24 Ogos, 2009

Naik Pangkat

Bismillahirrahmanirrahim

Salam Ramadan 1430.

Syukur, kita sudah pun berada dalam bulan terbaik ini Ramadan al-Mubarak. Rasa teruja yang menggebu, terasa terus terpugar.

Alhamdulillah kerana Allah mengizinkan kita mengecap nikmat di bulan ini. Mudah-mudahan kita berusaha untuk mengambil segala ruang, peluang dan kesempatan terhad ini dengan sungguh hati.

Kerana Ramadan tidak pernah berjanji untuk mengundang kita lagi tahun hadapan. Maka, senangkanlah hati kita untuk beraksi bagai ini pusingan penentu.

Alangkah besarnya promosi yang Allah sediakan dalam sebulan ini! Segala-galanya ditawarkan dengan ganjaran lumayan. Cuma nafsu adakalanya juga merantai hati untuk berbuat amal sehabis baik.

Diparut-parutnya hati supaya terus kikir.

Disinggung-singgungnya juga untuk terus malas-malas, marah-marah berkerut dahi, menyumpah dalam hati. Astaghfirullah ...

Bimbang benar kalau Ramadan kali ini kita hanya layak mendapat lapar dan dahaga. Punahlah harapan kita untuk memenangi pakej hadiah utama yang Dia tawarkan - taqwa.

Mahu masuk hari ketiga dalam sepuluh hari pertama dalam Ramadan ini, kami berdoa, moga taqwa berhasil kita semua perolehi.

Dan sepatutnya juga dua hari yang berlalu telah kita hampiri rahmat Allah, sebelum nanti mengejar keampunan-Nya dan diisytihar bebas dari dicampak ke neraka. Amin.

Ramadan ibarat PTK yang di hujung keputusannya menentukan kenaikan pangkat atau kita kekal di jawatan yang sama. Tidak berganjak.

Maka Taqwa-lah pangkat yang diidam-idamkan kalau benar-benar kita mahu.

Skema pemarkahan dan penilaian sudah dimaklumkan. Mahu dengan tidak sahaja yang membezakan.

Mahu kenaikan pangkat, maka segala syarat dan etika kerja mesti dipatuhi. Kerana penilaiannya dari segala segi. Bukan sekadar menepati waktu punch card in dan out sahaja. Bahkan semuanya.

Dinilai.

Ada nilai.

Begitu jugalah mendamba taqwa di bulan Ramadan ini.

Mengisi dan menyempurnakan Ramadan bukan cakap kosong atau angan-angan. Tapi diinterpretasikan dengan amal.

Mencari kebaikan bukan menanti perkara besar. Walau sekadar memanis muka sesama manusia atau saling mengucap terima kasih antara suami dan isteri, Allah menyediakan ganjarannya.

Semuanya jadi ibadat. Dari terbit matahari hingga malam menabir bumi, semuanya dihitung kira. Asalkan dengan niat- lillah!

Maka ayuh, kita berebut-rebut. Ayuh berlumba-lumba.

Salam kembara Ramadan.
Siruu 'ala barakatillah.

Tiada ulasan: