06 Disember, 2010

Masih Ada Sayang II: Salam Hijrah 1432H

Salam Hijrah 1432 H.

Sudah 1422 tahun al-Quran dan Islam disempurnakan penurunan dan pensyariatannya. Dan sudah selama tempoh itu jugalah kita tidak lagi ditemani susuk tubuh Rasulullah SAW.

Semakin kita jauh dari zaman Nubuwwah, makin kita tidak endah pada sunnatullah dan sunnah Rasulullah.

Makin kita berpaling, makin galak pula kita minta Allah rahmati. Allah itu Tuhan kitakah? Atau kita tuan?

Kita mahu semua yang baik-baik dari Allah. Tamak sungguh mahukan nikmat dan rahmat. Tapi diri sendiri berbuat maksiat. Enggan bertaubat, kerana menunggu senja lusa, baru mahu pulang ke muara. Sedangkan entah subuh esok sudah kaku di katil kematian.

Yakinkah esok mata ini akan berkedip lagi? Yakinkah esok tubuh ini masih ada daya lagi? Yakinkah esok akal ini masih waras seperti ketika ini? Yakinkah esok masih ada, belum kiamat?

Satupun tak ada yang pasti. Satupun tak ada yang boleh disandarkan sebagai keyakinan.

Yang pasti, Allah menanti kita kembali kepada-Nya. Murka-Nya tak sebanyak rahmat-Nya. Tapi usahlah kerana rahmat-Nya lebih luas dari laknat, kita suka-suka mencampakkan diri dalam danau kebinasaan.

Tahankah kita disalai di julang neraka, sedangkan ditampar bahang matahari terik sahaja pun kita sudah merungut, menyumpah sana-sini?

"Ya Tuhan kami yang Maha Esa,
Kau hadiahkan kami lagi 1 Muharram buat kali ke-1432, dalam nikmat Iman dan
Islam. Kami mohon ya Allah, bantulah kami menyempurnakan Islam kami dengan Iman yang benar-benar sahih.

Semoga kami tak jatuh menduakan Engkau, dek kerana dilamun nikmat yang
membutakan mata dan memekakkan telinga".


Sungguh Dia masih sayangkan kita, kalau esok masih ada. Bersaksilah bahawa esok kalau masih ada, adalah untuk kita bersedia kembali kepada-Nya.


Salam Hijrah, mencari cinta, menautkan fitrah.

07 November, 2010

Mengutip Kembali Semangat : Si Kecil Itu

SUDAH TIGA tahun meninggalkan dunia mahasiswa. Adakalanya kerinduan pada musim-musim indah dipanggil mahasiswa menjenguk atma. Rindu pada Bumi Kinanah juga kembali mercup. Ada rasa yang sangat halus, setiap kali kenangan itu hadir di mandala minda.

Ada rasa yang bergetar.

Barangkali kerana hiruk-pikuk kota dan kerjaya, menyendiri di dunia kenangan bagaikan terapi yang mendamaikan.

Sudahnya, catatan lama ini ditemui tatkala jiwa rasa rapuh. Bagai memujuk hati yang rusuh.

Catatan yang Allah ilhamkan untuk ditulis mengisi ruang kata sang Timbalan Ketua Editor Suara Kampus Edisi Perak (ATOM), enam tahun yang lalu. Sebuah nota Si Kecil Itu ..

_________________________________
SI KECIL ITU


Assalamualaikum WBT.

SEMALAM, saya ralit memerhatikan keletah seorang anak kecil bermain bersama ibunya. Dia baru bertatih. Masih teragak-agak untuk melangkah. Dia terjatuh lalu terbit tangisan. Namun, tidak lama. Sejenak dipujuk oleh si ibu, dia diam dan mencuba untuk melangkah sekali lagi. Dua kali. Dan seterusnya.


Senario biasa seperti itu seakan momentum yang mengasak untuk saya mencantum idea dan langsung membentuk satu tamsilan.

Bagaimana ya? Anak kecil yang masih belum memiliki kewarasan akal yang sempurna tetapi mempunyai swadaya. Dia belum mampu memanipulasi mindanya, tetapi sudah kenal erti cekal dan sabar.


Mengapa anak sekecil itu tidak diajar untuk mengalah dan berputus asa? Adakah kerana dia masih kecil, masih belum benar-benar mengenal dunia atau kerana dia …?

Soal saya, mengapa si kecil itu putus asanya sifar? Bagaimana dia boleh berusaha dengan kadar yang infiniti untuk bertatih walau entah berapa kali jatuh dan tersembam?

sumber foto: Google


Saya membandingkan si kecil itu dengan diri saya. Aneh! Saya juga telah melalui zaman itu dan ini bermakna satu ketika dahulu saya juga pernah berswadaya sepertinya. Tetapi kenapa tidak sekarang?

Mengapa sifat seperti si kecil itu sudah lekang dari diri saya? Adakah semakin saya mengenal dunia, semakin saya jahil rasa? Atau saya semasa kecil memang tidak pernah memiliki sifat itu?

Saya pernah dan sering bergelut dengan rasa kontang semangat. Saya berdepan dengan inferiority complex. Sedangkan saya secara normalnya sudah cukup dewasa untuk melantik akal menggantikan perasaan. Sedangkan saya tahu bahawa istilah-istilah sebegitu tidak selayaknya saya biarkan berjejeran menyekat kembara ilmu dan perjuangan ini.

Mandala minda saya terus betah ditujah tamsilan. Anak kecil itu terus mengatur usaha walaupun langkahnya tersekat dan teragak-agak. Impiannya Cuma satu. Mahu berlari seperti rakan sepermainan yang lain.

Sesekali tertanya, bagaimana si kecil itu tidak luntur azamnya? Tidak pudar tekadnya? Dan sesekali juga saya bagai dibisikkan jawapan bahawa si kecil itu kental kerana punya ibu yang mewah dengan stimulus.

Lalu, saya toleh sekeliling saya. Barangkali buat masa ini, itu antara hujah yang paling mapan. Saya tidak punya inspirasi. Walaupun saya juga punyai aspirasi. Justeru, saya merangka peta hidup saya.

Sekalipun tanpa idola di sisi, saya mesti terus berlari demi hasrat melihat impian saya menjelma di mayapada. Meskipun saya akan kerap tersadung duri jalanan dek kelelahan, terkapar dek jemu apatah lagi ditimpa dahan ujian; janji saya pada diri, untuk terus mengungguli harapan ini.

Saya yang mencatur hari muka saya. Benar kata orang, kita tak mati dek sumpah, tak hidup dek doa.

Saya yakin, sebenarnya roh anak kecil itu turut masih mengalir dalam jasad saya. Cuma alirannya barangkali tersumbat di selirat nafsu. Saya mesti membedah siasat nurani saya supaya semangat itu kembali mengitari diri saya. Kerana saya yakin bahawa saya punya potensi dan upaya untuk menjadi lebih hebat.

Keyakinan ini jugalah yang saya mahu kalian rasai. Kerana kita juga telah melalui alam itu dan kita wajar mengekalkannya.

Kita semua dilahirkan dengan kelebihan dan kekurangan sebagai anugerah untuk kita garap menjadi atom izzah. Bukan untuk kedaulatan peribadi, tetapi demi keunggulan Islam, ad-Din yang hakiki.

Sememangnya ia sulit untuk kita lestarikan, tetapi kita letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang. Tetapi kebaikan itu akan terus kekal. Sebaliknya, kita tenang menggomol mungkar, ketenangan akan pergi. Yang kekal dosa dan sesal.

Terakhir, terima kasih atas pengorbanan, sumbangan dan sokongan semua. Buat kalian yang mempunyai jiwa dan nurani, salam juang. Teruskan stimulus ini …

Wassalam.

SUZANA BINTI MOHAMED ALI
Timbalan Ketua Editor
Suara Kampus Edisi Perak (ATOM)
Jumaat, Mac 04 | 02.34 am
_______________________________


Telah diterbitkan dalam Suara Kampus Edisi Perak, 2004.
Dan diulangsiar dari serisahmura, sebagai prasasti sebuah kenangan.

23 Oktober, 2010

Labbaika


لبيك اللهم لبيك
لبيك لا شريك لك لبيك
إن الحمد و النعمة لك و الملك
لا شريك لك

Setelah 3 kali menerima undangan ke Tanah Suci menyempurnakan haji, alhamdulillah tahun 1431H ini hajat itu makbul.

Suami saya, Ustaz Nabil bin Ahmad, telah pun selamat tiba di Jeddah sekitar jam 7 pagi ini (waktu Malaysia) bersama petugas media dari TV al-Hijrah dan Astro Oasis dengan jemaah haji KT46.

Sama-sama kita tekad dalam hati, untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Haram. Semoga dengan tekad, usaha dan doa kita, akan sampai juga kita ke sana. Cepat atau lambat, itu kerja Allah. Kita buat bahagian kita sahaja.

Mohon iringkan doa, semoga semua urusan ibadat mereka di sana dipermudahkan dan dapat disempurnakan seperti yang Allah mahukan. Mohon titipkan juga doa, semoga semua bakal haji kita selamat sejahtera, selama dalam perjalanan pergi dan pulang, lebih-lebih lagi waktu antara kedua-duanya.

Menyampaikan salam suami saya di kejauhan, dengan ucapan siiru 'ala barakatillah.

______________________________________

23 Oktober 2010,
Sanggar Cinta.
Suzana Mohamed Ali.

13 Oktober, 2010

Penghargaan Dari Seorang Sahabat


Saya tiada kata membaca tulisan beliau.

Menerima sebuah penghargaan dari seorang sahabat, saya hilang kata. Saya tiada kata ajaib selain kalimah terima kasih buat beliau.

Ya. Entah siapalah saya, di sisi Allah di saat-saat manusia memuja memuji. Itulah azimat dari isteri yang turut berkongsi cinta dalam hati saya. Buat mengingatkan diri yang adakalanya terleka terbang tinggi.

Terima kasih, sahabatku - al-Akh Syafiq Zulakifli atas penghargaan itu. Semoga dirimu juga jadi permata ummah.

____________________________________________

Sahabat Saya : Ustaz Nabil Ahmad

JIKALAU tuan-tuan sempat membuka RTM1 atau Astro Oasis, tentu tidak lupa pada nama Ustaz Nabil Ahmad. Beliau pernah mengacarakan majlis pernikahan Mawi satu masa dahulu. Beliau kini berkhidmat di JAKIM sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam bahagian penyiaran.

Beliau juga berkhidmat di SALAM fm , radio rasmi JAKIM.

.....

(Baca selanjutnya ...)


___________________________________

06 Oktober, 2010

Apa Nak Hairan

APA NAK HAIRAN
Oleh Suzana binti Mohamed Ali
suzana.mohamedali@yahoo.com


Masyhur!
Ada yang kata,
Nabi bangga umatnya ramai.
Sengih-sengih, habis ditanya keliling
“Anak berapa dah?”
“Bila lagi nak tambah?”
Apa nak hairan?

Dek kerana itulah,
Maka sibuk yang tak bernikah
meramaikan umat Nabi
mengikut sunnah.
Apa nak hairan?
Nak ramaikan kuota.

Bersepah umat,
Nabi banggakah?
Yang ramai itu
umat lahir tanpa ayah.
Tanpa nikah.
Tak ada wali yang sah.

“Nabi Isa begitu.”
Tak ada ayah.
Kamu itu suci macam Mariamkah?
Mariam berzinakah?
Memang hairan sungguh!

Anak itu anugerah, kata dia.
Ada anak, dilempang
Ada anak, kena terajang
Ada anak, asyik dijerkah.
Nabi banggakah?
Apa nak hairan?

Kera dapat bunga
Apa nak hairan?
Dapat anugerah pun macam tak kisah.

Nabi banggakah,
umat ramai, tapi tak ingat dia pun?
Ramai-ramai itu terdidikkah?
Yang berzina itu umat Nabikan?
Yang berbunuh-bunuh itu umat jugakan?
Yang makan ganja itupun umat Nabikan?
Yang rasuah.
Yang makan harta rakyat.
Yang suka berjudi.
Semua itu umat Muhammadkan?

Apa nak hairan?!

Betullah Nabi kata,
Ramai-ramai itu buih sahaja.
Ada yang tiada.
Apa nak hairan?

____________________________________

Semoga Allah kurniakan kita zuriat yang menyejukkan mata dan hati.

Paling utama, anak soleh dan solehah yang didambakan bukan terhasil dari doa semata-mata. Ia adalah usaha sang ibubapa. Anak-anak adalah biasan peribadi ibu ayahnya.

Didiklah diri menjadi ibu ayah yang soleh dan solehah. Sambil mendidik anak mengikut acuan Allah. Semoga beroleh sakinah.



Salam 27 Syawwal 1431H.

08 September, 2010

Minal 'Aideen wal Faizeen


Taqabbalallahu minna wa minkum.

Syawal yang diraikan bukan bermakna Ramadhan sudah dilupakan. Semoga dengan 'Aidilfitri ini, jernihlah kembali jiwa kita seperti fitrahnya.

Kami mohon kemaafan setulusnya untuk segala khilaf semalam, zahir dan batin.

Salam 'Aidilfitri 1431H dari kami;
Ustaz Nabil Ahmad & Ustazah Suzana Mohamed Ali
serta seisi keluarga di Beseri, Perlis & Ipoh, Perak.

*Minal 'Aideen wal Faizeen
Siruu 'ala barakatillah.

>>___________________________________<<
*klik untuk baca artikel

06 September, 2010

Tak Segan Lagi



Tak Segan Lagi
Oleh Suzana Mohamed Ali


Berbaju atau tidak,
Bercelana, berbikini
Berbogel sekalipun
Tak segan lagi.



Ketagih, mabuk sudah betah
Dadah, syabu atau wiski
Malah makan tidur
di meja judi
Tak segan lagi.



Bercinta dan bermesra
Jalan berdakapan, duduk bercumbuan
Makan bersuapan, bibir berkucupan
Depan ibu, depan ayah
Dekat surau, dekat kubur
Tak segan lagi.



Shahadah sudah mati
Solat, tunggulah nanti
Puasa, tak lebih sehari
Zakat, aku pun tak cukup lagi!
Haji, jauh sekali.



Ya!
Itulah diri
Kalau tiada segan lagi.



Tak silap amaran
Rasulullah:
إِذَا لَمْ تَسْتَحْ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
“Kalau kamu tak segan lagi, buatlah semahu-mahu”



Bila tak segan lagi
Hilanglah maruah
Tergadailah akidah
Telanjanglah iman



Dan
Terlukalah lagi Rasulullah …

*_________________*
klik gambar untuk sumber

04 September, 2010

Masih Ada Waktu. Masih Ada Sayang


Kita sudah di hari-hari terakhir Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan Allah. Begitu pantas masa berlalu, hingga kita sudah pun menjejak 25 Ramadan 1431H.

Terasa bagai semalam baru disinggahi bulan barakah ini. Rupanya hanya berbaki 4 hari sahaja lagi sebelum kita berpisah dari tamu agung ini. Bagi yang benar-benar mendampinginya sepenuh hati, mudah-mudahan bakal dititipkan taqwa sebagai hadiah perpisahan.

Namun jika datangnya kita sambut endah tak endah, pasti Syawal lebih hangat dinanti tanpa sedih ditinggalkan Ramadan ini.

Datang dan perginya Ramadan semacam tak ada erti bagi sesetengah kita. Bahkan ada yang menganggap Ramadan ini hanya pelengkap syarat meraikan lebaran di pagi 1 Syawal saban tahun. Sekadar itu.

Yang dihitung bukan bekalan sepanjang Ramadan. Yang dihitung adalah dekatnya Syawal untuk dirayakan.

Sudah layakkah nanti di hujung Ramadan kita bergelar graduan dengan kepujian taqwa? Atau Ramadan kita hanya ada lapar dan dahaga sedangkan nafsu kenyang meratah dosa?

Sememangnya Ramadan ini mendedahkan kejahatan total manusia tanpa campur tangan sang syaitan. Bagi yang masih ada malu, aib itu diusahakan untuk tidak terlihat dengan taubat.

Namun bagi yang merasakan dosanya itu tidak apa-apa, maka tiadalah diri berusaha membaguskan mana yang perlu diperbaiki apalagi membetulkan apa yang salah.

Dan dalam Ramadan ini juga, kami menyaksikan ragam manusia yang pelbagai. Ada yang istiqamah menambah amal dan bekal. Ada yang leka menambah dosa dan sebal.

Diri yang sama bila dilaungkan azan Maghrib lalu berbuka. Tetapi diri itu jugalah yang bila dilaungkan iqamah Maghrib masih bersantai lewa.

Lidah itulah yang fasih membaca doa makan dan ayat-ayat al-Quran, lidah itu jugalah yang berbual kosong tanpa tujuan.

Letih mata kami menyaksikan anak-anak muda dan warga tua yang berjiwa muda membiarkan Maghrib dihabiskan di meja makan. Letih bila malam-malam indah sepanjang Ramadan ini hanya dihabiskan dengan makan dan makan.

Dara-daranya sudah tak endah harga tudung di kepala. Aurat padanya hanya helaian rambut. Lalu dia bertudung dengan mengurangkan inci kain di badannya pula.

Sangat menyakitkan mata.


Itu belum dijenguk dara-dara yang berjaga auratnya tapi bebas lepas lakunya. Ketawanya sahaja didengari di pelusuk tempat. Mengekek dan mengilai. Bangga bila khalayak yang datang dan pergi hanya berkerut dahi memerhati.

Ada juga yang dengan pakaian yang cukup syarat itu, ke hulu ke hilir dengan lelaki entah siapa. Senyum menyengih bangga jadi dara bertemankan teruna idaman. Mulanya bergambar jauh-jauh. Esok-esok sudah hampir lagi seinci. Lusa pula, sudah berani membiarkan dia menyentuh diri.

Namun yang lebih menyakitkan mata, bila anak-anak gadis kita sudah tidak segan silu menjadi ‘isteri’ sebelum waktunya. Memang bukan di tempat tidur, kerana kalian sedar zina itu haram dan berdosa besar.

Makan bersuap. Keluar bersama-sama untuk bertarawih. Bergandingan ke pasar-pasar mencari juadah atau persiapan Syawal. Menyediakan juadah untuk si dia. Mengejutkan dia bersahur. Mengingatkan dia untuk bangun malam berqiamullail.

Ya bunyinya sangat manis. Apalah salahnya. Di manakah salahnya.

Kami bukan bertepuk tampar!”

“Kami makan je. Kesian dia, makan sorang-sorang. Lagipun kami bukan makan berdua.”

“Tak sampai hati dia terlepas sahur, sebab tu saya SMS dia pukul 5 pagi tadi.”

Bagilah 150 juta alasan dan sebab pun, kamu belum berhak!

Wahai sekalian dara,
Kalau sahaja sebelum nikah kamu sudah menjalankan tanggungjawab kamu sebagai isteri, sudahnya apa yang tinggal selepas lafaz ijab dan kabul bertukar?

Apa yang membezakan kamu si dara dengan peranan mulia sebagai isteri?

Dan apakah lelaki yang kamu damping tanpa nikah itu akan merasakan kamu ini benar-benar istimewa untuknya kalau semuanya sudah biasa kamu lakukan sebelum nikah?

Jika semuanya sudah biasa benar dilakukan sebelum nikah, apakah indahnya nikah?

Dara-dara sekalian,
Bersabarlah! Adakah akan hina maruah kalian kalau bertabirkan malu?

Luakkah harga diri kalian jika semua ‘tanggungjawab isteri’ itu kau laksanakan selepas mahar diri diterima?

Tinggikanlah nilai dirimu dengan malu. Malu untuk berbuat sesuka rasa. Malu untuk lepas laku tak kenal masa dan siapa.

Pada anak muda yang disandarkan harapan agama, luka ummah ini sudah makin parah. Usahlah lagi mencurah cuka ke tempat luka. Parutnya nanti tak hilang. Tegaslah menolak yang haram. Tekunlah melaksanakana yang halal dan sunnah.

Kalian lelaki, perlukah hidup bergantung budi?

Usah disoal besar atau kecilnya dosa. Manusia boleh sahaja mati dek gigitan nyamuk yang kecil lagi kerdil.

Masih ada berbaki beberapa hari di hujung Ramadan ini. Moga kita benar-benar kembali kepada fitrah diri yang tunduk sujud mengabdi diri pada Ilahi.

Hanya dari Allahlah kami mohon diberikan hidayah dan taufik.

Untuk kami sendiri.

Untuk anda.

Untuk kalian.

Percayalah, masih ada waktu dan masih ada sayang Allah kalau hatimu kini tersentuh.

07 Julai, 2010

Harga Sekuntum Cinta

(klik untuk sumber gambar)


MUNGKIN RAMAI yang tidak pernah mendengar lagu apatah lagi menghayati lirik yang terkandung dalam lagu Harga Sekuntum Cinta, nyanyian Far East ini.

Masih basahdi ingatan, saat pertama kali lagu ini suami perdengarkan, hati saya terus jatuh hati dengan liriknya.

Tajam.

Kisah si dia yang menyerahkan segala-galanya atas nama cinta, sedangkan cinta pun belum diteguk manis masamnya.

Hanya kerana jiwa bergelora dengan setiap kalimah cinta, si dia hilang kata dalam dakapan palsu, dengan rela.

Si dia itu mungkin sahaja kita. Saya. Anda. Atau memang dia.

Mungkin bagi yang pernah meneguk setitis cinta dan tahu pahit manis rasanya, cinta sudah tiada apa-apa makna, jika bukan dihalakan kepada Dia.

Namun, ramai di sana yang penasaran. Setiap kali disua dengan hidangan cinta, setiap kali itulah dia meneguknya.

Meneguk hiba dalam kehausan.

Sedangkan cinta Allah ada tersedia.

Bercintalah kerana Allah, untuk Allah dan kepada Allah. Itulah maharnya.
* * *

HARGA SEKUNTUM CINTA - Far East

Pada redup renungan berkaca
terkolam riak sesal dan kecewa.

Dialah yang semalam ditewas dunia
tergetis keasyikan dosa.

Perjalanan hidup terpaksa disukai
biarpun penuh onak yang melukai.


Dalam remang senja kau mencari

seorang kekasih menghilang diri.


Dialah yang semalam menabur janji

dibuai kesamaran mimpi.


Lupakanlah dia pendusta yang setia.

Kembalilah pada hidup lebih bermakna.


Mudahnya kau bayar harga sekuntum cinta.

Mekar merona tubir sukma.

Walau dengan hanya tercium harumannya.


Leraikan gelora lepas di laut rasa.
Nyala asmara telah sirna.

Masih ada sinar suluh hidup bahagia.


Rayulah cinta-Nya.


~*Catatan ini telah disiarkan di Muka Buku Suzana Mohamed Ali*~

28 Jun, 2010

Yang Merah Itu Saga


Kembali bertemu di bait-bait kata ini, setelah hampir sebulan kami mengunci rumah. Sebabnya? Biarlah rahsia, bagi yang belum dan tak pernah tahu. Untuk kalian yang tahu sebabnya, biarlah rahsia juga.

Hari demi hari, hati dan minda kita diasak untuk menulis. Tulislah lagi. Tulislah itu. Tulislah ini. Hakikatnya, menulis bukanlah mudah.

Kami memilih untuk lebih banyak membaca. Menekuni wahyu suci kembali, terutama di saat kita kian menghampiri gerbang Ramadan 1431 H ini. Membelek buku-buku ringan yang telah lama berdiri tegak di rak. Gelintar lagi bahan bacaan di sesawang di internet.

Untuk menulis, bukan sahaja didahulukan membaca. Ia mesti juga berteman dengan fikir. Kalau menulis terus apa yang dibaca, itu macam mesin pencetak pula.

Dan untuk menulis juga, peranan bahasa yang menjadi perantara idea adalah sangat signifikan. Bahasalah yang menceritakan rasa. Kalau bahasanya sebarangan, tentu si penulisnya juga sebarangan.

Buktinya adalah al-Quran.

Indahnya diksi dalam setiap kata dan ayat di dalamnya, menggambarkan indah dan cantiknya si Pemilik Kalam Suci itu. Allahu akbar!

Begitulah.

Berbahasalah sebaiknya. Sama ada bahasa dalam tulisan atau bahasa dalam bicara. Baik bahasa, baiklah minda dan jiwa.

Bukankah jiwa dan minda yang gersang akan menutur dan menitipkan kata yang kurang matang? Mudah-mudahan bahasa kita indah-indah dan molek-molek sahaja.

Jika lidah ini pernah melukakan kalian, kami berdua mohon maaf, zahir dan batin.



Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga.
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

30 Mei, 2010

Kami & Mereka Mahu Bercinta Sampai ke Syurga


LUSA, akan masuk bulan Jun. Dan hujung minggu depan adalah minggu-minggu yang penuh dengan undangan Raja Sehari.

Bagi kami suami isteri, sangat senangnya hati kami menerima undangan sebegini. Senang hati kerana mereka memilih pernikahan, bukan perzinaan.

Hari ini isunya ramai yang memilih untuk tidak terikat dengan komitmen dalam rumahtangga. Lalu memilih jalan singkat untuk melempiaskan nafsu yang digebu-gebukan saban waktu.

Tetapi perkahwinan bukanlah tujuannya hanya hubungan intim ke situ. Bukan untuk seronok-seronok tanpa tujuan. Bukan permainan yang ada game over dan boleh cuba-cuba.

Ia adalah amanah. Amanah besar, beralihnya tanggungjawab dari seorang ayah ke bahu seorang suami.

Dan bagi si lelaki yang bergelar suami pula, syurga atau neraka isteri dan isi rumahnya terletak di tangannya. Membimbing pasangan menuju ke syurga seperti yang diimpi, bukan termetri dengan kata-kata dan harapan. Ia memerlukan usaha dan pengorbanan. Jalannya sukar dan berliku.

Atmosfera dalam rumahtangga ada panas dan sejuknya. Bersedialah untuk musim-musim itu. Kerana hidup untuk dihargai.

Tetapi bahagia ada di mana-mana. Pilihlah untuk bahagia. Anda mampu mengubahnya.

~***~

Senarai Jemputan ke Majlis Raja Sehari untuk Jun 2010 yang kami terima:
  • 5 Jun 2010
  1. Nor Saffinas binti Zahari & Mohd Khairi bin Mohd Yusoff - Ulu Kinta, Perak.
  2. Muhd Firdaus bin Ibrahim & Nurul Akma binti Zulkfay – Slim River, Perak.
  3. Mohammad Firdaus bin Ramlee & Aminah binti Mansor – Segamat, Johor
  4. Jamilah binti Abdul Wahab & Khairul Anuar bin Ahmad Hisham – Kuala Kangsar, Perak

  • 6 Jun 2010
  1. Nor Rafidah binti Hassan & Mohd Aizam bin Ab. Manaf - Ayer Tawar, Perak.
  2. Fatimah binti Ahmad & Shazry Munir bin Sahidan – Batu Kurau, Perak.

  • 8 Jun 2010
  1. Abdul Halim & Sarifah - Baling, Kedah

  • 10 Jun 2010
  1. Mohd. Nazrul Akmal bin Mohd. Zamri & Siti Hajar binti Mohamad Ahid – Baling, Kedah
  2. Nik Mohd Nasrun & Aemy Elyani - Pasir Puteh, Kelantan

  • 12 Jun 2010
  1. Noriza binti Shaimi & Mamat – Teluk Intan, Perak.
  2. Hazlin binti Hj. Kadir @ Shahar & Amin Fadilah bin Hj. Ahmad – Batu Pahat, Johor.
  3. Rashidah binti Mohamad Yusof & Mohd Shahrol Fadzli bin Yaacof – Segamat, Johor.
  4. Ikhmal Husin bin Dato' Abd. Rahman & Rubiah binti Hj. Mohd. Yunus - Cyberjaya, Selangor.

  • 13 Jun 2010
  1. Nursyamsul bin Abdul Roni & Na'iimah binti Abd Hapis @ Romli – Kangar, Perlis.

  • 19 Jun 2010
  1. Sulhi bin Abidin & Siti Tasnim binti Mior Pi – Kangar, Perlis.
  2. Mohd. Hasraffiz bin Mohd. Noor & Wan Nor Dalila binti Haji Wan Yunus - Bandar Baru Bangi, Selangor.
  3. (Majlis pertunangan) Siti Syahidah Ramli di Kg. Gajah, Perak.

Seawalnya, tahniah dari kami berdua. Selamat Penganti Baru. Kami mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi semua undangan. Terima kasih kerana menjemput kami di hari besar kalian.

Apapun, kami titipkan doa pada semua yang bakal menempuh alam perkahwinan, -


dan marilah bercinta hingga ke syurga.



Mohon doakan kami juga,
~Nabil bin Ahmad & Suzana binti Mohamed Ali~

09 Mei, 2010

08.05. dan Cerita Tentang Ayah

Selamat Ulang Tahun Hari Kelahiran
buat
Ayahanda kami yang disanjungi:

Haji Mohamed Ali bin Yang

Anakanda panjatkan doa,
moga Ayahanda sentiasa dicintai Allah lebih dari kami
menyayangimu.

Kami sayang Ayah sentiasa.
~ Nabil bin Ahmad ~
~ Suzana binti Mohamed Ali ~

~***~

CERITA TENTANG AYAH

Ayah saya dilahirkan 58 tahun yang lalu, dari rahim Bondanya yang kami cuma kenal namanya sahaja, Nenda Sabariah binti Mahadi.

Anak ketiga dari sembilan beradik yang merantau mencari rezeki, sebelum akhirnya memilih Ipoh sebagai destinasi.

Ayah membesarkan kami dengan usahanya sebagai pengusaha kedai makan. Lama dulu, Ayah miliki sebuah kedai makan di depan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh. Kedai yang DBI sewakan, sebenarnya.

Di situlah kami adik-beradik dibesarkan. Dan dengan hasil titik peluh ayahlah kami disuapkan.

((Setiap kali mengingati memori-memori di zaman kecil di kedai Ayah itu, hati saya sayu sekali. Hujan di hati. Setiap kali.))

Ayah tak pernah mengalah berusaha mencari rezeki, walau meniaga ini ada jatuh bangunnya. Meniaga sudah sebati dengan Ayah. Sampai sekarang, walaupun kedai itu sudah tiada, Ayah masih meniaga.

Masa kecil-kecil dulu, setiap malam Ayah uli tepung untuk bikin roti canai, kami adik-beradik duduk keliling Ayah, mengadap besen rotinya.

Pantang lepa sikit, roti itu akan kami cuit curi-curi. Kadang-kadang Ayah uli roti sambil mengadap gusti di TV. Sambil bulat-bulatkan doh roti tu, Ayah suruh kami lumurkan minyak sapi pada roti yang dah bulat.

Saya dan Ngah yang selalu buat. Amin tak tahan bau minyak sapi tu. Dia dapat pengecualian. Tapi roti canai yang dah siap bakar, dia makanlah.

Ingat lagi, masa dulu rumah kami belum ada bekal elektrik sepenuhnya. Menjelang maghrib, kami akan tengok Ayah nyalakan lampu gasolin. Suka tengok! Macam Ayah buat magik.


Saya ingat juga, masa tu Ayah garang sangat. Kami tiga beradik yang atas-atas ni selalu kena rotan. Sebab malas solat la. Sebab gaduh la. Sebab tak tolong Ayah la. Sebab itu, sebab ini.

Paling tak boleh lupa, Ayah pernah rendam Ngah dalam kolah sebab dia buat-buat tidur sebelum solat Isyak. Sian kamu, Ngah. :)

Amin kecil lagi masa tu. Hafiz pun baby lagi. Adik memang belum ada lagi.

Ayah garang. Tegas sangat dengan anak-anak. Rotan tu entah dah berapa kali Ayah beli, sebab ada yang hancur merotan kami dan ada yang kami sorok. Hehe ..

Masa berlalu, Ayah dah tak garang macam dulu. Ayah sekarang dah macam 'kawan' pada kami. Dah boleh melawak dengan Ayah, kalau kena gayanya. Untung Hafiz dengan Adik, sebab tak lalui 'Zaman Rotan' tu.

Satu lagi yang saya ingat, masa duduk asrama, duit belanja Ayah bagi ialah 5 ringgit je. Kalau minta nak lebih, Ayah bagi 50 sen. Masa tu, rasa sedih sangat. Sebab sebenarnya teringin nak berbelanja macam kawan-kawan lain. Nak keluar pekan Ipoh pun tak boleh beli apa, sebab duit tu 5 ringgit je. Haha ..

Tapi rupanya, saya jadi pandai berjimat dan 'tahu' guna duit. Bukan senang nak senang, kan?

Hmm, dah banyak cerita tentang Ayah saya.

Ayah yang saya sayang.

Ayah yang besarkan saya.

Ayah yang pernah rotan saya.

Ayah jugalah yang rindukan saya masa merantau jauh di Lembah Nil dulu.

Dan Ayahlah yang menikahkan saya dengan lelaki yang mencintai saya.

Ayah, Kak ni degil, kan? Kak keras hati macam Ayah juga, kan?

Tapi Kak sayang Ayah.

Sayang sangat.

Dan Kak rindukan Ayah.

Selamat Hari Ulang Tahun, Ayah.

Ya Allah, peliharalah Ayahku, sebagaimana dia memeliharaku sejak aku di dalam rahim ibuku. Panjangkan usianya dengan amal dan murahkan rezekinya yang halal dan baik. Amin ..

01 Mei, 2010

Mengutip Kenangan 2 Tahun 1 Bulan 3 Minggu yang Lalu




Dah lama bikin, tapi ni baru tergerak hati nak muat naik ke sanggar cinta.

Mengenang detik terindah saat lafaz sakinah, "aku terima nikahnya".

Dengan doa dan amal, semoga pernikahan ini diredai
dan kekal bercinta sampai ke syurga.

Amin.

* ________________ *

Selamat Ulang Tahun Hari Perkahwinan
buat


*

*

*

Bonda Rosiah Zakaria
& Ayahanda Mohamed Ali Yang
yang ke-34
hari ini ~ 1 Mei.


Anakanda berdua mendoakan, semoga terus bahagia hingga ke syurga.
Sembah maaf dari anakanda kerana tidak dapat pulang meraikannya.
Hanya doa mengiringi.

Terima kasih untuk kasih sayang kalian
yang menyuburkan cinta kami.

Mak, Ayah,
kami sayang kalian berdua.

24 April, 2010

Mudahnya Mencari Pasangan Hidup


DILEMA adik-adik hari ini dalam memilih jodoh, bukan lagi rahsia. Acapkali soalan-soalan begini terselit dalam bicara maya, terutamanya. Ada yang berkias dalam bahasa. Ada juga yang berterus terang tanpa ragu.

Sudah menjadi lumrah, setiap manusia mahukan yang terbaik dalam hidup, terutama sekali dalam soal mencari teman hidup.

"Kakcik, doa ya. Moga saya jumpa yang soleh".

"Calon pilihan saya mesti yang solehah".

Aduh!

Bukan main-main syaratnya.

Namun, itu bukan menjadi kesalahan pun. Masing-masing kita ada pilihan dan kehendak sendiri.

Cuma, dengan syarat sebegitu begini, nampaknya mustahil untuk ketemu.

Jadi, ada yang bertanya pula, kalau sudah sukar mencari yang soleh atau solehah, bagaimana?

Jawapannya seperti dalam buku Satu Rasa Dua Hati tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi - jadikanlah diri anda soleh atau solehah, insya Allah akan muncul yang solehah atau soleh sebagai pasangan hidup.

Kita sibuk menyusun senarai - soleh tak soleh, solehah tak solehah, tsiqah atau tidak. Hingga terlupa orang lain juga sedang menilai kita, sama ada kita ini calon soleh / solehah atau tidak.

Mudahlah kalau kita sudah siap-siap jadi calon yang soleh / solehah. Insya Allah tak sukar si soleh / solehah menemui kita.

Bukankah Allah sudah berjanji,

"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)".
~ al-Nur: 26.

Jadi, tamatkanlah 'pemburuan' anda.

Wallahua'lam.

~ telah diterbitkan dalam Facebook oleh Suzana Mohamed Ali ~

23 April, 2010

Sanah Helwa ya Aghla Habeeb

HARI INI 23 April, Honey ucapkan ~ Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran buat suami tercinta, Nabil bin Ahmad.

Honey titipkan doa pada Allah, semoga Abang beroleh segala kebaikan di dunia dan akhirat, serta dijauhkan dari celaka dan neraka. Dan doa Honey juga, semoga Allah menghimpunkan kita kembali di syurga-Nya.
Semoga Allah menyayangi Abang lebih dari cinta Honey padamu. Moga Allah kekal memeliharamu lebih dari Honey menjaga Abang. Juga semoga Allah memberkati pernikahan dan kehidupan kita selamanya.

Dan selama menjadi isteri, Honey pohon maaf untuk segala yang meresahkan hati Abang. Honey sayang abang. Dan tak pernah menyesal untuk menyintaimu.

Abang,
Selamat Hari Ulang Tahun.





Dari isterimu yang tiada apa-apa selain cinta dan setia,
Suzana binti Mohamed Ali.
Bandar Baru Bangi.
23.4.10 / 12.01 tengah malam.

21 April, 2010

Bila Tidak Disentuh Ujian

SETIAP dari kita pernah, sedang dan akan terus diuji. Dan ujian Allah datang dalam bentuk yang berbagai-bagai dan tidak terduga.

Semua kita tahu dan sedar hal ini.

Adakalanya ujian ini sebagai saringan iman. Adakalanya sebagai penebus dosa diri. Pastinya, ujian dan dugaan hidup yang Allah sediakan untuk kita adalah berbaloi untuk ditempuhi, kerana di hujungnya ada hikmah yang tidak sedikit. Itupun jika kita mahu merenung hikmahnya dengan mata hati - tempat jatuhnya pandangan Allah.


Dan di setiap episod ujian itu, kita mendepaninya dengan bermacam-macam cara juga. Ada yang sabar, menambahkan syukur dan menguntumkan reda. Ada pula yang hilang rasa, lalu putus asa, menyalahkan takdir Allah yang Maha Ada.

Beruntunglah jika di setiap sudut ujian itu kita mengutip permata hikmah dan maghfirah (keampunan). Dan itulah yang sebaiknya.

Sayangnya, tidak sama iman dan amal kita. Saya mungkin kurang imannya, berbanding kalian yang barangkali lebih dekat dengan Allah. Justeru, natijah dari saringan Allah walaupun pada ujian yang sama juga adalah berbeza. Ia bersukatkan iman masing-masing.

Sudah menjadi fitrah, ketika diri dirempuh mehnah (tribulasi), kita mudah sahaja bersimpuh mengadap duli kebesaran Allah. Segala yang leka, berubah menjadi peka. Ternyata, Allah tidak pernah meninggalkan kita, biarpun kita berkali-kali mengabaikannya - yang hakikatnya Zat Dia tak pernah kurang apa-apa kalau kita menjauhi-Nya.

Ketika kita tertunduk menginsafi khilaf diri, memohon ampun dan mendambakan bantuan-Nya itu dan ini, sebenarnya Allah sudah lama dekat di sisi.

Namun seribu kali sayang, tatkala sudah mampu merangkak, membina semula kekuatan diri yang luluh dilanyak ujian, perlahan-lahan Allah kita tinggalkan.

Tiada lagi rengekan. Tiada lagi mohon belas ihsan. Tiada lagi airmata penyesalan.

Dan Allah kita ketepikan, membiarkan segala urusan diri ditentukan dengan tangan sendiri.

Seolah-olah, kita tidak pernah kenal Tuhan yang bernama Allah, yang Maha Memberi semasa manusia dan dunia tiada apa-apa. Dialah Allah yang Maha Sentiasa Ada, ketika semua yang ada menyisihkan kita.

Ketika diuji dengan ujian nyata, kita rasa bertuhan.

Ketika bebas dari dugaan dan kita lupakan Tuhan, sebenarnya itulah sehebat-hebat UJIAN.

وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ

"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami (dalam segala keadaan) sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya. (Sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan".

~Yunus 10:12~

~ telah diterbitkan dalam Facebook oleh Suzana Mohamed Ali ~

14 April, 2010

Halawatul Iman II - Saat Lafaz Sakinah


Setelah lama menantikannya, terimalah hadiah dari hati kami - Far East
Halawatul Iman II ~ Saat Lafaz Sakinah.

Akan berada di pasaran terdekat ini.
Pastikan anda memiliki yang original.

24 Mac, 2010

3 Pengantin Baru

Kenangan di Majlis Kesyukuran Perkahwinan

Ajwadi & Nadiah
bernikah pada 14 Feb 2010
walimah di Selayang pada 15 Feb 2010
walimah di Beseri pada 6 Mac 2010
~*~

Azrol & Siti
bernikah pada 12 Mac 2010
walimah di Pulau Selat, Langkawi pada 13 Mac 2010
walimah di Ipoh pada 21 Mac 2010
~*~

Amin & Imah
bernikah dan walimah di Pantai Remis pada 20 Mac 2010
walimah di Ipoh pada 21 Mac 2010

Barakallahulakum wa barik 'alaikum wa jama'a bainakum fi khayr

dan kami juga turut meraikan ulangtahun kedua perkahwinan kami
9 Mac 2008 - 9 Mac 2010

memetik kalam Us Pahrol dalam bukunya 2 Jiwa 1 Rasa:
"Perkahwinan boleh jadi kebun cinta,
dan boleh juga jadi kubur cinta."

12 Mac, 2010

12 Mac 2008 dan 12 Mac 2010

Ucap selamat.

Ucap selamat untuk Abang Long Saiful dan Kak Long Azniyah sempena ulangtahun kedua perkahwinan mereka - 12 Mac 2008.

Dan,

ucap selamat pengantin baru buat adik kami, Azrol Zaimee Mohamed Ali dan pasangannya Siti Fairus Sirat yang bernikah hari ini - 12 Mac 2010.

Barakallahu lakum wa barik 'alaikum wa jama'a bainakum fi khayr.

Seeru 'ala barakatillah.

Sesungguhnya, begitulah masa telah berlalu ...

*Tahniah buat adik tersayang, Noor Haafizah Mohamed Ali yang baru dapat keputusan SPM semalam. Tahniah dan mesti cuba lagi sehabis baik. I love you, sis ~ Kak Long*

09 Mac, 2010

2 Tahun Mengukir Cinta

Untukmu,
suamiku ~ Nabil Ahmad ..

Dua tahun menjadi isterimu menjadi waktu-waktu berharga dalam hidupku.

Abang,

saya kaca,
dengan Abang, saya jadi permata.

Saya lilin,
dengan Abang, saya jadi suria.

Saya hamba,
dengan Abang, saya jadi ratu.

Dengan Abang, saya kenal cinta.

Cinta yang ada bahagia dan derita,
ada suka dan tawa.
Ada duka dan lara.

Abang,
saat terasa diri terbuang,
Abang titipkan kasih sebagai teman.

Saat saya rasa tersisih,
Abang di situ, mengubat sedih.

Saat saya ragu memilih haluan,
Abang di situ, menunjuk jalan.

Dan saat saya perlukan cahaya,
Abang pimpin meninggalkan gelita.

Abang,
hanya Allah yang paling layak
membayar harga cintamu
pada saya ~
dan, maafkan saya
jika belum
mampu menjadi
isterimu yang sempurna.


&


Abang,

The days rush on by
and we find, you and I,

That a really good
marriage depends
Not only on being
two partners in life
But also on
being good friends ...

And I'm
thankful each day
more than these
words can say,
For the kind,
loving things
that you do.

I'm so lucky,
I know,
to be sharing a lifetime
with someone as special as you.

Terima kasih untuk cintamu, selamanya.


Yang abang terima nikahnya pada 9 Mac 2008,
Suzana Mohamed Ali.

Ulangtahun ke-2

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Alhamdulillah.

Maha suci Allah yang menurunkan firman-Nya ..


"IT IS HE who has created you [all] out of one living entity, and out of it brought into being its mate, so that man might incline [with love] towards woman. And so, when he has embraced her, she conceives [what at first is] a light burden, and continues to bear it. Then, when she grows heavy [with child], they both call unto God, their Sustainer, "If Thou indeed grant us a sound [child], we shall most certainly be among the grateful!"

Dan hari ini ~ 9 Mac 2010 ~ genap 2 tahun kami merentasi kembara cinta dalam rumahtangga.

Hadiah untuk isteriku, Suzana binti Mohamed Ali; yang sentiasa setia di sisi ...


For The Rest of my Life

I praise Allah for sending me you, my love
you found your home and sail with me

And I`m here with you
Now let me let you know

You`ve opened my heart


I was always thinking that love was wrong

But everything was changed when you came along


And there is a couple words I want to say ..

For the rest of my life
I`ll be with you

I`ll stay by your side honest and true
Till the end of my time

I`ll be loving you... loving you

For the rest of my life

Thru days and night
I`ll thank Allah for open my eyes

Now and forever
I`ll be there for you


I know it deep in my heart

I feel so blessed when I think of you

And I ask Allah to bless all we do
You`re my wife and my friend and my strength

And I pray we`re together in Jannah


Now I find myself so strong

everything changed when you came along
and there’s a couple word I want to say
I know that deep in my heart now that you`re here

In front of me I strongly feel love
And I have no doubt

And I`m singing loud that I`ll love you eternally


I know that deep in my heart…

Honey, abang tak pandai mengarang puisi cinta. Tapi ini untukmu ... ana aktar wahid bahibbak.

03 Mac, 2010

Demi Sebuah Kasih Sayang

Walimatul Urus
*~~~~~~~~~~~~~~~~~*

Iftitah kalam semerbak syukur serta memohon rahmat Allah SWT, kami
Nabil bin Ahmad & Suzana binti Mohamed Ali
mewakili ayahbonda kami
Ustaz Ahmad bin Jaya & Ustazah Che Bi binti Lebai Din
dengan
Haji Mohamed Ali bin Yang & Hajjah Rosiah binti Haji Zakaria

dengan rendah hati menjemput dan mempersilakan

sahabat-sahabat yang mengenali mempelai

bagi meraikan majlis ikatan kasih adinda-adinda kesayangan kami;

Muhammad Ajwadi bin Ahmad dengan Nur Nadiah binti Mohamad Nasir
pada 6 Mac 2010, Sabtu
di kediaman ayahbonda kami:
No. 18, Jalan Padang Melangit
Kg Beseri Dalam, Beseri
Perlis

serta

Azrol Zaimee bin Mohamed Ali dengan Siti Fairus binti Siraj
dan
Azril Amin bin Mohamed Ali dengan Rahimah binti Osman

pada 21 Mac 2010, Ahad

di kediaman ayahbonda kami:
No. 59, Kg. Tersusun Batu 5 Tambun
Ipoh, Perak


Semoga dengan kehadiran dan iringan doa para jemputan
pada tarikh termetri ikatan 2 hati,
akan terucap salam, tercium wangi pertemuan & menyerikan lagi majlis ini.

Turut Mengundang:
Saiful Akmal & Khairul Azniyah
Noor Najihah & Mohd. Mahfuz
Nadia Murshida
& seisi keluarga
BESERI, PERLIS.

dan


Muhammad Hafiz
Noor Haafizah
& seisi keluarga
IPOH, PERAK

*~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
Rasulullah SAW bersabda : (doa kepada pasangan mempelai)

"Semoga Allah memberkati kamu,
dan memberkati ke atas kamu,
serta mengumpulkan kamu dalam kebaikan"


~Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Nasaie & Al-Tirmizi~

23 Februari, 2010

20.01.2010 dan 20 Tahun Lalu

Bismillahirrahmanirrahim.

(1)
Beberapa hari sebelum menjejak 2010, kami terfikir-fikir; 'nak tulis apa kat blog?'

Dan soalan itu terapung tak berjejak, dibawa semilir tanpa jawapan hinggalah tarikh 16 Januari tiba di kaki kami dan kita semua.

Perjalanan ke majlis mengikat janji adik kami yang disulami gelak tawa dan hati yang berbunga-bunga; bagai direntap tatkala mendapat khabar Nenda kami, Haji Zakaria telah dijemput ke rahmat Allah. Sedang kami masih teroleng-oleng dalam bot kecil merentas Jeti Kuah ke Bagan Nyior.
Kenangan Aidilfitri 1429 H di rumah Tok, usai solat raya


Ditambah lagi, keesokan harinya, usai majlis tahlil untuk almarhum Tok di Kg Gajah, malam itu; satu lagi khabar kami terima.

Ayah terdiam menahan pilu kehilangan satu-satunya abang yang dimilikinya, Nor Han. Dungun menjadi destinasi kami dinihari 17/01/2010 itu.

Ayah (di tengah) diapit oleh Ayah We dan menantunya, Abang Din.


(2)
Mak kehilangan insan yang dipanggilnya Abah. Dan Ayah kehilangan Yop-nya.

Cerita ini bagai ulangan kisah 20 tahun lalu - tahun 1990.

Ayah kehilangan Ayahnya. Dan Mak kehilangan Maknya. Dalam tahun yang sama. Tahun 1990.

Tok dijemput pulang pada Mei 1990. Manakala Opah pada Disember 1990.

Tok meninggal dunia di Kemaman, Terengganu. Opah dikebumikan di Kg Gajah.

Dua puluh tahun bezanya. Dan Januari 2010 bagai membuka lembar lama untuk diulang kisah.

Sedih mendodoi di atma. Sendu tali-temali. Sayu bagai berkampung di hulu mata.

Dan ...

Pilu masih menggigit.

(3)
Namun, dua kehilangan yang hampir-hampir serentak, bukanlah teramat dahsyat yang menimpa manusia. Ada yang kehilangan satu keluarga serentak, sedangkan kami hanya diambilnya dua orang sahaja. Dan itu memang hak Dia lalu kerana menginsafi itu, kami reda.

Puas menangis kesedihan hingga terlupa, bahawa Allah telah siap-siap menggantikan ahli keluarga yang hilang.

Mac depan adik-adik kami bakal melangsungkan perkahwinan mereka. Menjadikan kehilangan itu bagai berganti.

Subhanallah ...

Allah telah gantikan kehilangan itu. Dan saya hampir-hampir buta melihat hikmah yang Allah hamparkan dek kerana melayan airmata.

Sungguh, kehilangan Tok dan Ayah We takkan berganti. Tetapi Allah memberi yang lain untuk kami sayangi ...

Memang jarang benar reda berada di awal duga.

Namun, biarpun terlewat, itu lebih baik dari langsung tidak mahu reda dan syukur.

(4)
Rasa kehilangan itulah rupanya yang membuka tirai catatan kami bagi tahun 2010 ini ~ Sungguh Allah Sedang Berbicara ... yang telah kami tulis bertarikh 20.01.2010.

Dan inilah sebenarnya hakikat kehidupan di dunia. Dalam setiap apa yang Allah tentukan, adalah pilihan yang tepat. Dan bukan untuk menyakiti hamba-Nya.

Kita tak akan pernah tahu, bila ... di mana ... dan bagaimana kita akan meninggalkan alam ini menuju dan menanti di barzah.

Dan, nyata hati ini belum bersedia jika ditanya, 'adakah kau bersedia?'

08 Februari, 2010

Nak Habaq ni


Entry hari ini sarat dengan emosi.

Emosi yang akhirnya ...

kami simpulkan dalam kalimah R.I.N.D.U.

Kami rindukan Mesir. Kami rindukan PMRAM.

Ya Allah, rindunya ...!

Sangat rindu.

Teramat rindu.

Apa lagi lafaz lain menggantikan rindu?

Terlalu rindu segala-galanya. Pada PMRAM dan Bumi Kinanah yang telah lewat.

Dan rindu ini menitiskan manik-manik jernih dari tubir mata kami berdua ...

26 Januari, 2010

Post ke-100!

Bismillahirrahmanirrahim
Salam.


Dipetik dari Terjemahan Riyadh al-Soliheen Jilid 4, terbitan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri dalam Bab Menyuruh Pemerintah supaya Bersikap Lemah Lembut kepada Rakyatnya, Memberikan Nasihat serta Kasih Sayang kepada Mereka dan Dilarang Menipu, Bersikap Zalim serta Mencuaikan Kepentingan Mereka.

Diriwayatkan daripada Imam Muslim ~ Daripada Aisyah RA katanya, “aku mendengar Rasulullah SAW bersabda dalam rumahku ini, “Ya Allah, sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, kemudian ia melakukan kezaliman ke atas mereka, maka kembalikan kezaliman itu ke atas mereka. Sesiapa yang mentadbir sesuatu urusan pemerintahan umatku, dengan menunjukkan kasih sayang kepada mereka, maka kasihilah orang tersebut”.

Pengajaran hadis:
1. Orang yang dilantik menjadi ketua atau pemimpin hendaklah menjaga kebajikan orang ramai dan haram menindas serta menzalimi mereka.

2. Setiap rakyat harus menasihati dan menegur pemerintah dengan teguran yang membina dan untuk memajukan negara. Rakyat juga berhak membantah sekiranya pemerintah melakukan kezaliman.

3. Setiap orang akan disoal di akhirat tentang tanggungjawab yang diamanahkan di dunia.

Pesanan Rasulullah SAW yang disampaikan oleh permaisuri hati Baginda, Saidatina Aisyah RA ini bagai petir yang menyentak lena.

Saya suami, ada isteri sebagai rakyat.

Saya abang kepada adik-adik dan ipar-duai.

Saya ketua di kantor dengan sejumlah anak-anak buah.

Kita yang dulu akan disoal.

Kita yang dulu akan dihitung.

Kita yang dulu akan dipertanggungjawabkan.

Itu cerita dari lingkup kecil.

Bagaimana kalau jadi Pengarah Urusan?

Kalau cerita sang YB?

Apa kisah bapak Menteri?

Ketua Kampung? Penghulu? Penggawa?

Semua akan disoal.

Bukan saya kata.

Allah kata.

Rasulullah kata.

Kenapa, tak percaya?