15 Disember, 2008

Taakul 4 - Wanita & Lagu

~69696969~


Lanjutan persoalan hukum wanita menyanyi yang pernah ditanyakan sebelum ini.


Ini adalah sebahagian dari kandungan kertas kerja kajian bertajuk HUKUM MUZIK DAN NYANYIAN MENURUT PANDANGAN ISLAM yang ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husain yang dibukukan dalam Monograf Andalus II terbitan Dewan Perwakilan Mahasiswa Tanta tahun 2002/2003.


HUKUM LELAKI MENDENGAR NYANYIAN DARIPADA WANITA
& SEBALIKNYA


Seluruh ulama Islam bersepakat bahawa HARUS hukumnya seorang lelaki mendengar nyanyian wanita apabila wanita itu adalah mahramnya, isterinya atau hamba wanitanya sendiri.


Persoalannya, adakah boleh seseorang lelaki mendengar nyanyian daripada wanita yang bukan mahramnya dan bukan isterinya?


Terdapat DUA pendapat ulama:
PENDAPAT PERTAMA

· Pendapat yang tidak membenarkan sama sekali – sama ada boleh menimbulkan syahwat atau tidak. Antara pelopor kepada pandangan ini ialah Ibnu Qayyim al-Jawziah[i], Abu al-Tayyib dan Dr Wahbah al-Zuhayli[ii].


DALIL PENDAPAT INI

Ulama’ yang berpandangan ini menggunakan dalil-dalil yang sama dengan dalil pengharaman nyanyian.

Ini dikuatkan lagi dengan pendapat sebahagian ulama’ bahawa suara wanita adalah aurat, lebih-lebih lagi apabila wanita itu menyanyi di hadapan lelaki ajnabi yang mana nyanyian daripada si wanita boleh menimbulkan kesan-kesan negatif seperti boleh merangsang nafsu dan sebagainya[i].


PENDAPAT KEDUA
· Pendapat yang membenarkan dengan syarat tidak berlaku fitnah dan syahwat. Di antara yang berpandangan denikian ialah Imam al-Ghazali, Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan sebagainya.

Imam al-Ghazali menjelaskan:

Kami telah menyebutkan bahawa nyanyian wanita ajnabiah untuk meraikan majlis-majlis yang membawa kepada kemaksiatan ataupun pendengar-pendengar nyanyian yang takut sekiranya mereka mendengar nyantian daripada penyanyi-penyanyi wanita akan menyebabkan berlakunya fitnah, maka dalam kedua-dua situasi ini hukum nyanyian adalah haram. Adapun yang dimaksudkan dengan fitnah di sini ialah perkara-perkara yang ditegah oleh Islam. Sekiranya nyanyian hamba wanita itu dipersembahkan kepada tuannya, maka tidak berlakunya sebarang larangan daripada syara’.

Maka keharusan mendengar nyanyian hamba wanita ini turut meliputi kepada lelaki-lelaki lain yang bukan tuan kepada si penyanyi wanita ini apabila tiada perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah”.


PENDAPAT YANG RAJIH (diterima)

Setelah diteliti secara halus pendapat-pendapat para ulama’ mengenai masalah ini, boleh disimpulkan bahawa apabila seseorang penyanyi wanita itu boleh menimbulkan fitnah di kalangan pendengar seperti menyanyikan lagu-lagu bersifat lucah, menyeru kepada cinta yang menganjurkan pergaulan bebas tanpa batas di antara lelaki dengan perempuan atau keadaan si penyanyi yang tidak menutup aurat; maka seluruh ulama’ mengharamkan golongan lelaki ajnabi mendengar nyanyian si wanita tersebut secara qat’ie (mutlak).


Namun begitu, sekiranya penyanyi wanita serta nyanyian yang disampaikan adalah bertepatan dengan syariat Allah, di samping tidak menimbulkan fitnah di kalangan pendengar – maka pendapat yang rajih mengikut pandangan Dr Abdul Karim Zaidan adalah HARUS. Ini berpandukan dalil-dalil yang kuat yang menunjukkan keharusan mendengar nyanyian wanita.


Walau bagaimanapun, Dr Abdul Karim Zaidan telah menjelaskan bahawa sekiranya ditinjau kepada suasana semasa, boleh disimpulkan bahawa nyanyian wanita hari ini adalah tidak mengikut aturan-aturan Islam seperti berpakaian menjolok mata, mendendangkan lagu-lagu berbau lucah yang mengundang norma-norma yang tidak sihat di kalangan muda-mudi Islam.



~69696969~




CATATAN HUJUNG

DEWASA INI nasyid dan para penasyid sangat sinonim dengan dakwah dan menyebarkan risalah Allah dan sunnah Rasulullah SAW.

Tetapi nasyid bukan topeng. Dan berdakwah melalui nasyid bukan sekadar ‘gitu-gitu’.

Ada amanah yang wajib dilunaskan. Wajib dilaksanakan. Bukan main-main.


Amanah yang akan dipertanggungjawabkan. Yang akan ditanya dan disoal.

Wallahualam … Ini pandangan ‘sekilas pandang’ kami yang lemah serba-serbi.

=#=#=

[i] Al-Islam wa al-Fan m.s 38

[i] Hukum al-Islami fi al-Ghina’, m.s 15

[ii] Tafsir al-Munir, juzuk 21 – surah Luqman ayat 6 – m.s 136

Tiada ulasan: