21 Oktober, 2009

Mana Baju Pengantinnya?

Salam.



Sekitar awal alaf milenia lepas, saya acapkali mengikuti siri ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz muda.

Dan ada satu topik sosial yang sering beliau ulang-ulang; yang masih subur dalam ingatan saya hingga kini.

Perihal bejatnya sosial yang ceritanya lebih kurang begini ...

Makcik Ani : Nape monyok je Cik Tipah?
Makcik Tipah : Anak aku kena rogol malam tadi.
Makcik Ani : Oo ye ke. Anak aku kena malam kelmarin.

Dialog dan memek muka si penceramah mengundang hilai tawa orang ramai. Rasa lucu.

Satu fenomena yang bagi saya dan mungkin hadirin yang mendengar ketika itu, hampir mustahil. Takkanlah sampai semudah itu perkara ini akan berlaku.

Itu bab rogol.

Dalam seminggu dua ini, cepat betul hati kami tercuit dengan kisah buang bayi. Anak-anak comel tanpa ibu, tanpa bapa ini ada yang masih bernyawa. Ada yang sudah kaku.

Tersiat hati kami dengan gejala mengandung luar nikah. Ini memang taboo dalam masyarakat kita, sedekad yang lalu. Tetapi semakin hari kita melangkah ke tahun-tahun 2000 ini, perkara aib ini seakan sudah mula diterima masyarakat.

Sedikit demi sedikit ibubapa mula membuka fikiran menganggap isu zina ini bukan hal besar. Asalkan tidak hamil, hubungan tanpa nikah ini seakan-akan halal. Hingga ada ibubapa yang hanya marahkan si anak gadis yang hamil tanpa nikah kerana tidak pandai mencegah diri dari kehamilan itu (rujuk Metro Ahad, 18 Oktober 2009 – Anak Haram Bercambah).

Kami bersimpati pada ibubapa yang anak-anaknya tersilap memilih langkah. Namun simpati kami lebih tertumpah pada si anak yang mengundang padah tetapi tidak terdetik rasa bersalah.

Menghitamkan kanvas hidup sendiri yang asalnya suci murni, bukan sahaja memalitkan cemar dan noda pada wajah ibubapa, bahkan menempiaskan episod lara si anak yang tak berdosa.

Bayangkan, si ibu melahirkan anak dengan sempurna dan si ayah membesarkannya tanpa cela. Dan sepatutnya, dalam kitaran hidup normalnya nanti, si ibu dan si bapa akan melihat si anak itu hidup bahagia berumahtangga.

Tanyalah mana-mana ayah, mana-mana ibu. Mereka pasti mengimpikan majlis hebat meraikan perkahwinan anak-anak mereka . Bagi si ayah dan ibu, biarpun kecil sahaja majlisnya, namun semuanya patut ada.

Ada merisiknya. Ada bertunangnya. Ada nikahnya. Ada maharnya. Ada hantarannya. Ada kendurinya. Ada kompangnya. Ada makan bersuapnya. Ada bertandangnya. Ada segala yang muluk-muluk untuk dikongsi dan dirasa.

Tiba-tiba dalam hasrat itu, si anak yang masih hingusan sudahpun selesai menyerahkan dirinya tanpa akad. Tanpa nikah. Tanpa wali. Tanpa saksi. Tanpa mahar.



Impian si ibu, harapan si ayah tinggal puing-puing yang dilayah angin.

Yang ada, rasa yang berbaur. Yang ada, rasa malu yang bertambun. Yang ada, rasa bagai dicincang-cincang.

Ayah yang selalunya tenang, bagai hilang jantan. Menangis menelan pahit. Ibu, yang kasih-sayangnya tak pernah luak, merintih pedih, menyalahkan diri.

Si anak gadis yang menawarkan dirinya mengusung benih tak terancang, kalimah kesal tidak pernah terbayang. Yang ada di jiwanya, ‘anak ini akan kubuang’.

Untung-untung si bayi masih bernyawa sewaktu dijumpa manusia. Dan apakah kitarannya akan berulang?



Adik-adikku yang sedang diuji dengan cinta tanpa nikah,
Beringatlah bahawa nikmat melakukan maksiat hanya sekejap sahaja. Tapi yang akan kekal menemani hari-hari dalam hidup kalian, adalah dosa.

Namun seandainya dosa dan neraka tidak lagi jadi neraca kalian, bayangkanlah wajah ibu ayah kalian, yang pasti berduka jika kenduri nikahmu nanti dalam senyap-senyap, kerana malu orang bertanya, mana baju pengantinnya? Kerana kau bunting sebelum ke pelamin.

Dan bayangkan juga raut wajah mereka bila cucunya lahir tanpa bapa!

Ya Allah, Kau peliharalah diri kami, keluarga kami dan zuriat kami dari rakusan nafsu dan bisikan syaitan yang menyesatkan. Sesungguhnya tidak ada daya dan tidak ada kuasa untuk kami memelihara diri kami, keluarga kami dan zuriat kami dari kebinasaan melainkan dengan kehendak dan kudrat-Mu.

Amin.

Tiada ulasan: