04 September, 2010

Masih Ada Waktu. Masih Ada Sayang


Kita sudah di hari-hari terakhir Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan Allah. Begitu pantas masa berlalu, hingga kita sudah pun menjejak 25 Ramadan 1431H.

Terasa bagai semalam baru disinggahi bulan barakah ini. Rupanya hanya berbaki 4 hari sahaja lagi sebelum kita berpisah dari tamu agung ini. Bagi yang benar-benar mendampinginya sepenuh hati, mudah-mudahan bakal dititipkan taqwa sebagai hadiah perpisahan.

Namun jika datangnya kita sambut endah tak endah, pasti Syawal lebih hangat dinanti tanpa sedih ditinggalkan Ramadan ini.

Datang dan perginya Ramadan semacam tak ada erti bagi sesetengah kita. Bahkan ada yang menganggap Ramadan ini hanya pelengkap syarat meraikan lebaran di pagi 1 Syawal saban tahun. Sekadar itu.

Yang dihitung bukan bekalan sepanjang Ramadan. Yang dihitung adalah dekatnya Syawal untuk dirayakan.

Sudah layakkah nanti di hujung Ramadan kita bergelar graduan dengan kepujian taqwa? Atau Ramadan kita hanya ada lapar dan dahaga sedangkan nafsu kenyang meratah dosa?

Sememangnya Ramadan ini mendedahkan kejahatan total manusia tanpa campur tangan sang syaitan. Bagi yang masih ada malu, aib itu diusahakan untuk tidak terlihat dengan taubat.

Namun bagi yang merasakan dosanya itu tidak apa-apa, maka tiadalah diri berusaha membaguskan mana yang perlu diperbaiki apalagi membetulkan apa yang salah.

Dan dalam Ramadan ini juga, kami menyaksikan ragam manusia yang pelbagai. Ada yang istiqamah menambah amal dan bekal. Ada yang leka menambah dosa dan sebal.

Diri yang sama bila dilaungkan azan Maghrib lalu berbuka. Tetapi diri itu jugalah yang bila dilaungkan iqamah Maghrib masih bersantai lewa.

Lidah itulah yang fasih membaca doa makan dan ayat-ayat al-Quran, lidah itu jugalah yang berbual kosong tanpa tujuan.

Letih mata kami menyaksikan anak-anak muda dan warga tua yang berjiwa muda membiarkan Maghrib dihabiskan di meja makan. Letih bila malam-malam indah sepanjang Ramadan ini hanya dihabiskan dengan makan dan makan.

Dara-daranya sudah tak endah harga tudung di kepala. Aurat padanya hanya helaian rambut. Lalu dia bertudung dengan mengurangkan inci kain di badannya pula.

Sangat menyakitkan mata.


Itu belum dijenguk dara-dara yang berjaga auratnya tapi bebas lepas lakunya. Ketawanya sahaja didengari di pelusuk tempat. Mengekek dan mengilai. Bangga bila khalayak yang datang dan pergi hanya berkerut dahi memerhati.

Ada juga yang dengan pakaian yang cukup syarat itu, ke hulu ke hilir dengan lelaki entah siapa. Senyum menyengih bangga jadi dara bertemankan teruna idaman. Mulanya bergambar jauh-jauh. Esok-esok sudah hampir lagi seinci. Lusa pula, sudah berani membiarkan dia menyentuh diri.

Namun yang lebih menyakitkan mata, bila anak-anak gadis kita sudah tidak segan silu menjadi ‘isteri’ sebelum waktunya. Memang bukan di tempat tidur, kerana kalian sedar zina itu haram dan berdosa besar.

Makan bersuap. Keluar bersama-sama untuk bertarawih. Bergandingan ke pasar-pasar mencari juadah atau persiapan Syawal. Menyediakan juadah untuk si dia. Mengejutkan dia bersahur. Mengingatkan dia untuk bangun malam berqiamullail.

Ya bunyinya sangat manis. Apalah salahnya. Di manakah salahnya.

Kami bukan bertepuk tampar!”

“Kami makan je. Kesian dia, makan sorang-sorang. Lagipun kami bukan makan berdua.”

“Tak sampai hati dia terlepas sahur, sebab tu saya SMS dia pukul 5 pagi tadi.”

Bagilah 150 juta alasan dan sebab pun, kamu belum berhak!

Wahai sekalian dara,
Kalau sahaja sebelum nikah kamu sudah menjalankan tanggungjawab kamu sebagai isteri, sudahnya apa yang tinggal selepas lafaz ijab dan kabul bertukar?

Apa yang membezakan kamu si dara dengan peranan mulia sebagai isteri?

Dan apakah lelaki yang kamu damping tanpa nikah itu akan merasakan kamu ini benar-benar istimewa untuknya kalau semuanya sudah biasa kamu lakukan sebelum nikah?

Jika semuanya sudah biasa benar dilakukan sebelum nikah, apakah indahnya nikah?

Dara-dara sekalian,
Bersabarlah! Adakah akan hina maruah kalian kalau bertabirkan malu?

Luakkah harga diri kalian jika semua ‘tanggungjawab isteri’ itu kau laksanakan selepas mahar diri diterima?

Tinggikanlah nilai dirimu dengan malu. Malu untuk berbuat sesuka rasa. Malu untuk lepas laku tak kenal masa dan siapa.

Pada anak muda yang disandarkan harapan agama, luka ummah ini sudah makin parah. Usahlah lagi mencurah cuka ke tempat luka. Parutnya nanti tak hilang. Tegaslah menolak yang haram. Tekunlah melaksanakana yang halal dan sunnah.

Kalian lelaki, perlukah hidup bergantung budi?

Usah disoal besar atau kecilnya dosa. Manusia boleh sahaja mati dek gigitan nyamuk yang kecil lagi kerdil.

Masih ada berbaki beberapa hari di hujung Ramadan ini. Moga kita benar-benar kembali kepada fitrah diri yang tunduk sujud mengabdi diri pada Ilahi.

Hanya dari Allahlah kami mohon diberikan hidayah dan taufik.

Untuk kami sendiri.

Untuk anda.

Untuk kalian.

Percayalah, masih ada waktu dan masih ada sayang Allah kalau hatimu kini tersentuh.

Tiada ulasan: