11 September, 2012

Suzana (Sudah) Tiga Puluh Satu Tahun!



::12:03 am::
____________

Baru nak letak kepala, apabila telefon bimbit bergetar; isyarat ada mesej masuk.

"Sanah Helwa, my love..."

Eh! Dah 11 Septemberkah? Dahi berkerut.

Allahu rabbi! Tak perasan..

Ya. Usia saya dah bertambah lagi setahun.

Tiga puluh satu tahun yang lepas, mak lahirkan anak sulungnya, setelah lima tahun sabar menanti saat bergelar ibu ayah.

Sayalah itu. Bayi kecil yang lahir seberat 2.3kg, sama macam berat 'Izz Amsyar kami; disambut penuh syukur oleh Ayah dan Mak.

Tiga puluh satu tahun menjadi anakanda kepada pasangan Ayahbonda, Hj. Mohamed Ali & Hjh. Rosiah, harap saya masih lagi penyejuk mata, penawar hati mereka.

Dan dalam usia ini juga, Allah izinkan saya melaluinya sebagai ibu, setelah empat tahun menyandang amanah sebagai isteri.


Allahumma, jadikanlah aku hamba-Mu yang tahu bersyukur. Syukur atas nikmat hidup. Nikmat punyai Ayah dan Mak. Nikmat punyai suami dan anak. Nikmat menjadi Muslim yang mahu benar-benar beriman.


Dan semoga hidup dan matiku kerana dan untuk-Mu.











.


11/09/2012, Selasa


Bdr. Baru Bangi.





.

06 Ogos, 2012

17 Ramadan 1433H

Salam 17 Ramadan 1433H :: Nuzul al-Quran



(a)
Ramai yang kecewa bila melihat wira negara kecundang di peringkat terakhir. Namun adakah sama kekecewaan itu pada diri kita andai semalam terlepas tarawikh atau bacaan al-Quran?

Sering kita melihat ukuran kejayaan itu pada orang lain sedangkan mencipta kejayaan untuk diri sendiri itu lebih bermakna.


Ayuh, tanggal 17 Ramadhan, peristiwa Nuzul al-Quran diharap lebih memberi makna tersendiri untuk diterjemahkan ke dalam diri.


Ya Allah, rahmati kami dengan al-Quran
Jadikan ia pimpinan, cahaya, petunjuk dan rahmat
Ya Allah, ajarkan kami apa yang terlupa
Ajarkanlah yang tidak diketahui
Rezekikan kami membacanya
Siang dan malam
Sepanjang siang dan malam
Jadikan ia petunjuk kami
Wahai Tuhan sarwa sekelian alam.


(b)
Diberi kesempatan masa dan kemahuan membaca al-Quran adalah rezeki yang tak semua orang dapat.

Ya Allah, rezekikanlah kami untuk membaca kalam-Mu.

Salam Ramadan dan selamat membaca al-Quran.





(",)






.

Nota Ramadan 1433H - v -

Nota 14 Ramadan 1433H | 3 Ogos 2012



Nak raya ni, rata-rata akan dapat bonus, kan?

Saya bercuti tanpa gaji. Jadi bonus dapat sikit sahajalah.

Surirumah atau kalian yang kerja sendiri belum tentu dapat bonus raya, kan? Kasihan ..

Sedihkah tak dapat bonus separuh gaji tu?

Jangan risau.

Bulan ni, Allah janji semua orang boleh dapat bonus. Bonus 1000 bulan lagi! Masyuk!

Tapi kena usaha lebihlah. Tak cari, tak dapat. Allah bukan kedekut tau. Padanlah, siapa berusaha lebih sikit, dapatlah lebih habuannya.

Bulan Ramadan ni, memang Allah manjakan kita dengan bonuslah. Apa nak takut? Janji ada kebaikan yang kita buat atau mungkar yang kita tinggal. Dapatlah dah bonus tu.

Jangan susah hatilah dengan harta dunia!

_______
(",)
Salam Ramadan.











.

03 Ogos, 2012

Setiap Hela Nafas ...





Setiap hela nafas kita adalah nikmat dan setiap langkah kita adalah matlamat.

Oleh itu berhati-hatilah dalam menilai segala nikmat yang dianugerahkan dan memberi fokus dalam membawa diri ke negeri yang abadi.


Setiap hari semua orang berusa
ha untuk mencari keuntungan, publisiti dengan nilai pasaran yang tinggi serta mendapat perhatian agar dipuji dan dipuja.
Harus diingat bahawa pujian manusia hanyalah sia-sia dan berakhir dengan kebinasaan kerana ditakuti unsur RIAK dan TAKABBUR..

Berawaslah dengan semua kerja dunia..

Allahumma amiin..

___________
https://www.facebook.com/nabilfareast



.

02 Ogos, 2012

Nota Ramadan 1433H - iv -


Nota 13 Ramadan 1433H | 2 Ogos 2012

Semoga benarlah ada syurga di telapak kakiku, ya Allah!


Semua orang tahu ada 'syurga di telapak kaki ibu'.

Namun tahukah kita tak semua ibu masuk syurga?

Bukan asal jadi ibu sahaja dapat masuk syurga. Jika begitu kasihanlah mereka yang Allah takdirkan tidak merasa jadi ibu. Tak merasalah syurga.

Maha Suci Allah yang Maha Adil lagi Super Genius!

Jadi ibu atau tidak bukan pra-syarat masuk syurga. Tapi kelayakan minimumnya ialah iman dan amal.

Maka, semua orang layak masuk syurga.

Akan tetapi, rugilah bagi ibu yang dijanjikan syurga di telapak kakinya tetapi dia sengaja melangkah ke neraka.






.
(",)
.

Nota Ramadan 1433H - iii -


Nota 12 Ramadan 1433H | 1 Ogos 2012


Seperti di masa bayinya saya dan adik-adik diusung Mak ke masjid untuk berterawih, itulah juga yang saya amalkan kepada Dr. Amsyar kami.

Masjid Besilah yang jadi pilihan kami Ramadan ini. Luas dan lapang. Mudahlah saya nak letak Amsyar di sisi, ketika solat.

Sayangnya, sebaik habis sahaja 8 rakaat tarawih, saf jadi huru-hara. Tak tahu mana hujung, mana pangkal. Satu saf ada 3, 4 kelompok terputus-putus.

Itulah kesulitan yang saya dan beberapa ibu lain alami. Hampir setiap malam!

Allahu, tuan-tuan, bapa-bapa, suami-suami, mohon pastikan isteri, ibu, kakak dan adik kita tahu bagaimana menempati ruang dalam saf solat.

Sayanglah, saf terputus..

Saya melihat situasi ini berlaku apabila muslimatlah paling jarang bersolat jemaah. Boleh lihat di surau R&R, pusat beli-belah, stesen minyak - muslimat memilih solat sendiri-sendiri!

Puan-puan, mulai malam ini, rapatkan saf dahulu. Jika sudah angkat takbir tetapi saf renggang, rapatkan.

Yang membatalkan solat bukanlah bergerak merapatkan saf. Tetapi pergerakan 3 kali berturut-turut. Bagi merapatkan saf, sekalipun 10 langkah jaraknya, jika tidak berturut-turut melangkah, tidak batal. Usah risau!



Sudah malam ke-13 malam ini. Ada ruang lagi untuk betulkan solat jemaah kita!

Nota Ramadan 1433H - ii -

Nota 10 Ramadan 1433H | 30 Julai 2012




Setahun lepas, di 10 Ramadan juga. Hari Jumaat masa tu. Lepas sahur, saya jadi lesu sangat. Merangkak masa nak gosok baju pejabat.

Saya yakin saya keracunan makanan. Berbuka semalamnya adalah kali pertama kami membeli dari bazar.

Sudahnya saya kalah. Pada tuan suami saya adukan rasa. "Kita pergi klinik ya. Laratkah nak (teruskan) puasa?" muka pucat saya dipandangnya. Saya angguk perlahan. Menggigil rasanya tubuh.

Di Klinik:
"Ustaz, subhanallah! Ni dah ada baby dalam ni. Mari tengok ni. Ya Allah, dah 8 minggu ni," puan doktor memanggil suami saya, sambil tangan kiri beliau menunjukkan imej di skrin hitam putih. Tangan kanannya masih memegang alat ultra bunyi di perut saya.

Tuan suami saya yang tadinya duduk di depan meja doktor, terloncat menghampiri kami di balik langsir.

"Doktor, janganlah main-mainkan saya.." saya bersuara menahan rasa. Betulkah?

Doktor hanya menyambutnya dengan ketawa kecil. Imej di skrin ditunjukkan kepada kami. Saya lihat tuan suami bagai longlai juga.

Subhanallah!

Alhamdulillah!

Allahu Akbar!

Syukurlah yang terbaik mewakili rasa yang entah apa masa itu. Saya menangis.

Kami dibiarkan menanti 3 tahun 5 bulan sebelum khabar indah ini menyapa telinga kami. Allahu .. Engkau Tuhanku. Aku hamba-Mu.

Itulah detiknya, 10 Ramadan yang lepas.

Hari ini, Dr. 'Izz Amsyar kami sudah berusia 130 hari.

Alhamdulillah.

Thumma alhamdulillah.

Thumma alhamdulillah.

28 Julai, 2012

Nota Ramadan 1433H - i

Assalamualaikum.


Alhamdulillah, kita masih dipinjamkan usia melewati hari ke-8 Ramadan ini. Masih ada kesempatan untuk menerajui kembara diri mencari taqwa.

Salam Ramadan al-Mubarak!


Sumber:; Google



(1)
Puasa itu rukun Islam. Wajib atas setiap mukallaf.

Susukan anak dengan susu ibu itu sunat. Jika mahu dan mampu, buat. Jika sebalikbya, sebaliknya juga.

Jangan kerana mahu susukan anak, kita awal-awal lagi niat qadha puasa.

Usaha dengan sehabis ikhtiar supaya dapat berpuasa sambil susukan anak.

Rukhsah keharusan berbuka puasa bagi ibu yang menyusukan anak itu hanya apabila si ibu sudah ikhtiar seoptimum mungkin untuk berpuasa, tapi menjelang tengahari melepek jua. Baru boleh buka puasa.





(2)
Apabila kita dizalimi, kita dianjurkan berdoa. Doa orang yang dizalimi makbul.

Nabi SAW pernah dizalimi. Di Taif, para malaikat sudah sedia melaksanakan doa Nabi, jika Nabi menadah tangan memohon dilingkupkan umat situ.

Nabi sangat bijak apabila peluang mustajabnya doa orang yang dizalimi itu tidak disia-siakan.

Nabi doakan supaya umat Taif akan terbuka hatinya juga untuk terima dakwah Nabi. Nanti-nanti pun tak apa.

Nabi tak doakan pun supaya penduduk Taif jahanam. Padahal Nabi dizalimi. Penduduk Taif zalim.

Kita mahu ikut macam Nabi buat. Apabila dizalimi, doakan kebaikan untuk penzalim. Allah pasti akan makbulkan.

Jadi, apabila kita sedang solat tarawih dan ada orang main mercun dentum-dentam, doakanlah supaya solat kita diterima dan kita makin khusyuk.

Pasti makbul!





(3)
Rugilah kita apabila ada:

mata, tidak melihat yang baik-baik; 

telinga, tidak mendengar yang baik-baik;

mulut & lidah, tidak berzikir atau bercakap yang baik-baik;

akal, tidak berfikir atau ingat yang baik-baik;

tangan, tidak sentuh, pegang, taip, tulis, tekan, cekuh yang baik-baik;

perut, tidak diisi dengan makan minum yang baik-baik;

kaki, tidak melangkah ke tempat yang baik-baik;-

Rugilah!

Kerana Ramadhan penuh dengan perkara baik-baik sahaja.







.
(",)
.

20 Julai, 2012

Nota Menjelang Ramadan 2


Ramadan Kareem dari kami:
Haji Nabil bin Ahmad
Suzana binti Haji Mohamed Ali
'Izz Amsyar bin Nabil
-30 Syaaban 1433H-



Nota Menjelang Ramadan 1433H |


(1)
Masa mak ayah datang ke rumah kami minggu lepas, kami bercerita itu ini tentang puasa lepas-lepas.

Cerita Mak, "masa Arwah Tok kome ada dulu, sebelum Nisfu Syaaban tu dia dengan Arwah Opah akan 'round' rumah adik-beradiknya. Bayangkanlah 'diheretnya' mak adik-beradik pergi rumah saudara-mara, nak minta maaf (sempena) nak puasa. Orang gini hari, tunggu raya baru minta maaf adik-beradik."

Tuan-tuan, puan-puan,
Saya dengan rendah hati, menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dari kalian. Terutamanya dari mak Hjh. Rosiah dan ayah Hj. Mohamed Ali, mertua saya yang jauh di mata, Ustazah Che Bi dan Ustaz Ahmad, adik-beradik saya dan seisi keluarga kalian, serta ipar-duai saya seisi keluarga.

Kaum keluarga dan sahabat handai serta kenalan saya, kemaafan jugalah saya pohonkan dengan harapan, Ramadan ini akan kita isi dengan segala yang terbaik.

Semoga dengan kemaafan dari kalian, Ramadan ini tidak kosong lagi kerana ada beban salah sesama manusia.



(2)
Bergembiralah!

Ramadan sudah selangkah dari kita. Doalah supaya kita sampai menjejak Ramadan lagi.

Apabila kesempatan itu Allah beri, berbaik sangkalah yang kita akan manfaatkannya seakan-akan ini Ramadan terakhir kita.

Buanglah jauh-jauh rasa ragu itu. Apabila sudah ada azam, susunlah strategi untuk mengisi Ramadan ini - waktunya, agendanya. Kemudian, tawakallah.

Insya Allah di hujung kembara Ramadan ini, jika tidak benar-benar merangkul taqwapun, jalan ke situ sudah kita usahakan.

Kalau memilih memulakan kembara mencari taqwa di Ramadan ini, usah akhirkannya juga di Ramadan ini.

Sekali ia bermula, pangkalnya menjauh, hujungnya belum tiba - selagi jasad masih bernyawa!
 




(3)
Sekejap lagi kita akan dibebaskan. Bebas dari godaan Syaitan.

Kita mengadu, terbabas ke gaung dosa dek syaitan durjana. Sekejap lagi makhluk api ini akan dirantai. Merdekakah dirimu?

Jika masih bertapi-tapi berbuat taat, salah syaitan juakah sebulan ini? Atau diri sendiri sebenarnya lebih syaitan dari syaitan?

Allahu, aku mohon ampun! Bimbang, akulah syaitan dalam diriku. Yang kukutuk syaitan, sedangkan yang terkutuk itu adalah aku kerana menuruti nafsuku.

Ampun ya Allah!

Dan mohon perkenan-Mu, sampaikan aku lagi ke Ramadan-Mu senja ini.

___

Salam Ramadan dari kami. Ramadan kareem.

Bergembiralah!













.

13 Julai, 2012

Nota Menjelang Ramadan 1

Doa kami untuk Mak Ayah dan Mama Baba.
Allahumma ameen.
Sumber Foto: FB


Salam Jumaat yang diberkati!

Lagi 7 hari menjelang Ramadan. Sudah sedikit sahaja masa yang ada untuk membuat persiapan.


Lazimnya, kalau nak kenduri kahwin, persiapan kita buat awal berbulan-bulan sebelum tarikhnya. Kiranya, kalau tinggal lagi dua, tiga minggu sebelum majlis besar itu, kita dah selesaikan 70% persiapannya.

Bagi perempuan, tinggal nak ke spa- mandi susu ke sauna ke buat rawatan muka ke. Semua usaha untuk tampil menawan, segar dan berseri di hari bahagia yang cuma sehari itu kita buat sungguh-sungguh.

Sekarang, kita cuma ada 7 hari sahaja lagi nak sampai ke Ramadan 1433H.

Tidakkah kita bersiap-siap lebih dari sang pengantin menanti hari sandingnya?

Atau masihkah kita buat relaks macam Ramadan itu tiada apa-apa erti hadirnya?

Tik! Tok! Tik! Tok!

Lagi 7 hari ni. Ada masa lagi!

Dan masa terus berdetik ...


.

05 Julai, 2012

Tentang Anak (1)





Prof. Dr. Rozieta Shaary menulis:



Bagaimana mengawal anak-anak 1-4 tahun yang suka menjerit-jerit?


  • Apabila anak itu menjerit, datang kepadanya dan cakap berbisik.


  • Jika dia ada anak patung atau toy kegemarannya yang dia sayang, anda boleh ambil dan lakonkan seperti puppet dan suruh puppet itu minta kepadanya agar dia tidak menjerit.


  • Jika ada, ambil buku yang ada gambar telinga dan dengan puppet tadi biar puppet it menceritakan apa yang akan terjadi kepada telinga dia dan tekaknya jika dia terlalu suka menjerit.


  • Anak-anak kecil lebih mudah faham bila kita menggunakan karakter mainan mereka untuk mengajar mereka sesuatu.


  • Menjerit kembali kepadanya bukanlah jalan penyelesaiannya.
    • Anda hanya menggalakkan dia untuk meneruskan perbuatannya itu. :)

Tantrum:

  • Anak berusia 1.5 tahun ke 2.5 tahun akan mula memberontak, buang barang, merajuk dan protest. Jika anak anda berkelakuan demikian, bukan bermaksud dia sudah menjadi degil atau kurang ajar. Anak sekecil ini, tidak akan kurang ajar. Dia sedang belajar untuk ekspres diri dia disebabkan dia berasa letih atau kecewa akan sesuatu.


  • Oleh itu jalan untuk membantu dia menjadi tenang:
  1. Pegang dia seperti dalam gambar ini.

  1. Bisikkan anda sayang dia dan understand perasaan dia.
  2. Baca ayat Quran dan A'uzubillah hi manasyaitan nir rajim, supaya syaitan tidak mengambil kesempatan kpdnya dan anda.
  3. Tenangkan dia dengan kata-kata kasih dan anda pun perlu tenang
  4. JANGAN SEKALI-KALI MARAH DAN MENJERIT ATAU MEMUKULNYA KONONNYA UNTUK MENDISIPLINKAN DIA. Ini hanya akan menjadikan dia anak yang pengecut atau yang suka memberontak.



Salam kasih,Ibu Rose


Semoga bermanfaat!



<3
.

03 Julai, 2012

Kawan Sejati Itu ...





Menjadi sahabat yang baik bukan bererti kita mengiyakan semua perkara yang kawan kita buat. 

Sahabat baik menegur sebelum kita buat salah. Membetulkan kita bila terpesong. Dia tak biarkan kita lemas, apalagi hanyut. Kerana dari awal lagi dia sudah nampak kita menuju ke air dalam.

Syukur kerana saya ada beberapa orang insan yang menepati kriteria ini dalam hidup saya. Antaranya suami saya sendiri.

Buat teman-teman lain, maafkan saya jika saya belum jadi sahabat yang baik pada kalian.

Untung saya ada kalian. Moga suatu masa nanti, kalian juga akan rasa bertuah punya teman sejati.

18 Jun, 2012

Amankah?


.



Terus-terang, saya hilang rasa aman di mana-mana.

Lihatlah keliling kita. Amankah?

Siapa yang masih rasa aman sekarang ini? Jawaplah dalam hati, jika ada.

Di rumah, kita takut pencuri, perompak, penyamun.

Di luar, kita takut peragut, samseng jalanraya, perogol, penembak.

Semua kejahatan itu ada di keliling kita saja. Di negara kita. Bukan di luar sana. Dekat-dekat kita juga.


Ternyata Allah tarik nikmat takut dari hati manusia untuk buat jahat. Malah Allah campak rasa tak aman dalam hati kita yang berusaha buat baik.

Apa sebabnya Allah biarkan kita begini?

Supaya kita kembali kepada apa yang Dia suruh dan supaya kita tinggalkan apa yang Dia tegah.

Jangan lawan Allah lagi dah. Dengan harapan Allah kembalikan keamanan yang hilang.

Itu sahaja!



.

30 Mac, 2012

Empat Tahun Menanti Dia


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, kami menulis.



Empat tahun.

Itulah lamanya kami menanti.


Hari-hari berlalu dalam kehidupan kami suami isteri tanpa gelak tangis zuriat sendiri. Kerap ditanya tentang zuriat, buat hati kami sebal.

Soal zuriat sama macam soal jodoh, rezeki, ajal dan hidup. Semua dalam rahsia Allah. Mana ada yang tak mahukan zuriat dari pernikahan yang halal?

Kami saling memujuk hati, setiap kali ada yang ringan mulut dan baik hati berteka-teki, ‘bila lagi ni?’.

Jika mendapatkan zuriat itu semudah menyusun lego, tentu sedozen lego dah kami dapatkan. Tetapi rezeki ada zuriat sendiri bukan macam susun lego.

Ada sebab Allah uji – tangguhkan kami dari dikurniakan zuriat atau tiada zuriat langsung.

Tidakkah sudah Allah tegaskan perkara ini dalam firman-Nya, “tidaklah Aku menjadikan sesuatu itu sia-sia.”

Namun, dalam mengharap, kita tak boleh duduk pasrah. Langit tak menurunkan hujan emas.

Kami bersyukur kerana Allah gerakkan hati untuk mendapatkan pemeriksaan kesuburan di Klinik O&G HUKM. Hasil pemeriksaan tersebut, kami disahkan normal, tetapi perlu berusaha menjalani pemakanan sihat. Kami perlu berdiet bagi membantu usaha untuk mendapatkan zuriat. Alhamdulillah, satu masalah telah selesai.


Sambil mengikut saranan doctor, kami berusaha lagi mengintai rawatan alternatif lain. Manalah tahu, dalam berpuluh pilihan itu ada satu yang serasi. Apa yang penting, usaha dan jangan stress.

Alhamdulillah, Ramadan 1432H, kami dihadiahkan Allah khabar indah, bakal menimang cahaya mata sendiri, dengan usia si dia sudah masuk 2 bulan dalam rahim. Subhanallah!

Berbaloi rasanya kami bersabar sambil mencuba. Rasanya mahu saja kami hebahkan pada dunia, kami sudah bakal naik pangkat – menjadi ayah dan ibu!

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar!



SETELAH 39 MINGGU DI ALAM RAHIM

22 Mac 2012 sudah Allah tulis tarikhnya untuk anak ini dilahirkan ke dunia. Awal 4 hari dari tarikh jangkaan bersalin dan selepas usia pernikahan kami cukup 4 tahun.

Anak ini adalah sebaik-baik anugerah pada kami.

Tatkala azan maghrib berkumandang di Bandaraya Ipoh pada jam 7:35 malam, lahirlah si dia yang amat kami nanti.


Semalam, genap usianya 7 hari. Fasammainahu (maka kami namakan dia kami) : 'Izz Amsyar.

‘Izz Amsyar bin Nabil bin Ahmad bin Jaya.


'Izz diambil sempena nama Sultan Ulama', 'Izz bin Abdul Salam. Biasanya, orang kita menyebut ‘Izzah atau ‘Izzat. Seerti.

Amsyar maksudnya yang cergas bersempena nama Syeikh Masyari Rasheed yang masyhur lunak suara dan bacaan ayat-ayat Allahnya itu.

Besarlah harapan kami, anak ini nanti, hidup dan matinya soleh untuk dirinya dan bermanfaat untuk ummah.

Allahumma ameen.

20 Mac, 2012

Tebu dan Rebung

TEBU DI BIBIR, REBUNG BERDURI DI HATI?







Puan Ainon Mohd. menulis:


Kita selalu diberi peringatan supaya menaruh curiga terhadap orang yang memuji kita atas alasan puji-pujian dapat menjerumuskan kita ke dalam keburukan, sebagai contoh puji-pujian menjadikan kita riak, ujub, sombong, tidak sedar diri dan tinggi diri.

Namun, banyak hadith menunjukkan bagaimana Nabi Muhammad memberikan pujian dengan mudah sekali kepada sesiapa sahaja yang kebetulan melakukan perkara-perkara yang baik. Mereka yang dipuji oleh Nabi Muhammad itu tidak pula menjadi perasan, riak, ujub, sombong, tidak sedar diri, dan tinggi diri.

Ini bermakna, ada teknik memuji yang betul, dan ada teknik memuji yang salah.

Teknik Nabi memuji itu tentu betul, sebab sebagai orang yang maksum beliau tidak mungkin melakukan perkara yang salah!

....

Satu pernyataan yang benar.

Acapkali kita bertemu dengan mereka yang ringan mulut memuji kita itu ini. Hati pun kembang setaman. Esok lusa dipuja-pujinya lagi kita. Dan hati kita pun setaman lagi kembangnya.

Hingga satu masa, kita karam di laut rasa. Di balik indahnya puji sana-sini, kita terapung tak tahu membawa diri.

Rupa-rupanya, puji-pujian si pemilik bibir manis tadi sekadar memanis kata!

Itulah bezanya memuji cara Rasulullah dengan memuji cara kita - menanam tebu di pinggir bibir, rebung berduri di hati.

Nabi Muhammad kita gemar memuji.

Kata Puan Ainon Mohd. lagi;

Prinsip-prinsip yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad supaya dijadikan pegangan apabila memberi pujian adalah:

1. Berikan pujian kepada hasil kerja yang dilakukan, bukan kepada diri orangnya. Pujian yang Nabi Muhammad berikan adalah ditujukan kepada daya usaha dan kerja yang baik. Beliau tidak memuji diri orang yang melakukan kerja baik itu.

2. Berikan pujian serta-merta, yakni apabila sahaja kita ternampak orang itu melakukan perbuatan yang baik, segera berikan pujian.

3. Bagi kerja-kerja baik yang dilakukan secara terbuka di hadapan orang-orang lain, pujian kita diucapkan secara terbuka.

4. Jika orang itu melakukan kerja yang baik, tetapi pada waktu yang sama dia juga melakukan kesilapan, diamkan kesilapannya, dan berikan pujian sahaja.

5. Apabila memuji, pujian itu diberikan dengan cara spesifik. Sebut dengan jelas dan tepat apa yang dipuji.

6. Terangkan impak baik yang berlaku hasil kerja baik yang dipuji itu.

.....

Justeru, memujilah. Puji anak kita. Puji suami/isteri kita. Puji mak ayah kita. Puji pekerja kita. Puji kawan kita. Puji majikan kita. Cubalah memuji.

Tapi ikutlah skema yang Nabi SAW kita guna. Kita takkan mati dek manisnya pujian itu.

Usah lokek memuji orang lain hanya kerana kita tak pandai menggendali caranya. Dan usah pula terlalu memuji sampai tak menjejak realiti.

Sungguh benar apa yang Baginda Nabi Muhammad SAW tinggalkan.

Nampak mudah, impaknya tak terbanding!


Sollu 'ala al-Nabiy!



Sumber:

15 Mac, 2012

4 Tahun Mengukir Cinta


Petang itu, hujan baru berhenti ...
><><><><><><><><><>


“Abang, Honey masuk kereta dulu ye. Nak tengok kek”

Saya meninggalkan sebaris pesan melalui SMS tatkala meninggalkan studio Tilawah Interaktif, Jumaat itu.

Lagi 10 minit sebelum tamat waktu siaran langsungnya, masa itu. Saya mengatur langkah langsung ke kereta kami di bawah teduhan pohon-pohon besar di kawasan belakang Angkasapuri.

Alah! Kek dah mula mencair. Sedihnya …

Cepat-cepat saya kuatkan penghawa dingin kereta. Tingkap pun saya buka luas sedikit, biar bertukar angin.

Kejap-kejap kek tu saya intai. Tulisan You Complete Me di dada kek itu sudah hilang rupa. Apa nak buat lagi, gumam dalam hati.

Tidak lama kemudian, saya nampak kelibat suami menuju arah kereta kami melalui cermin sisi. Dah tamat siaran rupanya. Tak sangka pula cepat.

Selepas memberi salam pada saya yang menunggu, suami terus ke pintu belakang. Rutinnya, dia akan salin kasut dan gantung jaket atau kot yang dipakainya dulu sebelum mula memandu. Lagi-lagi nak bermusafir ke kampung macam petang itu.

Saya menunggu sahaja suami sudahkan rutinnya.

Sebaik dia mengambil tempat di kerusi memandunya, saya disuakan sesuatu dalam kotak. Tidak berbalut apapun. Kotaknya sendiri menterjemahkan isinya.

Saya terpana.


“Apa ni?” Dahi saya sudah berkerut.

“Hadiah ulangtahun kita, untuk Honey.” Sambil senyum, dia membalas renungan mata saya yang masih terpinga-pinga memandangnya.

“Tapi kita janji tak nak bagi hadiah, kan?”

“Takpelah. Honey susah payah mengandungkan anak abang, itu hadiah jugalah pada Abang. Ini (hadiah dalam kotak) hadiah untuk Honey pulak. Bukalah.”

Dengan lafaz basmalah dan doa safar, kereta kami bergerak meninggalkan Angkasapuri. Dan saya pun membuka kotak di tangan yang sudah jelas apa isinya. Ada sekeping kad kecil di dalamnya. Tulisan tangan dia yang memang kemas saya baca, dan …



“Boleh tak nak nangis?” tanya saya sebaik kad itu saya baca.

Dia tergelak kecil. Jalanraya sesak memaku pandangannya pada pemanduan.

“Nangislah …”

“Terima kasih, abang. Honey tak sangka dapat hadiah hari ni. Cukuplah dapat ruang dalam hati abang sejak kita nikah 4 tahun ni,” sebak saya tahan.

Jemari kanan saya dicapainya.

“Tak ada apapun. Ada rezeki lebih, abang ingat nak bagi hadiah pada Honey. Dahlah, buat apa nangis. Kita kan nak balik kampung?” tangannya kembali menggenggam stereng.


MENANGIS KERANA …

Itulah kali pertama saya tak terhidu langsung kejutan yang dibuatnya. Entah macam mana saya tak pernah perasan yang hadiah itu memang sentiasa ada dengan kami – dalam kereta sejak dia membelinya.

Sikitpun saya tak perasan.

Agaknya kerana hari-hari terakhir minggu sebelum saya bercuti panjang itu kami masing-masing dilambakkan dengan tugas yang tak kenal jam 5 petang, saya jadi tak peka dengan dia.

Ada rasa serba salah melintas nubari saya. Hilang perhatian pada suami lantaran kepenatan pulang dari pejabat menjelang usai maghrib seminggu itu. Sedangkan dia lebih utama, kerana isteri ini keluar bekerja dengan izin suaminya jua.

Seminggu penuh itu, dialah yang menemankan saya menyudahkan kerja dan tugasan untuk ditinggalkan 90 hari nanti, hingga menjengah azan maghrib atau isyak. Sedangkan wajahnya sendiri sudah membayangkan keletihan fizikal dan mentalnya yang turut sama bekerja seperti saya.

Tanpa rungutan.

Bahkan yang buat saya lebih terharu, sebaik tiba di rumah, dia menawarkan untuk mengurut bahu atau menyediakan minuman untuk saya yang sudah melepek di ruang tamu, kewalahan.

Itu yang mahu saya tangiskan tatkala menerima hadiah ulangtahun ke-empat pernikahan kami, 9 Mac lalu. Kerana dia sudah banyak memberi.

Inilah hadiahnya.


BAIT INI BUATMU, SANG SUAMIKU

Abang, terima kasih kerana menjadi suami yang tidak lokek memberi – perhatian, kasih sayang, tanggungjawab dsb - sepanjang kita bersama. Terima kasih kerana sabar dan berhemah mendidik saya, sejak ikrar Aku Terima Nikahnya, Suzana binti Mohamed Ali dipersaksikan.

Pada saya, mengandungkan zuriat kita ini bukan beban tak tergalas, bahkan hari-hari sejak si dia ada bersama kita adalah antara waktu terindah dalam cinta kita.

Mohon maaf kerana mahu meminta Abang memberi lagi untuk saya. Berikan saya doa restumu moga mudahlah saya melahirkan zuriat kita ini nanti. Pada alpa dan khilaf isterimu ini, saya mohon kemaafan dan keredaanmu.

Menjadi suri hidupmu selamanya adalah anugerah tak terbanding.

Tak pernah lewat untuk saya ucap dan doakan,

Selamat Ulangtahun Ke-4 Pernikahan kita.
Moga kembara ini sampai ke syurga.