06 Oktober, 2010

Apa Nak Hairan

APA NAK HAIRAN
Oleh Suzana binti Mohamed Ali
suzana.mohamedali@yahoo.com


Masyhur!
Ada yang kata,
Nabi bangga umatnya ramai.
Sengih-sengih, habis ditanya keliling
“Anak berapa dah?”
“Bila lagi nak tambah?”
Apa nak hairan?

Dek kerana itulah,
Maka sibuk yang tak bernikah
meramaikan umat Nabi
mengikut sunnah.
Apa nak hairan?
Nak ramaikan kuota.

Bersepah umat,
Nabi banggakah?
Yang ramai itu
umat lahir tanpa ayah.
Tanpa nikah.
Tak ada wali yang sah.

“Nabi Isa begitu.”
Tak ada ayah.
Kamu itu suci macam Mariamkah?
Mariam berzinakah?
Memang hairan sungguh!

Anak itu anugerah, kata dia.
Ada anak, dilempang
Ada anak, kena terajang
Ada anak, asyik dijerkah.
Nabi banggakah?
Apa nak hairan?

Kera dapat bunga
Apa nak hairan?
Dapat anugerah pun macam tak kisah.

Nabi banggakah,
umat ramai, tapi tak ingat dia pun?
Ramai-ramai itu terdidikkah?
Yang berzina itu umat Nabikan?
Yang berbunuh-bunuh itu umat jugakan?
Yang makan ganja itupun umat Nabikan?
Yang rasuah.
Yang makan harta rakyat.
Yang suka berjudi.
Semua itu umat Muhammadkan?

Apa nak hairan?!

Betullah Nabi kata,
Ramai-ramai itu buih sahaja.
Ada yang tiada.
Apa nak hairan?

____________________________________

Semoga Allah kurniakan kita zuriat yang menyejukkan mata dan hati.

Paling utama, anak soleh dan solehah yang didambakan bukan terhasil dari doa semata-mata. Ia adalah usaha sang ibubapa. Anak-anak adalah biasan peribadi ibu ayahnya.

Didiklah diri menjadi ibu ayah yang soleh dan solehah. Sambil mendidik anak mengikut acuan Allah. Semoga beroleh sakinah.



Salam 27 Syawwal 1431H.

Tiada ulasan: