Bismillahirrahmanirrahim.
(1)
Beberapa hari sebelum menjejak 2010, kami terfikir-fikir; 'nak tulis apa kat blog?'
Dan soalan itu terapung tak berjejak, dibawa semilir tanpa jawapan hinggalah tarikh 16 Januari tiba di kaki kami dan kita semua.
Perjalanan ke majlis mengikat janji adik kami yang disulami gelak tawa dan hati yang berbunga-bunga; bagai direntap tatkala mendapat khabar Nenda kami, Haji Zakaria telah dijemput ke rahmat Allah. Sedang kami masih teroleng-oleng dalam bot kecil merentas Jeti Kuah ke Bagan Nyior.
Ditambah lagi, keesokan harinya, usai majlis tahlil untuk almarhum Tok di Kg Gajah, malam itu; satu lagi khabar kami terima.
Ayah terdiam menahan pilu kehilangan satu-satunya abang yang dimilikinya, Nor Han. Dungun menjadi destinasi kami dinihari 17/01/2010 itu.
(2)
Mak kehilangan insan yang dipanggilnya Abah. Dan Ayah kehilangan Yop-nya.
Cerita ini bagai ulangan kisah 20 tahun lalu - tahun 1990.
Ayah kehilangan Ayahnya. Dan Mak kehilangan Maknya. Dalam tahun yang sama. Tahun 1990.
Tok dijemput pulang pada Mei 1990. Manakala Opah pada Disember 1990.
Tok meninggal dunia di Kemaman, Terengganu. Opah dikebumikan di Kg Gajah.
Dua puluh tahun bezanya. Dan Januari 2010 bagai membuka lembar lama untuk diulang kisah.
Sedih mendodoi di atma. Sendu tali-temali. Sayu bagai berkampung di hulu mata.
Dan ...
Pilu masih menggigit.
(3)
Namun, dua kehilangan yang hampir-hampir serentak, bukanlah teramat dahsyat yang menimpa manusia. Ada yang kehilangan satu keluarga serentak, sedangkan kami hanya diambilnya dua orang sahaja. Dan itu memang hak Dia lalu kerana menginsafi itu, kami reda.
Puas menangis kesedihan hingga terlupa, bahawa Allah telah siap-siap menggantikan ahli keluarga yang hilang.
Mac depan adik-adik kami bakal melangsungkan perkahwinan mereka. Menjadikan kehilangan itu bagai berganti.
Subhanallah ...
Allah telah gantikan kehilangan itu. Dan saya hampir-hampir buta melihat hikmah yang Allah hamparkan dek kerana melayan airmata.
Sungguh, kehilangan Tok dan Ayah We takkan berganti. Tetapi Allah memberi yang lain untuk kami sayangi ...
Memang jarang benar reda berada di awal duga.
Namun, biarpun terlewat, itu lebih baik dari langsung tidak mahu reda dan syukur.
(4)
Rasa kehilangan itulah rupanya yang membuka tirai catatan kami bagi tahun 2010 ini ~ Sungguh Allah Sedang Berbicara ... yang telah kami tulis bertarikh 20.01.2010.
Dan inilah sebenarnya hakikat kehidupan di dunia. Dalam setiap apa yang Allah tentukan, adalah pilihan yang tepat. Dan bukan untuk menyakiti hamba-Nya.
Kita tak akan pernah tahu, bila ... di mana ... dan bagaimana kita akan meninggalkan alam ini menuju dan menanti di barzah.
Dan, nyata hati ini belum bersedia jika ditanya, 'adakah kau bersedia?'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan