25 Julai, 2011

MUHASABAH DI GERBANG RAMADAN


HARI ini 23 Syaaban 1432H. Hari Isnin, bersamaan hari ke 206 dalam Tahun 2011M.

Ramadan sudah makin dekat. Baunya sudah tercium-cium. Hati sudah tak betah tenang. Debarnya menggegarkan rohani. Ada desas berbisik, apakah kedatangan Ramadan ini akan menguntumkan taqwa, atau Ramadan bakal berlalu hampa dan sia-sia?

Persiapan apa yang telah kita buat menantikan Ramadan yang kita sebut-sebut? Atau Ramadan yang kononnya kita rindu-rindukan hanyalah konon-konon sahaja, sedang hati kita bertingkah?

Lirik ini, walaupun bermukadimahkan tentang Syawwal, isinya seputar Ramadan. Muhasabah di gerbang Ramadan. Moga nanti kita tidak beralasan, 'aku sudah terlewat' ..


MUHASABAH RAMADAN
Oleh Pahrol Mohamad Juoi

Hari raya hari kemenangan
Hari kesyukuran dilimpahi kemuliaan
Di lipatan seni mehnah
Ada maksud murni yang lebih hakiki.

Pada nafsu yang dilentur lapar dahaga
Pada fikiran disinar wahyu dan sabda
Pada hati bersih di solat tarawih
Apakah semuanya telah dimiliki?

Puasa mengajar erti ketabahan
Menghadap ujian berlandaskan iman
Puasa perisai yang sangat maknawi
Penyingkap hijab antara hamba dengan Ilahi.

Puasa sempurna menahan rohani dan rasa
Puasa sederhana menahan indera dan juga anggota
Puasa biasa hanya melawan lapar dan dahaga
Lalu di manakah puasa kita?
Adakah masih di tahap lama?

Lalu muhasabah di hujung Ramadan
Sudahkah terbangun jiwa teguh dan kukuh
Atau kolam jiwa masih tercemar keruh
Bersembilu dosa duri angkara?

Ketika bertahmid, bertakbir, bertasbih
Terasakah kita hamba Ilahi?
Yang hanya mampu mengukir tadbir
Sedangkan pada-Nya segala takdir?

LAGU: UNIC



Allahumma,
semoga Ramadan ini, aku tidak kehausan lagi dari titis kasih-Mu.


.

Tiada ulasan: