03 Ogos, 2012

Setiap Hela Nafas ...





Setiap hela nafas kita adalah nikmat dan setiap langkah kita adalah matlamat.

Oleh itu berhati-hatilah dalam menilai segala nikmat yang dianugerahkan dan memberi fokus dalam membawa diri ke negeri yang abadi.


Setiap hari semua orang berusa
ha untuk mencari keuntungan, publisiti dengan nilai pasaran yang tinggi serta mendapat perhatian agar dipuji dan dipuja.
Harus diingat bahawa pujian manusia hanyalah sia-sia dan berakhir dengan kebinasaan kerana ditakuti unsur RIAK dan TAKABBUR..

Berawaslah dengan semua kerja dunia..

Allahumma amiin..

___________
https://www.facebook.com/nabilfareast



.

02 Ogos, 2012

Nota Ramadan 1433H - iv -


Nota 13 Ramadan 1433H | 2 Ogos 2012

Semoga benarlah ada syurga di telapak kakiku, ya Allah!


Semua orang tahu ada 'syurga di telapak kaki ibu'.

Namun tahukah kita tak semua ibu masuk syurga?

Bukan asal jadi ibu sahaja dapat masuk syurga. Jika begitu kasihanlah mereka yang Allah takdirkan tidak merasa jadi ibu. Tak merasalah syurga.

Maha Suci Allah yang Maha Adil lagi Super Genius!

Jadi ibu atau tidak bukan pra-syarat masuk syurga. Tapi kelayakan minimumnya ialah iman dan amal.

Maka, semua orang layak masuk syurga.

Akan tetapi, rugilah bagi ibu yang dijanjikan syurga di telapak kakinya tetapi dia sengaja melangkah ke neraka.






.
(",)
.

Nota Ramadan 1433H - iii -


Nota 12 Ramadan 1433H | 1 Ogos 2012


Seperti di masa bayinya saya dan adik-adik diusung Mak ke masjid untuk berterawih, itulah juga yang saya amalkan kepada Dr. Amsyar kami.

Masjid Besilah yang jadi pilihan kami Ramadan ini. Luas dan lapang. Mudahlah saya nak letak Amsyar di sisi, ketika solat.

Sayangnya, sebaik habis sahaja 8 rakaat tarawih, saf jadi huru-hara. Tak tahu mana hujung, mana pangkal. Satu saf ada 3, 4 kelompok terputus-putus.

Itulah kesulitan yang saya dan beberapa ibu lain alami. Hampir setiap malam!

Allahu, tuan-tuan, bapa-bapa, suami-suami, mohon pastikan isteri, ibu, kakak dan adik kita tahu bagaimana menempati ruang dalam saf solat.

Sayanglah, saf terputus..

Saya melihat situasi ini berlaku apabila muslimatlah paling jarang bersolat jemaah. Boleh lihat di surau R&R, pusat beli-belah, stesen minyak - muslimat memilih solat sendiri-sendiri!

Puan-puan, mulai malam ini, rapatkan saf dahulu. Jika sudah angkat takbir tetapi saf renggang, rapatkan.

Yang membatalkan solat bukanlah bergerak merapatkan saf. Tetapi pergerakan 3 kali berturut-turut. Bagi merapatkan saf, sekalipun 10 langkah jaraknya, jika tidak berturut-turut melangkah, tidak batal. Usah risau!



Sudah malam ke-13 malam ini. Ada ruang lagi untuk betulkan solat jemaah kita!

Nota Ramadan 1433H - ii -

Nota 10 Ramadan 1433H | 30 Julai 2012




Setahun lepas, di 10 Ramadan juga. Hari Jumaat masa tu. Lepas sahur, saya jadi lesu sangat. Merangkak masa nak gosok baju pejabat.

Saya yakin saya keracunan makanan. Berbuka semalamnya adalah kali pertama kami membeli dari bazar.

Sudahnya saya kalah. Pada tuan suami saya adukan rasa. "Kita pergi klinik ya. Laratkah nak (teruskan) puasa?" muka pucat saya dipandangnya. Saya angguk perlahan. Menggigil rasanya tubuh.

Di Klinik:
"Ustaz, subhanallah! Ni dah ada baby dalam ni. Mari tengok ni. Ya Allah, dah 8 minggu ni," puan doktor memanggil suami saya, sambil tangan kiri beliau menunjukkan imej di skrin hitam putih. Tangan kanannya masih memegang alat ultra bunyi di perut saya.

Tuan suami saya yang tadinya duduk di depan meja doktor, terloncat menghampiri kami di balik langsir.

"Doktor, janganlah main-mainkan saya.." saya bersuara menahan rasa. Betulkah?

Doktor hanya menyambutnya dengan ketawa kecil. Imej di skrin ditunjukkan kepada kami. Saya lihat tuan suami bagai longlai juga.

Subhanallah!

Alhamdulillah!

Allahu Akbar!

Syukurlah yang terbaik mewakili rasa yang entah apa masa itu. Saya menangis.

Kami dibiarkan menanti 3 tahun 5 bulan sebelum khabar indah ini menyapa telinga kami. Allahu .. Engkau Tuhanku. Aku hamba-Mu.

Itulah detiknya, 10 Ramadan yang lepas.

Hari ini, Dr. 'Izz Amsyar kami sudah berusia 130 hari.

Alhamdulillah.

Thumma alhamdulillah.

Thumma alhamdulillah.

28 Julai, 2012

Nota Ramadan 1433H - i

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, kita masih dipinjamkan usia melewati hari ke-8 Ramadan ini. Masih ada kesempatan untuk menerajui kembara diri mencari taqwa.

Salam Ramadan al-Mubarak!


Sumber:; Google



(1)
Puasa itu rukun Islam. Wajib atas setiap mukallaf.

Susukan anak dengan susu ibu itu sunat. Jika mahu dan mampu, buat. Jika sebalikbya, sebaliknya juga.

Jangan kerana mahu susukan anak, kita awal-awal lagi niat qadha puasa.

Usaha dengan sehabis ikhtiar supaya dapat berpuasa sambil susukan anak.

Rukhsah keharusan berbuka puasa bagi ibu yang menyusukan anak itu hanya apabila si ibu sudah ikhtiar seoptimum mungkin untuk berpuasa, tapi menjelang tengahari melepek jua. Baru boleh buka puasa.





(2)
Apabila kita dizalimi, kita dianjurkan berdoa. Doa orang yang dizalimi makbul.

Nabi SAW pernah dizalimi. Di Taif, para malaikat sudah sedia melaksanakan doa Nabi, jika Nabi menadah tangan memohon dilingkupkan umat situ.

Nabi sangat bijak apabila peluang mustajabnya doa orang yang dizalimi itu tidak disia-siakan.

Nabi doakan supaya umat Taif akan terbuka hatinya juga untuk terima dakwah Nabi. Nanti-nanti pun tak apa.

Nabi tak doakan pun supaya penduduk Taif jahanam. Padahal Nabi dizalimi. Penduduk Taif zalim.

Kita mahu ikut macam Nabi buat. Apabila dizalimi, doakan kebaikan untuk penzalim. Allah pasti akan makbulkan.

Jadi, apabila kita sedang solat tarawih dan ada orang main mercun dentum-dentam, doakanlah supaya solat kita diterima dan kita makin khusyuk.

Pasti makbul!





(3)
Rugilah kita apabila ada:

mata, tidak melihat yang baik-baik; 

telinga, tidak mendengar yang baik-baik;

mulut & lidah, tidak berzikir atau bercakap yang baik-baik;

akal, tidak berfikir atau ingat yang baik-baik;

tangan, tidak sentuh, pegang, taip, tulis, tekan, cekuh yang baik-baik;

perut, tidak diisi dengan makan minum yang baik-baik;

kaki, tidak melangkah ke tempat yang baik-baik;-

Rugilah!

Kerana Ramadhan penuh dengan perkara baik-baik sahaja.







.
(",)
.

20 Julai, 2012

Nota Menjelang Ramadan 2


Ramadan Kareem dari kami:
Haji Nabil bin Ahmad
Suzana binti Haji Mohamed Ali
'Izz Amsyar bin Nabil
-30 Syaaban 1433H-



Nota Menjelang Ramadan 1433H |


(1)
Masa mak ayah datang ke rumah kami minggu lepas, kami bercerita itu ini tentang puasa lepas-lepas.

Cerita Mak, "masa Arwah Tok kome ada dulu, sebelum Nisfu Syaaban tu dia dengan Arwah Opah akan 'round' rumah adik-beradiknya. Bayangkanlah 'diheretnya' mak adik-beradik pergi rumah saudara-mara, nak minta maaf (sempena) nak puasa. Orang gini hari, tunggu raya baru minta maaf adik-beradik."

Tuan-tuan, puan-puan,
Saya dengan rendah hati, menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari kalian. Terutamanya dari mak Hjh. Rosiah dan ayah Hj. Mohamed Ali, mertua saya yang jauh di mata, Ustazah Che Bi dan Ustaz Ahmad, adik-beradik saya dan seisi keluarga kalian, serta ipar-duai saya seisi keluarga.

Kaum keluarga dan sahabat handai serta kenalan saya, kemaafan jugalah saya pohonkan dengan harapan, Ramadan ini akan kita isi dengan segala yang terbaik.

Semoga dengan kemaafan dari kalian, Ramadan ini tidak kosong lagi kerana ada beban salah sesama manusia.



(2)
Bergembiralah!

Ramadan sudah selangkah dari kita. Doalah supaya kita sampai menjejak Ramadan lagi.

Apabila kesempatan itu Allah beri, berbaik sangkalah yang kita akan manfaatkannya seakan-akan ini Ramadan terakhir kita.

Buanglah jauh-jauh rasa ragu itu. Apabila sudah ada azam, susunlah strategi untuk mengisi Ramadan ini - waktunya, agendanya. Kemudian, tawakallah.

Insya Allah di hujung kembara Ramadan ini, jika tidak benar-benar merangkul taqwapun, jalan ke situ sudah kita usahakan.

Kalau memilih memulakan kembara mencari taqwa di Ramadan ini, usah akhirkannya juga di Ramadan ini.

Sekali ia bermula, pangkalnya menjauh, hujungnya belum tiba - selagi jasad masih bernyawa!
 




(3)
Sekejap lagi kita akan dibebaskan. Bebas dari godaan Syaitan.

Kita mengadu, terbabas ke gaung dosa dek syaitan durjana. Sekejap lagi makhluk api ini akan dirantai. Merdekakah dirimu?

Jika masih bertapi-tapi berbuat taat, salah syaitan juakah sebulan ini? Atau diri sendiri sebenarnya lebih syaitan dari syaitan?

Allahu, aku mohon ampun! Bimbang, akulah syaitan dalam diriku. Yang kukutuk syaitan, sedangkan yang terkutuk itu adalah aku kerana menuruti nafsuku.

Ampun ya Allah!

Dan mohon perkenan-Mu, sampaikan aku lagi ke Ramadan-Mu senja ini.

___

Salam Ramadan dari kami. Ramadan kareem.

Bergembiralah!













.

13 Julai, 2012

Nota Menjelang Ramadan 1

Doa kami untuk Mak Ayah dan Mama Baba.
Allahumma ameen.
Sumber Foto: FB


Salam Jumaat yang diberkati!

Lagi 7 hari menjelang Ramadan. Sudah sedikit sahaja masa yang ada untuk membuat persiapan.


Lazimnya, kalau nak kenduri kahwin, persiapan kita buat awal berbulan-bulan sebelum tarikhnya. Kiranya, kalau tinggal lagi dua, tiga minggu sebelum majlis besar itu, kita dah selesaikan 70% persiapannya.

Bagi perempuan, tinggal nak ke spa- mandi susu ke sauna ke buat rawatan muka ke. Semua usaha untuk tampil menawan, segar dan berseri di hari bahagia yang cuma sehari itu kita buat sungguh-sungguh.

Sekarang, kita cuma ada 7 hari sahaja lagi nak sampai ke Ramadan 1433H.

Tidakkah kita bersiap-siap lebih dari sang pengantin menanti hari sandingnya?

Atau masihkah kita buat relaks macam Ramadan itu tiada apa-apa erti hadirnya?

Tik! Tok! Tik! Tok!

Lagi 7 hari ni. Ada masa lagi!

Dan masa terus berdetik ...


.