24 Ogos, 2009

Naik Pangkat

Bismillahirrahmanirrahim

Salam Ramadan 1430.

Syukur, kita sudah pun berada dalam bulan terbaik ini Ramadan al-Mubarak. Rasa teruja yang menggebu, terasa terus terpugar.

Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan kita mengecap nikmat di bulan ini. Mudah-mudahan kita berusaha untuk mengambil segala ruang, peluang dan kesempatan terhad ini dengan sungguh hati.

Kerana Ramadan tidak pernah berjanji untuk mengundang kita lagi tahun hadapan. Maka, senangkanlah hati kita untuk beraksi bagai ini pusingan penentu.

Alangkah besarnya promosi yang Allah sediakan dalam sebulan ini! Segala-galanya ditawarkan dengan ganjaran lumayan. Cuma nafsu adakalanya juga merantai hati untuk berbuat amal sehabis baik.

Diparut-parutnya hati supaya terus kikir.

Disinggung-singgungnya juga untuk terus malas-malas, marah-marah berkerut dahi, menyumpah dalam hati. Astaghfirullah ...

Bimbang benar kalau Ramadan kali ini kita hanya layak mendapat lapar dan dahaga. Punahlah harapan kita untuk memenangi pakej hadiah utama yang Dia tawarkan - taqwa.

Mahu masuk hari ketiga dalam sepuluh hari pertama dalam Ramadan ini, kami berdoa, moga taqwa berhasil kita semua perolehi.

Dan sepatutnya juga dua hari yang berlalu telah kita hampiri rahmat Allah, sebelum nanti mengejar keampunan-Nya dan diisytihar bebas dari dicampak ke neraka. Amin.

Ramadan ibarat PTK yang di hujung keputusannya menentukan kenaikan pangkat atau kita kekal di jawatan yang sama. Tidak berganjak.

Maka Taqwa-lah pangkat yang diidam-idamkan kalau benar-benar kita mahu.

Skema pemarkahan dan penilaian sudah dimaklumkan. Mahu dengan tidak sahaja yang membezakan.

Mahu kenaikan pangkat, maka segala syarat dan etika kerja mesti dipatuhi. Kerana penilaiannya dari segala segi. Bukan sekadar menepati waktu punch card in dan out sahaja. Bahkan semuanya.

Dinilai.

Ada nilai.

Begitu jugalah mendamba taqwa di bulan Ramadan ini.

Mengisi dan menyempurnakan Ramadan bukan cakap kosong atau angan-angan. Tapi diinterpretasikan dengan amal.

Mencari kebaikan bukan menanti perkara besar. Walau sekadar memanis muka sesama manusia atau saling mengucap terima kasih antara suami dan isteri, Allah menyediakan ganjarannya.

Semuanya jadi ibadat. Dari terbit matahari hingga malam menabir bumi, semuanya dihitung kira. Asalkan dengan niat- lillah!

Maka ayuh, kita berebut-rebut. Ayuh berlumba-lumba.

Salam kembara Ramadan.
Siruu 'ala barakatillah.

18 Ogos, 2009

Debar Makin Kuat

Bismillahirrahmanirrahim.





Semakin dekat menghampiri Ramadhan, gentar makin kuat menggegar relung hati. Debar makin terasa. Bagai digendang.



Ya Allah, alangkah besarnya hajat hati kami, moga-moga kedatangan Ramadhan ini, kami menyambutnya sepenuh hati. Melayaninya puas-puas, bagai ini Ramadhan terakhir kami.



Bukan semua kita akan menyambut Ramadhan.



Mereka yang telah pergi, tak kembali, Ramadhan sudah tiada lagi bagi mereka. Alangkah sedihnya kalau Ramadhan tidak sudi menjengah kita ...



Ramadhan makin dekat. Harumnya dah tercium, maka ya Allah, sampaikanlah kami pada Ramadhan-Mu itu.



***


Di ambang Ramadhan ini, emosi kami sedikit terusik. Terimbas kenangan menyambut Ramadhan di Ardhul Kinanah tiga empat tahun yang lepas.


Meriahnya suasana di sana!


Begini hari, pasti sudah redup Kota Kaherah dengan segala poster, kain rentang, pelekat dengan tulisan mengalu-alukan Ramadhan.


Ramadhan Kareem!


Ramadhan Mubarak!


Meriahnya layak bertemasya!


Khemah-khemah mula tegak berdiri di merata masjid dan tepi jalan. Ada yang bertujuan meniaga. Jual kunafah. Jual qutaiyif. Jual fanus. Jual rutob. Jual shalatah. Jual turshi.


Ada yang bersiap menjamu tetamu Ramadhan berbuka nanti dengan bunting maidatu al-Rahman. Ada juga khemah untuk solat tarawih dan qiamullail.


Padat dengan segala persiapan.


Itulah yang kami rindukan. Sakannya mereka menanti Ramadhan.


Pemandu teksi, konduktor bas, anak-anak kecil, ibu-ibu tua, si kaya dan si miskin, semuanya saling bertukar ucapan ‘Ramadhan Kareem’, ‘Ramadhan Mubarak’.

Sana-sini kami melihat wajah ceria umat. Gembiranya mereka. Senangnya hati mereka, merapati Ramadhan.


Dan alangkah bagusnya kalau kita di Malaysia ini juga begitu. Saling tak sabar menanti Ramadhan. Saling merindu mengharapkan Ramadhan.


Alangkah baiknya kalau tiada keluhan, ‘ah, Ramadhan pulak!’


Alangkah indahnya waktu itu. Dan alangkah rindunya kami kenangan itu!
Daripada Anas r.a, katanya:
Bersabda Nabi s.a.w :
“Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini”.
wallahua'lam.

13 Ogos, 2009

Dia Yang Pergi Tak Kembali



Al-Fatihah untuk Almarhum Ustaz Asri Ibrahim yang telah menyahut panggilan Allah SWT, hari ini (Khamis, 13 Ogos 2009) jam 11.15 pagi.


Al-Faatihah.

Al-Faatihah.

Al-Faatihah.

lagi di sini, di sini dan di sini.

Amanah Almarhum sebagai hamba Allah telah selesai. Almarhum telah dijemput menemui Kekasih yang dialunkan dalam lirik lagunya.

Moga Almarhum tenang menanti di Barzakh.

Kita yang belum mahu bersedia, adakah nanti di sana bakal sejahtera, atau menderita?

Tiada tarikh, tiada masa.

Kita juga bakal pergi, bila-bila masa. Sama seperti dia, tanpa diduga.

Lalu, bagaimanakah nanti kita?

Ya Allah, kami mohon sampaikanlah kami pada Ramadhan-Mu ...

09 Ogos, 2009

Bulan Berpesta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang

Sakti Sanggar Ramadan
Oleh Suzana Mohamed Ali


Jumantara malam berkejora
perak warna purnama sinar terang
bayu kirim alun damai
alir kali reciknya tenang di alur
di dinihari sanggar Ramadan.

Kejora bintang tahu
purnama sepi diam-diam mengerti
desah angin faham
tenang kali menanti
saat sakti Ramadan
malam yang dijanji.

Malam yang dijanji
dengan janji pasti tak dimungkiri
siapa mencari, bakal temui
siapa tidak, merugi sendiri.

Sakti Ramadan dinanti
bagi jiwa nan benar-benar
mencintai Ilahi, dan jujur mengutip
rahmat dan ampun tanpa
ragu dan sangsi, walau sekali.

Sakti Ramadan mungkin
dinihari ini, kala mata terkatup
rapat didodoi mimpi.

Sakti Ramadan, kalau
dinihari ini, pasti laba tak akan
kembali, berkat usia seribu bulan kalau
hati memang sudah mahu mati.

Ramadan ini dijanjikan sakti
pertama kali kalam Tuhan dinuzulkan
inilah juga saktinya,
Sakti dalam sanggar Ramadan.

Sanggar bulan al-Quran,
Sanggar bulan malam seribu bulan,
Sanggar Ramadan.

Nota:
Sanggar: Rumah atau bahagian daripada rumah yang kemas teratur (tempat mengerjakan sesuatu).


Dedikasi :
Pertama - untuk suamiku, Nabil Ahmad.
Abang, terima kasih kerana tak kedekut memuji tulisan Honey, walaupun Honey yakin air tangan honey ni tak lah sebagus mana. Abang, budimu kusebut-sebut dalam hati.

Kedua - khalayak tamu sanggar ini.
saudara-saudari yang dirahmati Allah Taala,
moga-moga kita sedang berebut-berut membuat persiapan menjelang Ramadhan yang dinanti. Harap-harap tak ada yang tak teruja dengan ketibaan bulan penuh rahmat, keampunan dan janji Allah ini.

Kami berdua, sesungguhnya, sangat menantikan Pesta Ramadhan ini. Allahumma balighna Ramadhan!

Jom berpesta!

05 Ogos, 2009

Nukilan : Kalam Cinta Ramadhan

Kalam Cinta Ramadhan
Oleh Suzana Mohamed Ali


Ini aku datang dan
datang lagi
selagi nafiri kiamat belum digendang
pasti aku hadir, tepat
tak pernah lewat
tak mungkin lewat.


Aku pasti datang
walau ada yang lepas pandang dan
aku ini ada daulatnya.


Kalimah Tuhan dalam
diari lampau, akulah julang
di kala perintah-Nya, gunung-ganang
enggan tatang, mentelah langit
takut bukan kepalang.


Akulah saksi
kalimah-Nya itu diperturunkan.
Aku pernah dulu datang
dalam kisah ribuan tahun silam
tatkala tiga ribu malaikat diutus datang
cempera lari petualang di wadi Badar
yang simpan kisah gemilang.


Aku Ramadan.

Akulah yang Dia seru, bulan-Nya
bulan penuh cinta-Nya, kalau hati
lapang damba cinta sejati
maka biar aku sampaikan
cinta itu, sebelum aku berlalu
kerana aku pasti tetap datang
sedang kau tak tahu bilakan pulang.


~*~***~*~
Karya ini telah dipertandingkan dalam Sayembara Puisi Ramadhan anjuran Nisa Shah Alam,
dua tahun lalu; dan mendapat hadiah saguhati.

Kami Tak Mahu Lengah-lengahkan



Bismillahirrahmanirrahim.






Ramadhan dah sangat hampir.


Kami berdua antara khalayak umat yang sangat teruja menanti kedatangan tamu agung ini.


Kami menanti dengan penuh harapan, moga Ramadhan ini kami bisa menjadi Hamba Allah yang lebih baik dan mulus imannya, yang telah benar-benar mengotakan cinta yang dilafazkan;

Allahu Rabbi wa ana 'abduka, wa ana 'ala 'ahdika wa wa'dika mastata'tu.


Ya Allah, sampaikan kami pada Ramadhan-Mu.


Ayuh kita sama-sama sambut dan promosikan kedatangan bulan terbaik ini.


Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan!

04 Ogos, 2009

Tanpa Tajuk Tapi Dengan Rasa



Lewat tengahari ini kuterima satu kiriman cinta dari permaisuri hatiku.
Katanya ...


Ku cari cahaya,
ku temui sinarnya dalam renungmu.

Ku cari pemandangan terindah,
ku temui redup dahan kasihmu.

Ku cari belahan jiwaku,
ku temui dalam sanggar cintamu.

Izinkan Honey menjadi cinta
di hati Abang selama-lamanya ...






Dan aku pun tersenyum.