31 Disember, 2009

Mana Baju Pengantinnya 2


Salam.

Kata orang, cinta adalah kehidupan. Dan kehidupan adalah pemberian cinta. Maka, cinta dan kehidupan tak boleh terpisah.

Kerana cinta, kita beroleh kehidupan. Dan kita meneruskan kehidupan kerana masih ada cinta. Saling berkait. Saling berhubung.

Bicara soal cinta juga bukan satu dosa. Kerana cinta menumbuhkan impian, membangunkan harapan.

Dan cinta juga adalah sihir. Menyihir sesiapa yang bercinta hingga sanggup membunuh kehidupan. Sedangkan cinta menghidupkan. Cinta itu memberi kesembuhan, bukan menyakitkan.

Namun, seringkali cinta seseorang menyakitkan hati orang lain. Ada juga cinta yang menyakitkan diri sendiri.

Cinta seorang anak tanpa restu dan izin tentu sahaja menyakitkan hati ayahbonda. Apatah lagi hingga bersikap membelakangkan ibu ayah dalam soal ini, dengan alasan mereka tidak memahami sucinya cinta si anak.

Demi cinta suci yang dipertahankan, si anak tega merabakkan maruah sang ayah dan membunuh impian si ibu.

Hingga sanggup meninggalkan laman ayahbonda asal dapat bersama dengan si buah hati. Hingga tergamak membuang teman dan saudara, kerana yakin dengan cinta yang dijulang.

Bukan satu dua merpati sejoli memilih perbatasan negara sebagai destinasi pernikahan. Bukan seorang dua gadis menyerahkan hak ayah yang memberikannya nama dan membesarkannya kepada hakim untuk menikah.

Ayah sudah tiada bahasa. Ibu sudah kering air mata.

Si anak memilih untuk beralih amanah dari menjadi anak kepada pasangan hidup si dia yang belum tentu boleh disandarkan seluruh harapan dan kehidupan.

Majlis nikah dalam impian si ibu dengan penuh tertib beradat. Tetapi dia memilih untuk berdua sahaja. Tanpa keluarga, tanpa saudara. Entah apa hantarannya. Entah berapa maharnya.

Pasti si ibu membayangkan si anaknya paling berseri di hari perkahwinannya. Dikelilingi riuh usik mengusik teman dan taulan, kerabat jauh dan dekat. Berwarna-warni dan gemilang.

Mahu melihat anak menantu diarak berpimpin tangan. Penuh senyum dan bunga-bunga ceria.

Tetapi si anak cukup hanya berdua. Dengan mata sentiasa waspada, telinga sentiasa berawas. Jalannya tunduk, bimbang langkah dikenali. Risau dan gundah memenuhi ruang benak.

Teman-teman tertunggu bergambar bersama sang mempelai. Namun hampa, pernikahan mereka hanya mereka yang tahu bila dan di mana.

Tiada merah inai. Tiada berbaju pengantin. Tiada kenangan hari perkahwinan diabadikan dalam foto, untuk dilihat anak-anak nanti.

Yang penting, impian cinta di hati terlaksana.

‘Cinta kami terlalu suci untuk dihalang oleh apa sekalipun. Kami sangat menyintai satu sama lain.’

Ah! Gilalah kalau saat dia sebegitu nekad, hati kecilnya terdetik memikirkan perasaan ayahbonda yang sedang dan akan terus terluka dengan tindakannya.

Mustahillah ketika itu kewarasannya menilai betapa besarnya kasih sayang keluarga dan sahabat yang memujuk dan menasihati pilihan hatinya yang bergelora.

Tak mungkin dia terlintas memikirkan untung baiknya dia membiarkan sang ibu kenyang meratah hiba, membiarkan si ayah kaku memikul malu demi memiliki cinta si pencinta.



Terbayangkah dia bagaimana jika mentari dan pelangi esok yang diimpi hanya ribut dan gerhana tak sudah?

Itulah yang menyakitkan. Dan itu bukan lagi cinta. Kerana cinta itu menyembuhkan.

Cinta tak akan menyakitkan sesiapa. Tak akan menyakiti yang dicintai dan yang menyintai.

Cinta bukan ada dalam hati si uda dan dara sahaja. Cinta yang lebih besar, cinta tanpa syarat si ibu dan ayah pada anaknya. Dan cinta yang lebih dari itu, adalah cinta agung antara hamba dengan Rabb-nya.

Teruna dara hari ini senang benar mati andar.

Kerana halangan di laluan cinta, mereka memilih untuk melarikan diri dari halangan. Lalu halangan akan terus mengejar dan mahu selamanyakah mereka akan menjadi pelarian cinta?

Melarikan diri dari insan yang juga menyintai mereka dengan cinta tanpa syarat. Ertinya membiarkan diri kehilangan cinta yang sempurna.

Di hujung hari nanti, moga-moga berputik sesal dan bertunas sedar. Untuk kembali mengutip cinta yang dibiar bertebaran ...

Agar tiada lagi yang terluka kerana cinta itu.

Tiada ulasan: