24 April, 2010

Mudahnya Mencari Pasangan Hidup


DILEMA adik-adik hari ini dalam memilih jodoh, bukan lagi rahsia. Acapkali soalan-soalan begini terselit dalam bicara maya, terutamanya. Ada yang berkias dalam bahasa. Ada juga yang berterus terang tanpa ragu.

Sudah menjadi lumrah, setiap manusia mahukan yang terbaik dalam hidup, terutama sekali dalam soal mencari teman hidup.

"Kakcik, doa ya. Moga saya jumpa yang soleh".

"Calon pilihan saya mesti yang solehah".

Aduh!

Bukan main-main syaratnya.

Namun, itu bukan menjadi kesalahan pun. Masing-masing kita ada pilihan dan kehendak sendiri.

Cuma, dengan syarat sebegitu begini, nampaknya mustahil untuk ketemu.

Jadi, ada yang bertanya pula, kalau sudah sukar mencari yang soleh atau solehah, bagaimana?

Jawapannya seperti dalam buku Satu Rasa Dua Hati tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi - jadikanlah diri anda soleh atau solehah, insya Allah akan muncul yang solehah atau soleh sebagai pasangan hidup.

Kita sibuk menyusun senarai - soleh tak soleh, solehah tak solehah, tsiqah atau tidak. Hingga terlupa orang lain juga sedang menilai kita, sama ada kita ini calon soleh / solehah atau tidak.

Mudahlah kalau kita sudah siap-siap jadi calon yang soleh / solehah. Insya Allah tak sukar si soleh / solehah menemui kita.

Bukankah Allah sudah berjanji,

"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)".
~ al-Nur: 26.

Jadi, tamatkanlah 'pemburuan' anda.

Wallahua'lam.

~ telah diterbitkan dalam Facebook oleh Suzana Mohamed Ali ~

23 April, 2010

Sanah Helwa ya Aghla Habeeb

HARI INI 23 April, Honey ucapkan ~ Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran buat suami tercinta, Nabil bin Ahmad.

Honey titipkan doa pada Allah, semoga Abang beroleh segala kebaikan di dunia dan akhirat, serta dijauhkan dari celaka dan neraka. Dan doa Honey juga, semoga Allah menghimpunkan kita kembali di syurga-Nya.
Semoga Allah menyayangi Abang lebih dari cinta Honey padamu. Moga Allah kekal memeliharamu lebih dari Honey menjaga Abang. Juga semoga Allah memberkati pernikahan dan kehidupan kita selamanya.

Dan selama menjadi isteri, Honey pohon maaf untuk segala yang meresahkan hati Abang. Honey sayang abang. Dan tak pernah menyesal untuk menyintaimu.

Abang,
Selamat Hari Ulang Tahun.





Dari isterimu yang tiada apa-apa selain cinta dan setia,
Suzana binti Mohamed Ali.
Bandar Baru Bangi.
23.4.10 / 12.01 tengah malam.

21 April, 2010

Bila Tidak Disentuh Ujian

SETIAP dari kita pernah, sedang dan akan terus diuji. Dan ujian Allah datang dalam bentuk yang berbagai-bagai dan tidak terduga.

Semua kita tahu dan sedar hal ini.

Adakalanya ujian ini sebagai saringan iman. Adakalanya sebagai penebus dosa diri. Pastinya, ujian dan dugaan hidup yang Allah sediakan untuk kita adalah berbaloi untuk ditempuhi, kerana di hujungnya ada hikmah yang tidak sedikit. Itupun jika kita mahu merenung hikmahnya dengan mata hati - tempat jatuhnya pandangan Allah.


Dan di setiap episod ujian itu, kita mendepaninya dengan bermacam-macam cara juga. Ada yang sabar, menambahkan syukur dan menguntumkan reda. Ada pula yang hilang rasa, lalu putus asa, menyalahkan takdir Allah yang Maha Ada.

Beruntunglah jika di setiap sudut ujian itu kita mengutip permata hikmah dan maghfirah (keampunan). Dan itulah yang sebaiknya.

Sayangnya, tidak sama iman dan amal kita. Saya mungkin kurang imannya, berbanding kalian yang barangkali lebih dekat dengan Allah. Justeru, natijah dari saringan Allah walaupun pada ujian yang sama juga adalah berbeza. Ia bersukatkan iman masing-masing.

Sudah menjadi fitrah, ketika diri dirempuh mehnah (tribulasi), kita mudah sahaja bersimpuh mengadap duli kebesaran Allah. Segala yang leka, berubah menjadi peka. Ternyata, Allah tidak pernah meninggalkan kita, biarpun kita berkali-kali mengabaikannya - yang hakikatnya Zat Dia tak pernah kurang apa-apa kalau kita menjauhi-Nya.

Ketika kita tertunduk menginsafi khilaf diri, memohon ampun dan mendambakan bantuan-Nya itu dan ini, sebenarnya Allah sudah lama dekat di sisi.

Namun seribu kali sayang, tatkala sudah mampu merangkak, membina semula kekuatan diri yang luluh dilanyak ujian, perlahan-lahan Allah kita tinggalkan.

Tiada lagi rengekan. Tiada lagi mohon belas ihsan. Tiada lagi airmata penyesalan.

Dan Allah kita ketepikan, membiarkan segala urusan diri ditentukan dengan tangan sendiri.

Seolah-olah, kita tidak pernah kenal Tuhan yang bernama Allah, yang Maha Memberi semasa manusia dan dunia tiada apa-apa. Dialah Allah yang Maha Sentiasa Ada, ketika semua yang ada menyisihkan kita.

Ketika diuji dengan ujian nyata, kita rasa bertuhan.

Ketika bebas dari dugaan dan kita lupakan Tuhan, sebenarnya itulah sehebat-hebat UJIAN.

وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan".

~Yunus 10:12~

~ telah diterbitkan dalam Facebook oleh Suzana Mohamed Ali ~

14 April, 2010

Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah


Setelah lama menantikannya, terimalah hadiah dari hati kami - Far East
Halawatul Iman II ~ Saat Lafaz Sakinah.

Akan berada di pasaran terdekat ini.
Pastikan anda memiliki yang original.