Bismillahirrahmanirrahim
TAK SEMESTINYA kita tulis sendiri. Selalunya kita senang merujuk pandangan yang lain. justeru, mari kita berkongsi kisah dan falsafah ini ... Pandang dengan mata hati dan akal waras.
Mudah-mudahan, kita bukan yang dimaksudkan ...
~*~***~*~
MUSUH ALLAH BERIJAZAH SYARIAH
“Bagus tulisan ini. Bangun, siapa yang menulisnya!”, kata Dr. Mustafa Abu Zaid.Sahabat saya, Khair (bukan nama sebenar) bangun tersipu-sipu. Hampir 300 biji mata yang lain tertumpu kepadanya.
“Kamu pelajar tahun dua ya?”, tanya beliau kepada anak muridnya yang seorang ini.
Khair mengangguk.
“Kamu dari negeri mana di Malaysia?”, tanya Dr. Mustafa lagi.
“Saya dari Kelantan”, jawab Khair.
“Ohh, patutlah!”, simpul pensyarah kami.
Semua orang terpinga-pinga. Apakah yang Dr. Mustafa Abu Zaid maksudkan dengan “ohh patutlah” tersebut?
“Baik, ini saya ada satu lagi hasil kerja. Sila bangun siapa yang menulisnya!”, Dr. Mustafa Abu Zaid memberikan arahan. Kali ini lain sedikit nada suaranya.
Sahabat kami, Hakim (bukan nama sebenar), terus bangun. Kelihatan agak resah di wajahnya.
“Kamu pelajar tahun empat?”, tanya Dr. Mustafa.
“Ya!”, jawab Hakim perlahan.
“Ini hasil kerja pelajar tahun empat? Kamu dari negeri mana di Malaysia?”, soal Dr. Mustafa. Keras!
“Saya dari Johor”, jawab Hakim.
“Ohh, patutlah!”, simpul pensyarah kami, sekali lagi.
Habis semua orang terpinga-pinga. Tambah kebingungan.
AKSES FIKRAH
Saya tersenyum, sekadar menggelengkan kepala. Saya faham benar akan Dr. Mustafa Abu Zaid. Beliau mengajar kami subjek Dakwah Islamiyyah, subjek yang sangat berkesan dalam proses mengakses fikrah pelajar-pelajar Syariah tentang tanggungjawab dakwah dan perjuangan.
Jangan pula ada yang beranggapan, hanya dengan menjadi pelajar Syariah, sudah tentu ada fikrah tentang tugas dakwah warisan Anbiya’ itu. Belum tentu. Dr. Mustafa Abu Zaid sangat arif tentang hal ini dan beliau tidak mensesiakan setiap ruang dan peluang untuk ‘membasuh’ fikrah anak muridnya.
Mungkin sebab itu ramai pelajar Malaysia tidak suka dengannya. Tetapi beliaulah pensyarah yang paling saya minati. Sukar untuk saya ungkapkan, tetapi soalannya sentiasa menarik perhatian saya, dan jawapan saya pula selalu sesuai dengan kehendaknya. Hasilnya, Alhamdulillah, markah peperiksaan bagus. Hubungan juga bagus. Lebih dari sekadar pensyarah dan pelajar, tetapi pendidik dan mutarabbi dari kalangan kami.
KAJIAN GERAKAN
Kali itu, Dr. Mustafa Abu Zaid memberikan assignment kepada kami. Beliau mahu kami mengkaji dan menulis tentang gerakan atau parti yang wujud di negara masing-masing. Satu contoh gerakan yang mendukung idea Islam, idea Nasionalisma, idea Sosialisma dan satu idea lain yang wujud.
Saya gembira sekali dengan tugasan sebegini. Hampir seminggu saya menyelongkar perpustakaan universiti dan kedai-kedai buku di Amman untuk mencari bahan. Terkasima juga bertemu dengan tulisan-tulisan pemimpin PAS dan ABIM yang diterjemahkan ke Bahasa Arab, termasuk juga buku-buku yang disunting oleh Sheikh Azzam al-Tamimi.
Tentu sahaja di ketika itu (1995), belum ada apa yang dinamakan sebagai internet, dalam dunia pengajian kami.
Bagi pelajar yang biasa dengan usrah, tentu sahaja assignment sebegini tidak sukar. Tahu hujung pangkalnya. Tetapi bagi yang tidak pernah peduli dengan Tarbiyah, dengan dakwah, bertemu kesulitan yang besar untuk menyelesaikannya.
KE PEJABAT
Kami keluar kelas bagai cacing kepanasan. Ada yang marah, ada yang ketawa, ramai yang tersenyum dan terus diam. Saya bergegas mengejar Dr. Mustafa Abu Zaid ke pejabatnya kerana beliau berpesan begitu. Turut bersama semasa itu ialah Ahmad yang juga peminat Dr. Mustafa Abu Zaid.
Di pejabat beliau, beliau meminta kami menjelaskan dengan lebih terpeinci tentang suasana politik di Malaysia. Beliau khuatir dengan Anwar Ibrahim yang dilihatnya mengkhianati perjuangan Islam.
“Jangan sampai jadi macam Anuar Saddat!”, katanya, merujuk kepada bekas Presiden Mesir yang muncul dari khemah al-Ikhwan al-Muslimun tetapi bertukar menjadi musuh paling keras dan kejam terhadap Ikhwan.
Saya melihat di atas meja beliau ada buku BACAAN, yang menjadi rujukan golongan Anti Hadith di Malaysia. Manalah ‘Tok Sheikh’ ini dapat naskhah itu, kami berdua kehairanan.
PEPERIKSAAN LISAN
Semasa kami sedang berbual, tiba-tiba pintu bilik Dr. Mustafa diketuk. Seorang pelajar Malaysia muncul dan memberi salam.
“Urusan apa?”, tanya beliau.
“Ujian Satu subjek Aqidah 1," jawabnya. Saya dan Ahmad beralih ke tepi.
“Kamu sudah selesai baca buku Ubudiyyah karangan Ibnu Taimiyah itu?”, soal Dr. Mustafa Abu Zaid.
“Sudah, Alhamdulillah”, balas beliau.
“Baik, silakan duduk. Soalan pertama saya, kamu parti mana?”, tanyanya. Pelajar itu, dan kami berdua sama-sama tercengang.
“Err… err…!”, beliau serba salah mahu menjawabnya.
“PAS atau UMNO?”, soalnya terus.
“Bukan, bukan! Bukan PAS, bukan UMNO!”, jawab beliau. Cemas!
“Habis? ABIM?”, Dr. Mustafa Abu Zaid menyoal lagi untuk memudahkan jawapan.
“Ya…”, jawab pelajar tersebut.
“Baik. Soalan kedua saya, hasil bacaan buku Ubudiyyah itu, terangkan kepada saya bagaimana ABIM faham Islam?”, soalan Dr. Mustafa Abu Zaid makin ‘telanjang’. Tembus dan telus.
“Err… err…”, gugup sekali pelajar tersebut mahu menjawab soalan itu. Tentu sahaja tiada dalam jangkaannya akan disoal sedemikian rupa. Saya dan Ahmad juga resah mendengarnya.
“Saya mudahkan soalan saya ya. Macam Islam PAS atau macam Islam UMNO?”, Dr. Mustafa menembak soalan lagi.
“Tidak, tidak! Bukan macam PAS, bukan macam UMNO. Kami tengah-tengah!”, jawab beliau.
“APAAA!!!”, Dr. Mustafa sangat terkejut. Merah padam mukanya.
Kami kesejukan. Silap benar jawapan sebegitu wahai saudaraku…
“Tengah-tengah!!! Tiada tengah-tengah dalam masalah ini. Sama ada kamu pilih Islam atau kamu pilih Jahiliah. Mereka yang baina baina (tengah-tengah) hanya kaum yang bersekongkol dengan Nifaq. Adakah kamu maksudkan ABIM begitu?”, soalnya lagi.
“Tidak, tidak… bukan begitu!”, jawab pelajar itu. Wajahnya sungguh panik.
Saya dan Ahmad meminta izin untuk keluar. Kasihan melihat pelajar tersebut yang tersepit dan terjerat.
“Jangan! Duduk sini”, tegas Dr. Mustafa Abu Zaid menahan kami.
Saya dan Ahmad duduk semula.
“Habis, bagaimana sebenarnya Islam yang kamu fahami dan perjuangkan. Terangkan kepada saya”, ujar Dr. Mustafa.
“Saya tidak tahu!”, balas pelajar itu perlahan. Sayu bunyinya.
“Kamu bilang kamu sudah habis membaca kitab Ubudiyyah. Tetapi kamu tidak dapat jelaskan Islam apa yang kamu perjuangkan. Wallahi, kamu belum faham apa yang Ibnu Taimiyyah cuba sampaikan dari buku itu. Pergi balik dan baca semula. Setelah faham, baru datang jumpa saya dalam tempoh satu minggu”, Dr. Mustafa Abu Zaid meredakan kemarahannya.
Biar pun beliau seorang yang tegas, tetapi ketegasannya ialah pada menegaskan fikrah dan kefahaman. Dalam bab peperiksaan dan pemarkahan, beliau seorang yang bertolak ansur dan memberi peluang kepada pelajarnya.
KELAS BERIKUTNYA
Dua hari selepas itu, kami masuk semula ke kelas Dakwah Islamiyyah.
Jam sudah sedikit lewat. Kami hampir-hampir sahaja mahu meninggalkan kelas kerana Dr. Mustafa Abu Zaid amat jarang tiba lewat ke kelas. Beliau muncul tetapi wajahnya kemerahan.
“Saya kecewa!”, katanya memulakan kelas kami.
Dewan Teater 5 itu sepi. Tentu ada sesuatu yang tidak kena.
“Saya telah dipanggil oleh Dewan Senat kerana ada di kalangan kamu yang mengadu dan menuduh saya menyebarkan propaganda di dalam kelas!”, sambungnya lagi.
“Kamu tahu apa itu propaganda? Iaitu kenyataan tanpa dalil dan pembuktian. Apakah ada mana-mana keterangan saya yang tidak merujuk kepada dalil? Cakap!”, tegas guru kami yang seorang ini.
Saya sendiri sejuk-sejuk tangan dan leher dibuatnya. Gerun.
“Salman! Mana satu Salman? (bukan nama sebenar)”, beliau memanggil nama pelajar yang membuat pengaduan tersebut.
Seorang rakan kami dari Indonesia bangun.
“Oh, kamu! Apa alasan pengaduan kamu?”, tanya beliau.
BERANI MENJAWAB
Salman menegaskan bahawa beliau tidak suka dengan idea assignment tentang gerakan dan parti yang diberikan tempoh hari. Katanya, subjek Dakwah Islamiyyah sepatutnya mengajar tentang cara-cara berdakwah, bukannya bercakap tentang politik kepartian.
Dr. Mustafa Zaid, merah padam mukanya.
“Kamu sudah baca silibus subjek ini?”, soalnya lagi.
“Sudah doktor!”, balas Salman.
“Faham isi kandungan dan matlamatnya?”, tanya beliau.
“Faham”, jawab Salman.
“Wallahi, kamu tidak faham satu apa pun dari silibus tersebut!!!”, marah Dr. Mustafa Abu Zaid.
Kelas menjadi sepi. Tegang, bukan tenang.
AYAH, BUKAN PENSYARAH
“Kamu semua dengar sini. Aku mengajar kamu bukan kerana mencari duit. Aku bukan berdiri di sini sebagai pensyarah. Aku adalah bapa, dan kamu anak-anakku. Aku mengajar kamu agar kamu hidup menyembah Allah. Jangan jadi musuh Allah, apatah lagi musuh Allah berijazah Syariah! Jika kamu melaporkan kepada Raja sekali pun dan aku dihukum bunuh, ketahuilah bahawa syahidnya aku adalah kebanggaan isteri dan anak-anakku!”, Dr. Mustafa Abu Zaid bersyarah.
Wajah dan janggutnya basah dengan air mata.
Saya juga gagal menahan sebak. Puas mengelap air mata, kerana saya tahu Dr. Mustafa memaksudkan apa yang diperkatakannya.
“Kelas tamat untuk hari ini. Kamu semua jangan datang ke kelas ini lusa, kecuali setelah kamu tahu apa maksud Surah al-Dzaariyaat ayat 56!”, beliau terus melangkah keluar dan memberikan salam kepada kami.
Ubudiyyah kepada Allah… itulah butir hikmah yang Sheikh Mustafa Abu Zaid semaikan ke jiwa kami.
Hanya jauhari yang kenal manikam!
::: ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur :::
~*~***~*~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan