21 April, 2010

Bila Tidak Disentuh Ujian

SETIAP dari kita pernah, sedang dan akan terus diuji. Dan ujian Allah datang dalam bentuk yang berbagai-bagai dan tidak terduga.

Semua kita tahu dan sedar hal ini.

Adakalanya ujian ini sebagai saringan iman. Adakalanya sebagai penebus dosa diri. Pastinya, ujian dan dugaan hidup yang Allah sediakan untuk kita adalah berbaloi untuk ditempuhi, kerana di hujungnya ada hikmah yang tidak sedikit. Itupun jika kita mahu merenung hikmahnya dengan mata hati - tempat jatuhnya pandangan Allah.


Dan di setiap episod ujian itu, kita mendepaninya dengan bermacam-macam cara juga. Ada yang sabar, menambahkan syukur dan menguntumkan reda. Ada pula yang hilang rasa, lalu putus asa, menyalahkan takdir Allah yang Maha Ada.

Beruntunglah jika di setiap sudut ujian itu kita mengutip permata hikmah dan maghfirah (keampunan). Dan itulah yang sebaiknya.

Sayangnya, tidak sama iman dan amal kita. Saya mungkin kurang imannya, berbanding kalian yang barangkali lebih dekat dengan Allah. Justeru, natijah dari saringan Allah walaupun pada ujian yang sama juga adalah berbeza. Ia bersukatkan iman masing-masing.

Sudah menjadi fitrah, ketika diri dirempuh mehnah (tribulasi), kita mudah sahaja bersimpuh mengadap duli kebesaran Allah. Segala yang leka, berubah menjadi peka. Ternyata, Allah tidak pernah meninggalkan kita, biarpun kita berkali-kali mengabaikannya - yang hakikatnya Zat Dia tak pernah kurang apa-apa kalau kita menjauhi-Nya.

Ketika kita tertunduk menginsafi khilaf diri, memohon ampun dan mendambakan bantuan-Nya itu dan ini, sebenarnya Allah sudah lama dekat di sisi.

Namun seribu kali sayang, tatkala sudah mampu merangkak, membina semula kekuatan diri yang luluh dilanyak ujian, perlahan-lahan Allah kita tinggalkan.

Tiada lagi rengekan. Tiada lagi mohon belas ihsan. Tiada lagi airmata penyesalan.

Dan Allah kita ketepikan, membiarkan segala urusan diri ditentukan dengan tangan sendiri.

Seolah-olah, kita tidak pernah kenal Tuhan yang bernama Allah, yang Maha Memberi semasa manusia dan dunia tiada apa-apa. Dialah Allah yang Maha Sentiasa Ada, ketika semua yang ada menyisihkan kita.

Ketika diuji dengan ujian nyata, kita rasa bertuhan.

Ketika bebas dari dugaan dan kita lupakan Tuhan, sebenarnya itulah sehebat-hebat UJIAN.

وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan".

~Yunus 10:12~

~ telah diterbitkan dalam Facebook oleh Suzana Mohamed Ali ~

Tiada ulasan: