20 Januari, 2009

Semalam di IKIM.FM - Kembara Cinta

Bismillahirrahmanirrahim, wa bihi nasta'in.

Wa ba'du,

Ada masanya menyelongkar kenangan manis mampu memugar kembali rasa manis yang hilang dibawa waktu ...

Ini kali kedua, tulisan saya dibacakan di IKIM.FM lewat segmen Nukilan oleh DJ Siti Fairuz Hj Nordin, malam tadi.

Sebenarnya, saya tak pernah minat penulisan kreatif. Tetapi, ini adalah karya pertama saya. Itupun setelah didesak oleh si dia ni yang sungguh-sungguh mahu menyertai pertandingan deklamasi sajak sempena PMHK di Mesir, beberapa tahun lepas.

Dalam keadaan separuh tertekan kerana tak pernah punya ilmu jauh lagi bakat dalam bidang ini, diam-diam di bawah pokok di Nadi Syabab Haiyu Thamin, saya siapkan juga.

Alhamdulillah, si dia menjuarai pertandingan itu. Tahniah, Habib!

Dan terima kasih kerana sejak itu, dialah sumbu yang menyalakan usaha saya walau bertatih hingga saat ini.


Kembara Cinta
Oleh Suzana Mohamed Ali

Reratus dekad yang lalu,
Bahkan ribuan tahun nan silam
Bila Kekasih Agung bertitah
Pada Kekasih-Nya
Lalu kalimah-Nya itu kekal
Terukir kemas di dada
Bertinta emas yang tak lapuk
Dek hujan
Apalagi lekang dek panas.

Titah-Nya itu
Kala hayat Kekasih dikandung jasad
Kembara cinta ini telah lama bermula
Awalnya sedari Adam tercipta
Penyudahnya yang entah bila
Tibanya tatkala dunia lumat dek sangkakala!

Kembara maha jauh ini
Dituntunnya tangan jahil kita
Yang teraba meredah belantara dunia
Dengan andang al-Quran
Yang sumbunya as-Sunnah
Buat bekal, biar tidak hilang haluan.

Kembara sejauh itu
Aduh!
Terasa saja ingin mengeluh,
“Ah! Likuannya terlalu curam
Tikaman kemuncup juga bisa saja
Merobek kaus haus
Yang kontang iman,”
Lalu,
Lalu biarkan saja terbiar!

Dulu
Kalau dulu
Tika hayat kekasih itu dikandung jasad
Taman itu berbajakan keringat dan darah
Kicau mergastua dendangnya alun zikir
Sungai izzah mengalir
Menyubur serata buana
Hijau rerumput ilmu mengasyikkan, saujana
Damai … lapang …
Suria wahdah megah mendada.

Itu dulu!
Reratus tahun semalam
Kala andang menyuluh jalan
Kala dakwah dan perjuangan
Senada beriringan
Bertiup lapang di taman Islam
Nyaman, menyegarkan …

Musim itu berlalu jua akhirnya.
Lantaran kembara itu terbiar
Sepi tanpa hembus
Dakwah dan perjuangan
Lalu,
lalang jahil mula meninggi
karat mazmumah mengakar
singa-singa maddiyah mengaum tempik
Iman bersawang
Taman ad-Deen itu berkalih rupa
Ngeri dipandang
Kerana lamannya
Dipagari wajah ganas
Seram dan menggerunkan.

Kembara itu terpinggir
kerana dalih yang meloyakan.
Seakan terlupa pada perjanjian
yang pasti dihitung,
kau ditabal menitah sepelusuk makhluk

Wahai jiwa yang punya suara!
Gema kembali
Kalimah Kekasih Agung yang dibisukan.
Ayuh benarkan
titah-Nya!
Kerana kembara ini masih jauh.

Andai kembara ini jalannya sepicing
andai benar langkahnya terjangkau
langsung ke puncak,
pasti!
Ya, pasti ramai yang tidak lekang
menuruti sisa tapak Kekasih-Nya!
Apakan daya caturan kembara ini
menyongsang.
Sifirnya infiniti!

Namun!
Turutilah jua.
Demi hasrat bersanding
di singgahsana syurga.
Mahar cinta-Nya,
bukan hanya intan
tidak sebanding firus
tapi senaskah jiwa bernyawa
lalu, terimalah lamaran-Nya
tinggalkan sayang, tinggallah pujaan
demi kasih-Nya, jasad dikorban.


maddiyah = materialistik, kebendaan

Tiada ulasan: