14 Oktober, 2008

Satu Salah 300 Denda (1)

oleh Suzana Mohamed Ali dan Nabil Ahmad

(Bahagian 1)

Hukum dan Hukuman
Coretan kali ini saya mulakan dengan kisah peribadi saya. Ada falsafah yang mahu saya kongsi dengan mata, telinga dan minda khalayak pembaca. Biar sama-sama beriktibar. Biar kita berfikir-fikir.

Lewat malam itu kami ditahan polis dalam perjalanan kami ke sebuah restoran makanan segera. Tanpa kata, si polis ini terus mencatit nama dan maklumat berkaitan diri dan kereta atas kesalahan tidak berhenti ketika lampu isyarat merah.

Kami masing-masing gamam dengan insiden itu. Mujur juga jalan lengang kerana malam sudah terlalu larut. Dan suami saya memang tidak pernah melakukan kesalahan trafik sepanjang dia memandu. Cuma malam itu, kami berdua terlepas pandang pada isyarat merah lampu trafik yang jaraknya cuma 250 meter dari kawasan kediaman kami.

Hampanya, apabila si polis tadi terus menulis dalam kertas saman di tangannya dengan wajah dan reaksi tegang. Kami cuba berbasa-basi, minta dipertimbangkan kesalahan kami. Walaupun hakikatnya kami tahu memang salah kami kerana lalai lalu terlepas pandang dan kebetulan si polis ini berada di belakang kereta kami!

Kami juga tahu, denda kesalahan kami itu adalah maksimum – RM300 ‘sahaja’. Namun, hati kecil kami mengharapkan caranya biarlah berdiplomasi. Apa salahnya terangkan pada kami, ini salah dan perlu dihukum. Atau sekurang-kurangnya tanya dahulu kenapa kami tidak patuh undang-undang jalanraya itu.

Tetapi tidak. Dia buat kami rasa geram walaupun kami memang sedar kami salah sementelah kami rela membayar dendanya.

Itulah kisahnya. Kisah biasa kita dengar dan mungkin ada yang pernah laluinya sama seperti kami.

Satu Salah Satu Denda
Dan inilah yang mahu saya kongsi – apabila kita melakukan kesalahan dengan manusia, kita akan dihukum begitu sahaja. Sama ada kita sengaja atau tidak, hukum tetap hukum. Sifatnya statik. Salah, kena.

Di sinilah kita perhatikan betapa berbaloinya deal dengan Allah. Allah SWT yang sangat teliti, maha tahu perilaku kita yang terang nyata atau yang tersembunyi dari siapa-siapa. Dia Maha Tahu kalau kesilapan kita kerana sengaja atau terleka.

Dia tidak terus-terus mencatit salah kita sedangkan Dia mengamati ketidaksengajaan kita atau sebaliknya.

Dan Dia tidak pernah mahu membebankan kita menanggung denda satu dosa dengan berkali-kali ganda hukuman. Satu dosa, satu hukuman.

Tetapi tidak kita. Salah satu, dendanya berganda-ganda. Hingga hati kita rasa bengkak-bengkak kerana meradang sendiri dek ketidakpuasan hati dengan hukuman yang tidak berbaloi. Benar-benar rasa terbeban.

Memang benar rupa-rupanya hukuman yang manusia bikin seringkali tidak seimbang dan adil. Manusia yang mencipta hukum mungkin merasakan ia adil dan mendidik pelaku salah. Hakikatnya tidak.

Lain sungguh dengan ciptaan Allah. Hukumannya buat kita rasa aman dan nyaman. Zahirnya nampak macam keras, tetapi penerima hukumannya rasa patut. Khalayak umum yang lain rasa terdidik dan waspada.

Memang sesungguhnya kiraan salah betul Allah sangat adil. Neracanya saksama walau dengan siapa. Hingga kita tidak pernah rasa mahu mengungkit atau membentak menyuarakan rasa tidak puas hati dengan hukuman dari Dia.

Lebih dari itu, Dia bisa sahaja memaaf dan melupakan kesalahan kita, sekiranya kita mengakui dan menyesali kesilapan itu dan membuat permohonan maaf dari-Nya dengan hati ikhlas yang total.

Allah memang sangat adil. Terlalu adil dan saksama. Tetapi kenapa kita tidak mahu menurutinya – dalam hal-hal yang ditentukan hukumnya?

Dalam soal undang-undang jalanraya, memang kita bebas mencatur hukumannya sendiri. Tetapi bagaimana dalam soal yang lain?

Perjalanan kami teruskan juga. Malam itu, perut kami yang lapar terus jadi sebu dengan rasa sebal. Namun apabila memikirkan Allah sedang mendidik dan mahu kami mencungkil hikmah ini, kami semarakkan syukur.

Dengan manusia, satu salah, 300 denda.

Tiada ulasan: