30 Mac, 2012

Empat Tahun Menanti Dia


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, kami menulis.



Empat tahun.

Itulah lamanya kami menanti.


Hari-hari berlalu dalam kehidupan kami suami isteri tanpa gelak tangis zuriat sendiri. Kerap ditanya tentang zuriat, buat hati kami sebal.

Soal zuriat sama macam soal jodoh, rezeki, ajal dan hidup. Semua dalam rahsia Allah. Mana ada yang tak mahukan zuriat dari pernikahan yang halal?

Kami saling memujuk hati, setiap kali ada yang ringan mulut dan baik hati berteka-teki, ‘bila lagi ni?’.

Jika mendapatkan zuriat itu semudah menyusun lego, tentu sedozen lego dah kami dapatkan. Tetapi rezeki ada zuriat sendiri bukan macam susun lego.

Ada sebab Allah uji – tangguhkan kami dari dikurniakan zuriat atau tiada zuriat langsung.

Tidakkah sudah Allah tegaskan perkara ini dalam firman-Nya, “tidaklah Aku menjadikan sesuatu itu sia-sia.”

Namun, dalam mengharap, kita tak boleh duduk pasrah. Langit tak menurunkan hujan emas.

Kami bersyukur kerana Allah gerakkan hati untuk mendapatkan pemeriksaan kesuburan di Klinik O&G HUKM. Hasil pemeriksaan tersebut, kami disahkan normal, tetapi perlu berusaha menjalani pemakanan sihat. Kami perlu berdiet bagi membantu usaha untuk mendapatkan zuriat. Alhamdulillah, satu masalah telah selesai.


Sambil mengikut saranan doctor, kami berusaha lagi mengintai rawatan alternatif lain. Manalah tahu, dalam berpuluh pilihan itu ada satu yang serasi. Apa yang penting, usaha dan jangan stress.

Alhamdulillah, Ramadan 1432H, kami dihadiahkan Allah khabar indah, bakal menimang cahaya mata sendiri, dengan usia si dia sudah masuk 2 bulan dalam rahim. Subhanallah!

Berbaloi rasanya kami bersabar sambil mencuba. Rasanya mahu saja kami hebahkan pada dunia, kami sudah bakal naik pangkat – menjadi ayah dan ibu!

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar!



SETELAH 39 MINGGU DI ALAM RAHIM

22 Mac 2012 sudah Allah tulis tarikhnya untuk anak ini dilahirkan ke dunia. Awal 4 hari dari tarikh jangkaan bersalin dan selepas usia pernikahan kami cukup 4 tahun.

Anak ini adalah sebaik-baik anugerah pada kami.

Tatkala azan maghrib berkumandang di Bandaraya Ipoh pada jam 7:35 malam, lahirlah si dia yang amat kami nanti.


Semalam, genap usianya 7 hari. Fasammainahu (maka kami namakan dia kami) : 'Izz Amsyar.

‘Izz Amsyar bin Nabil bin Ahmad bin Jaya.


'Izz diambil sempena nama Sultan Ulama', 'Izz bin Abdul Salam. Biasanya, orang kita menyebut ‘Izzah atau ‘Izzat. Seerti.

Amsyar maksudnya yang cergas bersempena nama Syeikh Masyari Rasheed yang masyhur lunak suara dan bacaan ayat-ayat Allahnya itu.

Besarlah harapan kami, anak ini nanti, hidup dan matinya soleh untuk dirinya dan bermanfaat untuk ummah.

Allahumma ameen.

20 Mac, 2012

Tebu dan Rebung

TEBU DI BIBIR, REBUNG BERDURI DI HATI?







Puan Ainon Mohd. menulis:


Kita selalu diberi peringatan supaya menaruh curiga terhadap orang yang memuji kita atas alasan puji-pujian dapat menjerumuskan kita ke dalam keburukan, sebagai contoh puji-pujian menjadikan kita riak, ujub, sombong, tidak sedar diri dan tinggi diri.

Namun, banyak hadith menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memberikan pujian dengan mudah sekali kepada sesiapa sahaja yang kebetulan melakukan perkara-perkara yang baik. Mereka yang dipuji oleh Nabi Muhammad itu tidak pula menjadi perasan, riak, ujub, sombong, tidak sedar diri, dan tinggi diri.

Ini bermakna, ada teknik memuji yang betul, dan ada teknik memuji yang salah.

Teknik Nabi memuji itu tentu betul, sebab sebagai orang yang maksum beliau tidak mungkin melakukan perkara yang salah!

....

Satu pernyataan yang benar.

Acapkali kita bertemu dengan mereka yang ringan mulut memuji kita itu ini. Hati pun kembang setaman. Esok lusa dipuja-pujinya lagi kita. Dan hati kita pun setaman lagi kembangnya.

Hingga satu masa, kita karam di laut rasa. Di balik indahnya puji sana-sini, kita terapung tak tahu membawa diri.

Rupa-rupanya, puji-pujian si pemilik bibir manis tadi sekadar memanis kata!

Itulah bezanya memuji cara Rasulullah dengan memuji cara kita - menanam tebu di pinggir bibir, rebung berduri di hati.

Nabi Muhammad kita gemar memuji.

Kata Puan Ainon Mohd. lagi;

Prinsip-prinsip yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad supaya dijadikan pegangan apabila memberi pujian adalah:

1. Berikan pujian kepada hasil kerja yang dilakukan, bukan kepada diri orangnya. Pujian yang Nabi Muhammad berikan adalah ditujukan kepada daya usaha dan kerja yang baik. Beliau tidak memuji diri orang yang melakukan kerja baik itu.

2. Berikan pujian serta-merta, yakni apabila sahaja kita ternampak orang itu melakukan perbuatan yang baik, segera berikan pujian.

3. Bagi kerja-kerja baik yang dilakukan secara terbuka di hadapan orang-orang lain, pujian kita diucapkan secara terbuka.

4. Jika orang itu melakukan kerja yang baik, tetapi pada waktu yang sama dia juga melakukan kesilapan, diamkan kesilapannya, dan berikan pujian sahaja.

5. Apabila memuji, pujian itu diberikan dengan cara spesifik. Sebut dengan jelas dan tepat apa yang dipuji.

6. Terangkan impak baik yang berlaku hasil kerja baik yang dipuji itu.

.....

Justeru, memujilah. Puji anak kita. Puji suami/isteri kita. Puji mak ayah kita. Puji pekerja kita. Puji kawan kita. Puji majikan kita. Cubalah memuji.

Tapi ikutlah skema yang Nabi SAW kita guna. Kita takkan mati dek manisnya pujian itu.

Usah lokek memuji orang lain hanya kerana kita tak pandai menggendali caranya. Dan usah pula terlalu memuji sampai tak menjejak realiti.

Sungguh benar apa yang Baginda Nabi Muhammad SAW tinggalkan.

Nampak mudah, impaknya tak terbanding!


Sollu 'ala al-Nabiy!



Sumber:

15 Mac, 2012

4 Tahun Mengukir Cinta


Petang itu, hujan baru berhenti ...
><><><><><><><><><>


“Abang, Honey masuk kereta dulu ye. Nak tengok kek”

Saya meninggalkan sebaris pesan melalui SMS tatkala meninggalkan studio Tilawah Interaktif, Jumaat itu.

Lagi 10 minit sebelum tamat waktu siaran langsungnya, masa itu. Saya mengatur langkah langsung ke kereta kami di bawah teduhan pohon-pohon besar di kawasan belakang Angkasapuri.

Alah! Kek dah mula mencair. Sedihnya …

Cepat-cepat saya kuatkan penghawa dingin kereta. Tingkap pun saya buka luas sedikit, biar bertukar angin.

Kejap-kejap kek tu saya intai. Tulisan You Complete Me di dada kek itu sudah hilang rupa. Apa nak buat lagi, gumam dalam hati.

Tidak lama kemudian, saya nampak kelibat suami menuju arah kereta kami melalui cermin sisi. Dah tamat siaran rupanya. Tak sangka pula cepat.

Selepas memberi salam pada saya yang menunggu, suami terus ke pintu belakang. Rutinnya, dia akan salin kasut dan gantung jaket atau kot yang dipakainya dulu sebelum mula memandu. Lagi-lagi nak bermusafir ke kampung macam petang itu.

Saya menunggu sahaja suami sudahkan rutinnya.

Sebaik dia mengambil tempat di kerusi memandunya, saya disuakan sesuatu dalam kotak. Tidak berbalut apapun. Kotaknya sendiri menterjemahkan isinya.

Saya terpana.


“Apa ni?” Dahi saya sudah berkerut.

“Hadiah ulangtahun kita, untuk Honey.” Sambil senyum, dia membalas renungan mata saya yang masih terpinga-pinga memandangnya.

“Tapi kita janji tak nak bagi hadiah, kan?”

“Takpelah. Honey susah payah mengandungkan anak abang, itu hadiah jugalah pada Abang. Ini (hadiah dalam kotak) hadiah untuk Honey pulak. Bukalah.”

Dengan lafaz basmalah dan doa safar, kereta kami bergerak meninggalkan Angkasapuri. Dan saya pun membuka kotak di tangan yang sudah jelas apa isinya. Ada sekeping kad kecil di dalamnya. Tulisan tangan dia yang memang kemas saya baca, dan …



“Boleh tak nak nangis?” tanya saya sebaik kad itu saya baca.

Dia tergelak kecil. Jalanraya sesak memaku pandangannya pada pemanduan.

“Nangislah …”

“Terima kasih, abang. Honey tak sangka dapat hadiah hari ni. Cukuplah dapat ruang dalam hati abang sejak kita nikah 4 tahun ni,” sebak saya tahan.

Jemari kanan saya dicapainya.

“Tak ada apapun. Ada rezeki lebih, abang ingat nak bagi hadiah pada Honey. Dahlah, buat apa nangis. Kita kan nak balik kampung?” tangannya kembali menggenggam stereng.


MENANGIS KERANA …

Itulah kali pertama saya tak terhidu langsung kejutan yang dibuatnya. Entah macam mana saya tak pernah perasan yang hadiah itu memang sentiasa ada dengan kami – dalam kereta sejak dia membelinya.

Sikitpun saya tak perasan.

Agaknya kerana hari-hari terakhir minggu sebelum saya bercuti panjang itu kami masing-masing dilambakkan dengan tugas yang tak kenal jam 5 petang, saya jadi tak peka dengan dia.

Ada rasa serba salah melintas nubari saya. Hilang perhatian pada suami lantaran kepenatan pulang dari pejabat menjelang usai maghrib seminggu itu. Sedangkan dia lebih utama, kerana isteri ini keluar bekerja dengan izin suaminya jua.

Seminggu penuh itu, dialah yang menemankan saya menyudahkan kerja dan tugasan untuk ditinggalkan 90 hari nanti, hingga menjengah azan maghrib atau isyak. Sedangkan wajahnya sendiri sudah membayangkan keletihan fizikal dan mentalnya yang turut sama bekerja seperti saya.

Tanpa rungutan.

Bahkan yang buat saya lebih terharu, sebaik tiba di rumah, dia menawarkan untuk mengurut bahu atau menyediakan minuman untuk saya yang sudah melepek di ruang tamu, kewalahan.

Itu yang mahu saya tangiskan tatkala menerima hadiah ulangtahun ke-empat pernikahan kami, 9 Mac lalu. Kerana dia sudah banyak memberi.

Inilah hadiahnya.


BAIT INI BUATMU, SANG SUAMIKU

Abang, terima kasih kerana menjadi suami yang tidak lokek memberi – perhatian, kasih sayang, tanggungjawab dsb - sepanjang kita bersama. Terima kasih kerana sabar dan berhemah mendidik saya, sejak ikrar Aku Terima Nikahnya, Suzana binti Mohamed Ali dipersaksikan.

Pada saya, mengandungkan zuriat kita ini bukan beban tak tergalas, bahkan hari-hari sejak si dia ada bersama kita adalah antara waktu terindah dalam cinta kita.

Mohon maaf kerana mahu meminta Abang memberi lagi untuk saya. Berikan saya doa restumu moga mudahlah saya melahirkan zuriat kita ini nanti. Pada alpa dan khilaf isterimu ini, saya mohon kemaafan dan keredaanmu.

Menjadi suri hidupmu selamanya adalah anugerah tak terbanding.

Tak pernah lewat untuk saya ucap dan doakan,

Selamat Ulangtahun Ke-4 Pernikahan kita.
Moga kembara ini sampai ke syurga.

03 Mac, 2012

Dia yang Romantis

“Suami saya tak romantik macam ustaz”.

Walaupun pernah dengar ayat yang sama beberapa kali, tapi terkedu juga saya seketika. Nafas saya hela dalam-dalam.

Suami saya dilihat romantik oleh mereka. Pada apa ye, yang romantisnya tu?

Dia tak pernah bukakan pintu kereta untuk saya. Dia tak pernah bagi saya sejambak bunga – kecuali sekali sebab saya minta dan paksa dia beli juga masa tu :). Bila keluar makan, tak pula pernah dia tarikkan kerusi untuk saya duduk. Dia juga tak pula pandai buat kejutan saja-saja sebab semuanya dapat saya hidu.

Mandala minda saya menjelajah hari-hari lalu mencari di mana romantisnya sang suami.

“Saya rasa suami awak pun romantik juga. Cuma cara kita melihat tindakan suami sahaja yang menyifatkan suami kita romantik atau tidak”.

Ya. Barangkali sang suami itu orangnya tak pernah lekang doakan kita dalam setiap hela nafasnya. Itu romantik. Atau sang suami itu seorang yang tak pernah culas menyediakan segala keperluan kita dan keluarga, itu juga romantik.

Lihatlah suami kita sendiri dengan mata dan hati yang syukur. Dia tak pernah berkasar bahasa dengan kita, itu sudah romantik. Dia bawa kita balik rumah mak ayah kita, jenguk keluarga kita, itu romantik.

Carilah romantiknya suami kita pada perkara biasa-biasa yang dilakukannya. Suami akan sangat menghargainya. Pejamkan mata pada yang tiada pada suami kita, kerana yang sudah ada itulah dirinya. Dia tak perlu menjadi orang lain hanya untuk membahagiakan kita, sedang hatinya tak suka.

Ya. Di mata dan di hati saya, suami saya sangat romantis.

Dia tak jemu bertanya, “dah solat ke belum?” setiap kali masuk kereta mahu pulang dari kerja.

Dia tak lokek bercerita tentang hari-harinya dan perasaannya, penatnya, serta kesukaannya pada saya.

Dia sentiasa lembut mengejutkan saya dari lena jika saya tidur sebelum solat atau lewat bangun pagi.

Dia tak lupa menghantar SMS bila berjauhan walaupun sepatah ayat sahaja – “maaf, abang drive ni”.

Bila sakit, dia carikan ubat. Bila barang dapur tak ada, dia ajak beli.

Dia rajin menghubungi keluarga saya, sedangkan saya ni hanya berkirim salam sahaja.

Ya. Dia tak perlu beri saya bunga untuk jadi romantik. Sebab dia dah doakan saya dan rumahtangga kami bahagia, dunia dan akhirat. Doa yang sangat mewah dari sejambak bunga!

Berterima kasihlah pada suami masing-masing. Renung matanya, dan sebutlah, “saya untung ada suami macam awak di sisi”.

Percayalah, lepas itu kita tak perlu menjeling-jeling lelaki lain yang kononnya lebih romantis dari suami di sisi …



“Abang,
Honey untung ada suami
macam abang – suami realiti”.