20 Januari, 2010

Sungguh Allah Sedang Berbicara ..

Sungguh Allah sedang berbicara dengan kami sekeluarga.

Kami dalam perjalanan untuk majlis pertunangan adik lelaki kami Azrol Zaimee Mohamed Ali dengan gadis dari Pulau Dayang Bunting, Langkawi pada pagi Sabtu, 16 Januari lepas.

Rombongan keluarga kami dari Ipoh singgah bermalam sebelumnya di rumah Bonda di Beseri, Perlis.

Dengan Feri Kenangan 6, kami meninggalkan Jeti Kuala Perlis jam 10.15 pagi dan tiba di Jeti Kuah sekitar jam 11.20 pagi. Dari Kuah, kami menaiki bot kecil yang disewa khas ke Selat Bagan Nyiur, dan dalam perjalanan itulah kami menerima panggilan memaklumkan, Tok kami sudah kembali ke rahmatullah.

Mengenangkan sudah berjanji denagn keluarga di sebelah sana, kami menguatkan hati untuk meneruskan juga majlis yang diatur. Sehingga selesai, kami terus bergegas balik ke Kampung Gajah, Perak.

Awalnya keluarga di kampung mahu menunggu kepulangan kami untuk menguruskan jenazah beliau. Namun, memikirkan yang kami akan tiba dinihari dan melengah-lengahkan urusan pengebumian beliau ibarat menyeksanya, jenazah selamat dikebumikan seusai solat asar hari yang sama.

Kami tiba di Kampung Gajah jam 2 pagi.

Petang Ahad, 17 Januari Ayah pula mendapat panggilan dari kleuarga di Dungun mengatakan Ayah We ~ abang Ayah, sedang tenat.

Ayah berkira-kira untuk ke sana sebaik kenduri tahlil malam ini selesai. Semua adik-adiknya telah dihubungi dan sepakat mahu ke sana sesegera mungkin.

Takdir Allah, selesai sahaja majlis tahlil malam itu, sekitar jam 9.15 malam, Ayah dimaklumkan, abangnya telah pergi mengadap Ilahi.

Kami semua diam. Tak terkata apa.

Dengan Opah (tiri) yang masih berlinangan airmata, dan keluarga yang masih dalam kesayuan, kami minta diri untuk bertolak ke Dungun, malam itu juga.

Perjalanan kami 9 jam melalui Gua Musang dan Tasik Kenyir, alhamdulillah diizinkan Allah untuk kami tiba saat jenazah mahu dimandikan.

Ternyata Allah memilih untuk menguji kami. Bonda yang kehilangan ayahnya. Dan Ayahanda yang kehilangan abangnya. Dalam dua hari. Dalam kami meraikan pertunangan si adik.

Memang Allah sedang mengingatkan hati-hati kami ~ mana milik kamu? Tidak ada. Kerana semuanya Allah yang punya. Semuanya Allah pinjamkan untuk kita menikmati, mensyukuri dan menambah iman dan amal. Dan nanti, kamu juga akan diambil ...

Al-Fatihah untuk kedua-dua insan kesayangan kami.

Dan hingga kini sebak masih bersama.

Tiada ulasan: