

23 Oktober, 2009

Mengulit Kenangan Syawal 1430H

Salam.

Biarpun Syawal sudah berlalu, memori itu masih segar dan malar dalam atma dan minda kami. Sebuah Memori Indah Syawal ...


21 Oktober, 2009

Mana Baju Pengantinnya?

Salam.



Sekitar awal alaf milenia lepas, saya acapkali mengikuti siri ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz muda.

Dan ada satu topik sosial yang sering beliau ulang-ulang; yang masih subur dalam ingatan saya hingga kini.

Perihal bejatnya sosial yang ceritanya lebih kurang begini ...

Makcik Ani : Nape monyok je Cik Tipah?
Makcik Tipah : Anak aku kena rogol malam tadi.
Makcik Ani : Oo ye ke. Anak aku kena malam kelmarin.

Dialog dan memek muka si penceramah mengundang hilai tawa orang ramai. Rasa lucu.

Satu fenomena yang bagi saya dan mungkin hadirin yang mendengar ketika itu, hampir mustahil. Takkanlah sampai semudah itu perkara ini akan berlaku.

Itu bab rogol.

Dalam seminggu dua ini, cepat betul hati kami tercuit dengan kisah buang bayi. Anak-anak comel tanpa ibu, tanpa bapa ini ada yang masih bernyawa. Ada yang sudah kaku.

Tersiat hati kami dengan gejala mengandung luar nikah. Ini memang taboo dalam masyarakat kita, sedekad yang lalu. Tetapi semakin hari kita melangkah ke tahun-tahun 2000 ini, perkara aib ini seakan sudah mula diterima masyarakat.

Sedikit demi sedikit ibubapa mula membuka fikiran menganggap isu zina ini bukan hal besar. Asalkan tidak hamil, hubungan tanpa nikah ini seakan-akan halal. Hingga ada ibubapa yang hanya marahkan si anak gadis yang hamil tanpa nikah kerana tidak pandai mencegah diri dari kehamilan itu (rujuk Metro Ahad, 18 Oktober 2009 – Anak Haram Bercambah).

Kami bersimpati pada ibubapa yang anak-anaknya tersilap memilih langkah. Namun simpati kami lebih tertumpah pada si anak yang mengundang padah tetapi tidak terdetik rasa bersalah.

Menghitamkan kanvas hidup sendiri yang asalnya suci murni, bukan sahaja memalitkan cemar dan noda pada wajah ibubapa, bahkan menempiaskan episod lara si anak yang tak berdosa.

Bayangkan, si ibu melahirkan anak dengan sempurna dan si ayah membesarkannya tanpa cela. Dan sepatutnya, dalam kitaran hidup normalnya nanti, si ibu dan si bapa akan melihat si anak itu hidup bahagia berumahtangga.

Tanyalah mana-mana ayah, mana-mana ibu. Mereka pasti mengimpikan majlis hebat meraikan perkahwinan anak-anak mereka . Bagi si ayah dan ibu, biarpun kecil sahaja majlisnya, namun semuanya patut ada.

Ada merisiknya. Ada bertunangnya. Ada nikahnya. Ada maharnya. Ada hantarannya. Ada kendurinya. Ada kompangnya. Ada makan bersuapnya. Ada bertandangnya. Ada segala yang muluk-muluk untuk dikongsi dan dirasa.

Tiba-tiba dalam hasrat itu, si anak yang masih hingusan sudahpun selesai menyerahkan dirinya tanpa akad. Tanpa nikah. Tanpa wali. Tanpa saksi. Tanpa mahar.



Impian si ibu, harapan si ayah tinggal puing-puing yang dilayah angin.

Yang ada, rasa yang berbaur. Yang ada, rasa malu yang bertambun. Yang ada, rasa bagai dicincang-cincang.

Ayah yang selalunya tenang, bagai hilang jantan. Menangis menelan pahit. Ibu, yang kasih-sayangnya tak pernah luak, merintih pedih, menyalahkan diri.

Si anak gadis yang menawarkan dirinya mengusung benih tak terancang, kalimah kesal tidak pernah terbayang. Yang ada di jiwanya, ‘anak ini akan kubuang’.

Untung-untung si bayi masih bernyawa sewaktu dijumpa manusia. Dan apakah kitarannya akan berulang?



Adik-adikku yang sedang diuji dengan cinta tanpa nikah,
Beringatlah bahawa nikmat melakukan maksiat hanya sekejap sahaja. Tapi yang akan kekal menemani hari-hari dalam hidup kalian, adalah dosa.

Namun seandainya dosa dan neraka tidak lagi jadi neraca kalian, bayangkanlah wajah ibu ayah kalian, yang pasti berduka jika kenduri nikahmu nanti dalam senyap-senyap, kerana malu orang bertanya, mana baju pengantinnya? Kerana kau bunting sebelum ke pelamin.

Dan bayangkan juga raut wajah mereka bila cucunya lahir tanpa bapa!

Ya Allah, Kau peliharalah diri kami, keluarga kami dan zuriat kami dari rakusan nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan. Sesungguhnya tidak ada daya dan tidak ada kuasa untuk kami memelihara diri kami, keluarga kami dan zuriat kami dari kebinasaan melainkan dengan kehendak dan kudrat-Mu.

Amin.

05 Oktober, 2009

Terkenang Cerita Nabi Allah Yusuf A.S ...

Salam Syawal.

Begitu banyak dongeng yang berlaku sehari dua ni, jadi bahan senyum senda masa minum petang kami, setelah lelah menyusun, mengemas rumah baru layaknya.

Memang semua yang Allah buat tidak ada satu pun yang sia-sia tanpa makna. Mesti ada cerita di sebaliknya. Mesti ada sebab.

Sebagai manusia, carilah sebab itu, supaya kita lebih kenal Allah yang mencipta, mengatur, menyusun, merancang dan melaksana setiap sesuatu.

Kisah pembohongan adik-beradik Nabi Allah Yusuf A.S terhadap Ayahanda mereka, Nabi Allah Yaakub A.S bagai dapat kita saksikan hari ini.

"Ayah, Adik dibaham serigala ..." kata si abang-abang sambil menyua baju si adik yang basah merah dengan darah.

Baju yang berlumur darah itu ternyata masih dalam rupa asalnya.

Tak koyak.

Tak carik.

Masih sempurna.

Si Ayah bukan baru hidup sehari dua. Masakan si Ayah yang lebih dulu makan garam tak tahu tabiat haiwan pemangsa memburu mangsa?

Tapi itulah. Si anak bukan tak tahu si Ayah pasti terhidu kelentong mereka, tapi kerakusan untuk menipu terus mengabui mata akal mereka.

Hingga perkara yang logik bisa terfikir begitu sahaja pun, boleh jadi tak terfikir.

Ya, kita baca semula surah Yusuf. Ada cerita yang sangat mirip.

Cerita benar tentang sebuah pembohongan.

Mahu diceritakan yang sebenar atau tunggu nanti ia dibongkar?

Wallahualam.

Bicara Tanpa Suara

Salam Syawal.

Alhamdulillah segala urusan pindah angkut barang dan serah kunci telah selesai dengan baik, malam tadi.

Walaupun kami cuma ambil masa 2 hari sahaja, syukur Allah mudahkan.

Rezeki kami, dapat juga rumah di kawasan yang sama. Walaupun sewanya berbeza, namun, rasanya memang berbaloi-baloi. Hmm kenapalah tuan rumah baru ni tak mau jual je rumah ni... =)

Terima kasih kami buat:

1. Adik-adik yang bertungkus-lumus kemas, angkat, susun semula dan cuci rumah kami. (Azrol Zaimee Mohamed Ali, Muhammad Hafiz Mohamed Ali dan Muhammad Ajwadi Ahmad)
2. Jiran-jiran terdekat; Abang Fadli dan Kak Ita yang sediakan nasi lemak untuk petugas dan kami, Abang Azam - jiran baru kami.
3. Teman-teman yang datang semata-mata nak bermandi peluh; Azrin dari PLPP Bangi, Hamiz dari Sg. Ramal Luar dan Zul kawan Bangcik Ajwadi.
4. Pakcik Dolah yang sewakan lori dan sanggup bantu berangkut 3 kali.
dan yang semua yang terlibat secara tidak langsung.

Semoga setiap peluh yang mengalir, Allah hitung sebagai amal soleh. Terima kasih sekali lagi.

*~oO0Oo~*

~sisipan~

Kak Yong Afiqah, Ayunni dan Ibunya. Acik Dee pun ada kat belakang tu.



Dua-dua anak dara kami ni masih berbotol lagi. Tapi si Kak Yong ni pandai betul beradik. Dia ni macam Kak Yong yang baik-baik =)


Bicara Tanpa Suara,
Nabil Ahmad & Suzana Mohamed Ali
Bandar Baru Bangi