Salam hujung Ramadan 1430 H.
Alhamdulillah, sudah 28 hari kita berpuasa. Hari ini adalah hari terakhir Ramadan tahun ini, insya Allah.
Kami sedang dalam perjalanan pulang ke Perlis, dari Ipoh.
Sekali lagi alhamdulillah, malam tadi kami selesai mengadakan majlis berbuka puasa untuk jemaah Suaru Hawariah, Batu 5 Tambun. Sebagai memenuhi hajat kami tiga beradik yang telah dilapangkan nikmat oleh Allah, berkongsi rezeki dengan masyarakat yang banyak membantu membentuk diri kami.
Seronok dapat makan besar macam ni.
Uda datang sekeluarga. Maksu dan Pakcu datang suami isteri. Tok pun kami ambil dari kampung pagi semalam. Untungnya, menu disediakan oleh Makcho dan Cho anak-beranak.
Menu yang simple tapi sedap. Alhamdulillah!
Lebih untung, Mak dan Ayah dapat tumpang berbangga kerana solat Isyak dan tarawih di surau kami tadi diimamkan oleh anak-anak Mak dan Ayah, Azrol Zaimee dan Muhammad Hafiz.
Usai 8 rakaat bertarawih dan 3 rakaat witir, menantu mereka pula a.k.a kanda Nabil, diatur untuk menyampaikan tazkirah.
Malam yang sempurna.
Tanpa dirancang. Semuanya berlaku selepas solat maghrib tadi.
Subhanallah ...
Usai bertarawih tadi, saya melihat seorang demi seorang jemaah muslimat yang hadir ke surau yang menjadi saksi pernikahan kami setahun setengah yang lepas.
Semua wajah-wajah tua yang sudah saya kenal 10, 15 dan 20 tahun yang lepas, sejak saya mula pandai bertarawih ke surau dengan kawan-kawan di zaman kecil saya.
Jemaah malam tadi tak ramai. Dua saf sahaja yang tinggal.
Memerhatikan wajah makcik-makcik dan opah-opah itu, membawa minda saya merentasi terowong masa. Saya membesar dengan doa dan harapan mereka.
Makcik-makcik inilah yang rajin usap kepala saya dan kawan-kawan yang rajin bertarawih waktu kecil-kecil dulu.
"Bagusnya budak-budak ni ..."
Masakan tidak kami dipuji begitu. Walaupun tarawih 20 rakaat, tetapi kami hanya buat yang larat sahaja. Yang bagusnya, kami tunggu juga sampai semua orang habis witir.
Niat kami, nak salam makcik-makcik tu. Seronok dapat salam ramai-ramai. Lagipun boleh makan moreh :) Kalau balik awal, malu nak jamah dulu.
Itu kami. 20 tahun sudah.
Hari ini, malam ini, saya datang dengan suami.
Tiada lagi kelibat teman-teman sepermainan saya.
Cuma yang ada, makcik-makcik itu. Dan Mak saya.
Wajah-wajah yang dimamah usia itu. Tapi doa dari kalam yang terbit dari mulut mereka masih saya rasakan.
Barangkali itu yang berkat. Berkat doa baik-baik dari makcik-makcik yang juga baik-baik ini.
Alhamdulillah.
Tapi malam tadi ada 1 soalan yang buat saya dan Mak terpinga-pinga.
"Su, bila due?"
Kami dua beranak ketawa senang hati.
Doa lah tu, kami fikir.
Iyalah, kata-kata yang baik dari makcik-makcik yang baik itu jangan ambil hati. Kerana itu doa. Doa mereka. Sama macam Mak Ayah doakan anak-anaknya.
Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akbar!
Modal tazkirah sang suami malam ini banyak dikutip dari hasil pesan ilmu AF Ustaz Hasrizal Abdul Jamil a.k.a Abu Saif di web beliau. Terima kasih dan terima kasih untuk beliau. Jazakallaahu khaira al-Jaza'.
Itu cerita malam tadi.
Awal pagi ini, jam 2.15 pagi lebih kurang, kami bertolak ke Perlis.
Kini sudah jam 4.25 pagi dan kami baru sahaja melepasi Sungai Petani.
Mudah-mudahan kami selamat sampai menjelang subuh nanti.
Nampak gayanya, sahur kami dalam kereta sahaja lah. Semua Hentian lebuhraya padat. Alhamdulillah sudah berbekal dari awal. Terima kasih Mak, yang masih setia menyiapkan bekal untuk anak-anaknya, walaupun kami dah besar panjang :)
Melawan mengantuk dan sepi, si suami di sebelah mendodoikan lagu Kasihmu Amanahku, yang dinyanyikan Inteam. Live dengan suara serak ... :)
Lebih baik saya pen-off sekarang, sebelum suara serak sang suami tercinta hilang :)
Salam sahur terakhir Ramadan 1430 H.
Taqabbalallahu minna wa minkum ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan