26 Januari, 2010

Post ke-100!

Bismillahirrahmanirrahim
Salam.


Dipetik dari Terjemahan Riyadh al-Soliheen Jilid 4, terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri dalam Bab Menyuruh Pemerintah supaya Bersikap Lemah Lembut kepada Rakyatnya, Memberikan Nasihat serta Kasih Sayang kepada Mereka dan Dilarang Menipu, Bersikap Zalim serta Mencuaikan Kepentingan Mereka.

Diriwayatkan daripada Imam Muslim ~ Daripada Aisyah RA katanya, “aku mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam rumahku ini, “Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka, maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”.

Pengajaran hadis:
1. Orang yang dilantik menjadi ketua atau pemimpin hendaklah menjaga kebajikan orang ramai dan haram menindas serta menzalimi mereka.

2. Setiap rakyat harus menasihati dan menegur pemerintah dengan teguran yang membina dan untuk memajukan negara. Rakyat juga berhak membantah sekiranya pemerintah melakukan kezaliman.

3. Setiap orang akan disoal di akhirat tentang tanggungjawab yang diamanahkan di dunia.

Pesanan Rasulullah SAW yang disampaikan oleh permaisuri hati Baginda, Saidatina Aisyah RA ini bagai petir yang menyentak lena.

Saya suami, ada isteri sebagai rakyat.

Saya abang kepada adik-adik dan ipar-duai.

Saya ketua di kantor dengan sejumlah anak-anak buah.

Kita yang dulu akan disoal.

Kita yang dulu akan dihitung.

Kita yang dulu akan dipertanggungjawabkan.

Itu cerita dari lingkup kecil.

Bagaimana kalau jadi Pengarah Urusan?

Kalau cerita sang YB?

Apa kisah bapak Menteri?

Ketua Kampung? Penghulu? Penggawa?

Semua akan disoal.

Bukan saya kata.

Allah kata.

Rasulullah kata.

Kenapa, tak percaya?

Tiada ulasan: